Terapi untuk Orang Yang Didengki Dengan Doa

49

Ubat yang paling bermanfaat baginya hanyalah doa, kerana doa merupakan musul semua bala. Doa boleh menolak bala, mengubatinya, mencegah terjadinya, menghilangkan atu meringankannya apabila bala itu terlanjur menimpa. Doa ialah senjata orang yang beriman. Apabila seseorang berdoa dia akan menghadirkan hatinya ketika berdoa sehingga kekuatannya terkumpul secara menyeluruh untuk meraih sesuatu yang diinginkan, tepat waktunya saat ijabah, seperti satu pertiga malam yang terakhir, dilakukan dengan menundukkan diri dan mengakui ketika berdayaan diri, menghina dan merendah diri, menghadap kiblat, dalam keadaan suci dari hadas, mengangkat kedua belah tangan, dimulakan dengan memuji dan menyanjung Allah SWT, sambil mengucapkan selawat dan salam kepada Muhammad SAW, dilakukan sesudah bertaubat, memohon keampunan dan bersedekah, terus-menerus meminta, banyak memuji-Nya dan memohon kepada-Nya, disertai usaha menjadikan Nama-nama Allah dan Sifat-Nya sebagai perantara, maka doa itu nyaris tidak akan ditolak selama-lamanya.

Apabila seseorang bermohon kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi dengan mengucapkan doa-doa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad SAW, bahawa doa tertentu berpotensi besar untuk dikabulkan, ataupun doa itu mengandungi Nama Allah yang paling Agung. Tiada perselisihan tentang disyariatkannya takut kepada Allah SWT dan berlindung kepada-Nya dalam perkara yang menimpa manusia.

Dalam perbahasan ini ada perkara yang harus diketahui secara pasti oleh setiap muslim. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menjelaskannya seperti berikut:

Banyak ayat, zikir dan doa yang biasa digunakan untuk menyembuhkan penyakit atau diucapkan dalam ruqyah. Semua itu memang memiliki manfaat penyembuhan bagi diri orang yang mengucapkannya, akan tetapi tetap memerlukan sugesti (kepercayaan) orang yang diubati, kekuatan harapan pelakunya dan kesannya.

Ketika rawatan dengan cara tersebut terlambat kejayaannya, maka hal itu semata-mata disebabkan oleh lemahnya keberkesanan si pelaku, atau tidak ada penerimaan orang yang diubati, atau kerana adanya penghalang yang kuat yang menghalang kejayaan pengubatan ini. Ini sebagaimana yang biasa terjadi pada ubat-ubat fizikal. Kadang-kala tidak ada kesannya, lalu diakibatkan kerana tiadanya penerimaan normal tubuh terhadap ubat itu. Kadang-kadang kegagalannya juga terjadi kerana adanya penghalang kuat yang merintangi daya sembuh. Tubuh manusia, apabila memakan ubat dengan penerimaan yang sempurna, maka manfaat yang diperolehi oleh tubuh akan sesuai dengan penerimaannya.

Demikian juga dengan hati, apabila dia menerima ruqyah dan ta’awudz dengan penerimaan yang sempurna, maka ubat itu akan bekerja dengan lebih kuat pada dirinya, harapannya akan memberi kesan yang kuat dalam menghilangkan penyakit.

Demikian juga halnya dengan doa. Doa merupakan sarana terkuat untuk menghilangkan sesuatu yang tidak disukai dan mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Akan tetapi kadang-kala kesan doa dirasakan terlewat oleh orang yang berdoa. Mungkin kerana kelemahan yang ada pada diri orang itu, misalnya: doanya tidak dikabulkan oleh Allah SWT kerana ada semangat permusuhan di dalamnya (misalnya seseorang mendoakan orang lain agar ditimpa mudarat), atau mungkin juga kerana kelemahan hatinya dan ketiadaan penerimaan dirinya kepada Allah SWT dan ketiadaan kesatuan dirinya pada waktu berdoa, atau mungkin juga kerana adanya penghalang yang merintangi diterimanya dia, misalnya memakan makanan yang haram, bertindak zalim, tertutupnya hati oleh dosa, dikuasai oleh kelalaian, kealpaan dan kesia-siaan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah bahawa Allah tidak menerima doa orang yang hatinya lalai dan alpa.” (HR. At-Tirmizi)

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam” Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih

Get real time updates directly on you device, subscribe now.