Anda dan Kejayaan Hidup

1,172

Tidak ada manusia yang waras ingin gagal dalam hidupnya. Sebaliknya, tidak ada manusia waras yang tidak mahu kejayaan. Semua manusia inginkan kejayaan walaupun ada yang tidak tahu, kurang faham dan tidak pandai bertindak dalam menuju kejayaan.

Anda termasuk di dalam golongan orang yang ingin kejayaan dalam hidup di dunia mahupun di Akhirat. Di antara langkah-langkah awal menuju kejayaan:

  1. Sedari betapa pentingnya kejayaan itu bagi setiap peribadi manusia.
  2. Sedari bahawa kejayaan anda bukan milik anda sahaja bahkan milik keluarga juga.
  3. Sedari juga bahawa kejayaan anda memberi kesan pada masyarakat dan negara anda juga. Dan ianya juga adalah kejayaan untuk agama, anda, Addeenul Islam.
  4. Tahu kaedah cara-cara menuju kepada kejayaan yakni jalan menujunya.
  5. Faham kaedah untuk melaksanakan apa juga bidang dalam kehidupan.
  6. Bertindak dengan segera; faham sahaja teorinya tidak ada guna tapi bertindak dan bergeraklah ke arahnya.
  7. Tidak putus asa; dalam bertindak ada sahaja perintang ataupun penghalang kejayaan, anda hendaklah sabar mengatasi segala rintangan dan halangan sebelum meraih kejayaan.

Kejayaan sesebuah negara ataupun bangsa adalah gabungan dari anggota-anggota masyarakat tersebut. Jelaslah bahawa kejayaan seseorang itu berkait rapat dengan keluarga, bangsa, masyarakat, negara dan agama.

Oleh itu kejayaan peribadi seseorang itu adalah penting demi untuk membangunkan tamadun dan kemajuan sesuatu agama dan negara. Jika berjayanya satu peribadi itu orang lain disekeliling akan dapat manfaat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain. (Al Hadis)

Sebaliknya jika kegagalan menimpa seseorang, maka kegagalan itu memberi kesan kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Cuba anda bayangkan kalau sekiranya 85% daripada masyarakat kita berjaya dalam setiap lapangan hidupnya. Pasti menaikan imej masyarakat kita, sebagai satu masyarakat yang dapat kejayaan kerana majoritinya berjaya.

Bayangkan pula kalau sekiranya masyarakat kita gagal 85% dalam lapangan hidup. Sudah pasti ini memberi gambaran buruk dan menunjukkan betapa teruk, lemah dan dhaifnya masyarakat kita. Jatuhlah air muka anda, keluarga, masyarakat dan negara kerana kegagalan itu.

Oleh itu sangan penting bagi setiap peribadi memperjuangkan kejayaan, keunggulan, kemurnian akhlak, ajaran Islam untuk terus berjaya dan kekal dalam kejayaan.

Bukan dengan cara kita berbangga dengan sejarah kejayaan lampau seperti berbangga cerita kehebatan Hang Tuah, membanggakan kejayaan Islam yang berjaya menakluk tiga perempat dari dunia. Kejayaan itu hanya untuk peribadi-peribadi di zaman itu bukan zaman sekarang.

Bukanlah cara untuk menuju kejayaan dengan menyebut cerita kejayaan-kejayaan orang lain. Tapi ciptalah sejarah kejayaan untuk diri anda. Ciptalah sejarah kejayaan sebagaimana mereka mencipta sejarah.

Saidina Umar dalam menafsir ayat Al-Quran: Kamu itu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia. (Al Imran: 110)

“Bila Allah berkehendak mengatakan Antum maka tercangkuplah semua orang Islam, akan tetapi sengaja Allah berkata KUNTUM dengan maksud yang dikhususkan kepada para Sahabat Nabi SAW dan siapa sahaja yang berbuat seperti Sahabat Nabi.”

Dalam menafsirkan ayat ini Saidina Umar menjelaskan dari segi bahasa Arab, kalau kalimah Antum diletakkan pada ayat itu ianya membawa maksud gelaran ‘sebaik-baik umat’ adalah untuk seluruh umat Islam.

Tetapi Allah mengkehendaki kalimah kuntum diletakkan pada ayat Al-Quran di atas maka gelaran sebaik-baik umat hanya semata-mata khusus untuk para Sahabat Nabi SAW dan sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkah mereka.

Jadi fahamlah bahawa pujian Allah dalam ayat Al-Quran, bahawa kamu itu sebaik-baik umat hanya khusus untuk Rasulullah SAW dan para Sahabat. Oleh kerana sifat mereka yang berani kerana kebenaran, berkasih sayang sesama mereka, berakhlak mulia, berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan tamadun dan kejayaan Islam. Dan memang terbukti kejayaan mereka.

Dan jangan lupa kata Saidina Umar bahawa, “ianya juga kepada sesiapa yang berbuat seperti Sahabat Nabi.”

Justeru itu jejaklah langkah-langkah, tanamlah sifat-sifat Sahabat dalam diri anda, nescaya anda termasuk di dalam pujiaan Allah, sebaik-baik umat. Anda hendaklah bertindak sekarang!

Get real time updates directly on you device, subscribe now.