Hadis-Hadis Tentang Berubat Dengan Al-Quran
Abu Ubaid, Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Jarir, Al-Hakim dan Al-Baihaqi meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, dia berkata: “Rasulullah SAW mengutus kami dalam satu pasukan ekspedisi seramai tiga puluh orang tentera pasukan kavaleri. Kami berehat di samping satu kaum lantas kami meminta mereka untuk menjamu kami, tetapi mereka enggan.”
Ketua suku mereka disengat kala jengking, lalu mereka datang kepada kami dan berkata: “Apakah di antara kamu ada yang boleh meruqyah orang dari (senggatan) kala jengking?”
Aku menjawab: “Ya, aku boleh, tetapi aku tidak mahu meruqyah dia sampai kamu memberi kami kambing.”
Utusan kamu berkata: “Kami akan memberi kamu tiga puluh ekor kambing.”
Kami menerimanya. Kemudian aku membacakan kepada ketua suku itu surah Al-Fatihah sebanyak tujuh kali, dia pun sembuh. Kami membawa kambing-kambing seperti yang dijanjikan oleh mereka. Kami merasakan tidak enak di dalam hati kami, lalu di antara kami ada yang berkata: “Janganlah kamu terburu-buru memakan daging kambing ini sampai kamu bertemu Rasulullah SAW.”
Tatkala kami sampai kepada baginda, aku menceritakan kepada baginda apa yang ku lakukan.
Baginda SAW bersabda: “Tidakkah kamu tahu bahawa surah Al-Fatihah ialah ruqyah? Ambillah kambing-kambing itu dan berilah aku bahagian dari itu di antara kamu.”
Ahmad, Al-Bukhari dan Al-Baihaqi mengeluarkan hadis dari Ibnu Abbas RA, dia menceritakan: “Bahawasanya ada serombongan dari sahabat Nabi Muhammad SAW melintasi sumber mata air. Kebetulan di antara penduduk perkampungan yang tinggal berdekatannya ada orang yang terkena sengat binatang berbisa.
Salah seorang lelaki dari perkampungan tersebut menghadap kepada para sahabat itu seraya berkata, “Adakah di antara kamu orang yang mampu meruqyah, sesungguhnya di perkampungan kami ada seseorang yang terkena sengat binatang berbisa.”
Kemudian salah seorang sahabat mendatangi orang yang terkena sengat itu. Dia membacakan surah Al-Fatihah dengan balasan sejumlah kambing. Orang itu pun sembuh. Sahabat tadi kembali dengan membawa sejumlah kambing kepada para sahabatnya. Para sahabatnya tidak suka hal itu.
Mereka berkata: “Kamu mengambil upah dari Kitabullah?”
Akhirnya mereka tiba di Madinah, lalu mereka berkata: “Wahai Rasulullah, orang ini mengambil upah dari Kitabullah.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling berhak untuk diambil upahnya adalah Kitabullah.”
Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’i meriwayatkan dari Kharijah bin Shalt, dari bapa saudaranya, bahawasanya dia melalui suatu perkampungan satu kaum lalu nereka mendatanginya, seraya berkata: “Sesungguhnya kami mendatangimu dengan lelaki ini untuk tujuan mencari kebaikan baginya. Ruqyahlah untuk kami orang ini.”
Mereka mendatanginya dengan membawa orang tidak waras yang diikat. Bapa saudara Kharijah meruqyahnya dengan membaca Al-Fatihah, pagi dan petang hari. Setiap kali dia menyelesaikan bacaannya dia mengumpulkan air liurnya lantas dia meludah. Dia melakukan sedemikian seolah-olah orang tidak waras tersebut agar terlepas dari ikatan. Mereka memberinya sesuatu. Kemudian dia datang menemui Nabi SAW dan menceritakan kepada baginda mengenai peristiwa tersebut. Nabi SAW bersabda: “Makanlah itu, sungguh ada orang yang makan dengan ruqyah batil, dan sesungguhnya kamu makan dengan ruqyah yang benar.”
Ruqyah batil contohnya dengan menyebut nama-nama binatang serta meminta tolong kepada matahari, bulan, bintang dan jin.
Ahmad dan Al-Baihaqi meriwayatkan dari Abdulllah bin Jabir bin Abdullah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu ku beritahu tentang surah terakhir yang turun di dalam Al-Quran?” Aku menjawab: “Baiklah, wahai Rasulullah.” Baginda SAW bersabda: “Fatihah Al-Kitab” dan aku menyangka baginda bersabda: “Maka sesungguhnya di dalamnya terkandung ubat dari semua jenis penyakit.”
Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abu Hurairah RA, bahawasanya dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang di antara kamu ingin melakukan sesuatu dia hendaklah berdoa, ‘Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu untuk dipilihkan…'”
Ath-Thabrani meriwayatkan dari Abu Abbas dan Abdullah bin Umar, semoga Allah SWT meredai mereka semuanya. Kedua-dua mereka berkata: “Rasulullah SAW mengajar kami istikharah sebagaimana baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, ‘Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dipilihkan kepadamu… sampai akhir doa.'”
Dari Jabir bin Abdullah RA, dia berkata: “Rasulullah SAW mengajar kami istikharah dalam semua urusan sebagaimana baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran. Baginda SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu berkeinginan melakukan sesuatu, maka dia hendaklah mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu, kemudian dia hendaklah berdoa:
Ertinya: “(Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu untuk dipilihkan dengan Ilmu-Mu, dan aku memohon ketetapan takdir dengan Kemahakuasaan-Mu, serta aku memohon kepada-Mu sebahagian dari kurnia-Mu yang Agung, kerana Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Wahai Allah, jika Engkau Mengetahui bahawa urusan ini lebih baik bagiku dalam dinku penghidupanku, dan akhir dari urusanku atau Nabi SAW bersabda, ‘Di waktu dekat mahupun nanti,’ maka tetapkanlah urusan itu untukku, mudahkanlah ia bagiku, dan kurniakan berkat aku di dalamnya. Sedangkan jika Engkau Mengetahui bahawa urusan ini lebih buruk bagiku, dalam diriku, penghidupanku, dan akhir dari urusanku atau Nabi SAW bersabda, ‘Di waktu dekat mahupun nanti,’ maka palingkanlah urusan itu dariku, palingkanlah aku darinya, dan tetapkanlah kebaikan untukku di mana sahaja kebaikan itu berada, kemudian jadikanlah aku reda dengannya). Rasulullah SAW bersabda, ‘Dia hendaklah menyebut apa keperluannya.'”
Sebaiknya dua lafaz dalam hadis Al-Bukhari di atas digabungkan, sehingga ucapan doanya menjadi (istikharah).
Setelah melakukan istikharah, dia hendaklah melakukan pilihan yang dijadikan lapang untuk hatinya. Istikharah ini diulang hingga tujuh kali, juga disukai bila mengulangi istikharah dalam satu perkara hingga terlihat maksud keperluannya.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas bin Malik RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: “Mimpi yang baik dari seorang lelaki yang soleh itu satu perempat puluh enam bahagian dari kenabian.”