Tata Cara & Hikmah Mandi Pelaku ‘Ain

27

TATA CARA MANDI PELAKU ‘AIN

Berkenaan dengan cara mandi ini, Ibnul Atsir berkata:

“Apabila seseorang terkena serangan ‘ain dari orang lain, dia hendaklah datang kepada pelaku ‘ain itu dengan membawa bekas berisi air, lalu pelaku ‘ain tersebut memasukkan tapak tangannya ke dalam bekas yang berisi air, lalu dia berkumur-kumur dan memuntahkannya ke dalam bekas tadi, kemudian dia membasuh wajahnya di dalam bekas tersebut. Selanjutnya dia memasukkan tangan kirinya untuk menuangkan air ke siku kanannya.

Lalu dia memasukkan tangan kanannya dan menuangkan air ke siku kirinya. Kemudian dia memasukkan tangan kirinya ke dalam bekas air dan menuangkan air ke tapak kakinya yang kanan, lantas dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas dan menuangkan air pada tapak kakinya yang kiri. Selanjutnya dia memasukkan tangan kirinya dan menuangkan air ke atas lutut kanannya, lantas memasukkan tangan kanannya dan menuangkan air pada lutut kirinya.

Selanjutnya dia membasuh bahagian dalam sarungnya, tanpa meletakkan bekas di atas tanah. Kemudian air yang sudah digunakan oleh pelaku ‘ain itu dituangkan ke atas kepala orang yang terkena ‘ain, dari belakangnya sekali siram, nescaya orang yang terkena ‘ain itu akan sembuh, dengan izin Allah.”

HIKMAH MANDI PELAKU ‘AIN

Dengki itu ibarat orang yang membawa obor, lalu orang itu ingin mencampakkan api ke sasarannya. Sebab itulah dia harus disiram dengan air ketika obor itu masih di tangannya hingga menjadi padam.

Oleh kerana itu, pelaku ‘ain diperintahkan untuk berdoa: “Wahai Allah, kurniakan berkat kepada dia!” Untuk menepis pengaruh jahat ‘ain dengan doa yang merupakan perbuatan baik kepada orang yang terkena ‘ain, kerana ubat sesuatu itu tentu akan bertentangan dengan sesuatu.

Kerana hal yang buruk ini terjadi pada tempat-tempat yang sensitif dari tubuh manusia – kerana ingin berjaya memasuki tubuh, maka bahagian yang lembut adalah ketiak, atau di dalam kain sarung, terutama jika itu merupakan kiasan dari kemaluan – jika bahagian tubuh itu dibasuh dengan air, maka batallah pengaruh dan reaksinya. Tempat-tempat itu juga merupakan lokasi masuknya roh-roh syaitan.

Maksudnya, bahawa dengan membasuh dengan air akan memadamkan api kedengkian dan menghilangkan racunnya.

Di samping itu, pengaruh membasuh air ini akan sampai ke hati, lokasi yang paling sensitif dan paling cepat reaksinya, lantas ia akan memadamkan api dan racun dengan air, sehingga orang yang diserang ‘ain menjadi sembuh kerananya.

Proses ini sebagaimana matinya binatang berbisa sesudah mengeluarkan sengatnya, pengaruh sengatnay terhadap orang yang disengat menjadi ringan dan mangsa menjadi sembuh. Fenomena ini boleh disaksikan dalam realiti. Ini salah satu sebabnya, yang disengat itu menjadi gembira sehingga dia mendapat kesembuhan dengan kematian musuhnya, selanjutnya karakternya menjadi semakin kuat menahan sakit, lantas dia berjaya menepisnya.

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam” Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih

Get real time updates directly on you device, subscribe now.