Sakit Adalah Ujian Daripada Allah SWT

4

Allah SWT menguji hamba-Nya dengan sesuatu musibah agar hamba itu Kembali kepada-Nya. Allah SWT telah menguji Nabi Ayyub AS dengan sejenis penyakit kulit. Allah SWT juga menguji baginda Muhammad SAW dengan kehidupan sebagai seorang yatim piatu. Rasulullah SAW juga pernah disihir dan ditimpa sakit. Rasulullah SAW juga diuji dengan kematian bapa saudaranya Abu Talib, isterinya Saidatina Khadijah RA serta anaknya Ibrahim. Oleh yang demikian, sakit adalah wasilah untuk Allah SWT mendidik agar hamba-Nya yang disayangi it uterus meningkatkan hubungan dengan Allah SWT.

“Daripada Abi Hurairah RA dan saudara perempuan Huzaifah bin Al-Yaman, bahawasanya Rasulullah SAW telah ditanya: “Manusia manakah yang paling hebat ujiannya? Rasulullah SAW menjawab: “Para Nabi”, kemudian orang yang paling soleh dan yang seterusnya.” (HR. At-Tirmizi, no. 2398, hadith hasan sahih)

Justeru, seseorang yang ditimpa musibah seumpama kesusahan dan penyakit hendaklah menyematkan dalam dirinya bahawa dia sedang diuji oleh Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Dengan persediaan mental yang kental ditunjangi oleh iman yang kukuh akan menjadikan dia redha denga napa yang dialami. Tidak mudah gelisah dan berputus asa kerana dia yakin ujian Allah SWT bukanlah suatu kezaliman tetapi untuk tujuan murni bagi mempersiapkan hamba-Nya agar lebih taat dan patuh kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) Ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim: 7)

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tiin: 4)

Dalam penciptaan alam ini, Allah SWT menguji makhluk yang Namanya manusia kerana mereka adalah antara ciptaan Allah SWT yang terpilih, yang dikurniakan akal dan fikiran untuk menilai sesuatu perkara.

Dalam menguji keimanan seseorang sekali Allah SWT memilih hamba-Nya yang tertentu sahaja, diuji dengan sakit, susah, derita, dan segala musibah yang layak bagi hamba mengikut iradah dan pilihan Allah SWT. Tiada siapapun yang boleh masuk campur urusan Allah SWT sama aada memberi seseorang itu kesihatan atau menjadikan sakit atau memendekkan dan memanjangkan umurnya. Semuanya dengan qudrat dan iradah Allah SWT.

Di samping menurunkan kesakitan, Allah SWT juga menurunkan penawarnya. Sebagai contoh, jika seseorang disengat binatang berbisa, antara doa penawarnya ialah: “Dengan nama Allah SWT, tidak akan memberi mudarat dengan sebabnya oleh sesuatu sama ada di langit dan di bumi, dan Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (HR. Abi Daud, no. 5088, sahih)

Doa ini memberi pengertian bahawa sesuatu kemudaratan tidak akan berlaku kecuali dengan iradah Allah SWT. Seseorang tidak akan ditimpa penyakit kecuali ianya adalah iradah dan pilihan Allah SWT bagi hambanya yang tertentu.

(Petikan daripada Buku Mutiara Syifa’ Darussalam, Kompilasi Khazanah Ilmu Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Ismail bin Kamus)

Get real time updates directly on you device, subscribe now.