Faktor Lemahnya Peribadi Diri
Masyarakat dunia hari ini majoriti peribadinya lemah-lemah belaka. Kelemahan peribadi menimpa semua golongan di dalam masyarakat kerana mereka telah dihinggapi penyakit-penyakit batin.
Penyakit batin adalah penyakit jiwa dan akal fikiran manusia. Maknanya, jiwa dan fikiran telah rosak dan tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya.
Ini semuanya dipaparkan secara jelas oleh akhbar-akhbar harian di dunia:
- Pemimpin; tidak bertanggungjawab, penyelewengan wang, tidak adil, menindas rakyat, menipu, banyak pura-pura, gila kuasa, gila puji dan lain-lain.
- Ulama; cinta dunia, utama wang dari hukum agama, kaki ampu bodek, nak gaji lebih, mempermainkan hal agama.
- Cendiakawan; pandai menipu, sombong, tidak menghormati orang lain.
- Orang kaya; bakhil, menindas orang miskin, berfahaman kapitalis.
- Lelaki; suka berpoya-poya, lepak, disko, malas bekerja dan tidak bertanggungjawab, merompak, mencuri, merogol, ketagihan dadah dan lain-lain.
- Wanita; menjual maruah diri, hilang malu, berkeliaran tanpa arah, tidak hormat orang tua, ketagihan dadah, kekosongan hati dan sebagainya.
- Murid; berani menampar guru, tidak hormat, malas belajar, ponteng, melawan ibu bapa, menipu dan lain-lain.
- Guru; tidak bertanggungjawab, mengajar dengan tidak bersungguh-sungguh, kasar, mencabul kehormatan murid dan lain-lain.
- Orang tua; hidup terbiar, kesunyian, hanya berkawan dengan binatang sahaja.
Penyakit-Penyakit Batin
Kini penyakit-penyakit juga sedang berada di hadapan mata anda. Dan mungkin anda atau keluarga anda di antara orang yang dihinggapi penyakit-penyakit jiwa seperti putus asa, kecewa, kacau bilau fikiran, rasa rendah diri, kesunyian, kekosongan hati, ketegangan perasaan dan berbagai bentuk sakit jiwa lagi.
Dan sedang berleluasa juga di dalam masyarakat hari ini penyakit hasad dengki, bakhil, cepat marah, jahat sangka, sombong, pendendam dan lain-lain.
Walaupun penyakitnya itu tidak nampak oleh mata kasar anda, namun siapa berani menafikan hakikat ini?
Bilangan peribadi-peribadi yang lemah menderita sakit jiwa di saat ini lebih ramai daripada bilangan pesakit-pesakit yang sakit fizikal di hospital-hospital di seluruh dunia.
Para cendiakawan dan para intelektual sanggup menghabis masa dan tenaga, memerah otak; mengkaji dan membelanjakan wang ringgit semata-mata untuk penyembuhan sakit-sakit fizikal.
Aneh dan hairan sekali, kepakaran dan keintelektualan tidak begitu serius memikirkan pengubatan kepada pesakit-pesakit jiwa ini seperti mana seriusnya mereka berusaha terhadap pengubatan fizikal lahiriah manusia.
Apakah mereka tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah, dan lain-lain itu tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan, rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain akan memungkinkan manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain?
Inilah satu bukti bahawa penyakit-penyakit jiwa itu sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit lahiriah.
Bukan sahaja kerana penyakit jiwa atau batin lebih menyiksakan dan menderitakan satu-satu peribadi malah ia bakal mengusutkan dan kucar-kacirkan sesebuah masyarakat.