Banyak ayat Al-Quran dan hadis yang menjelaskan bahawa Jin dicipta terlebih dahulu berbanding manusia.
Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 34;
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.
Iblis termasuk di dalam kelompok Jin, ini adalah berdasarkan peristiwa kenabian Nabi Adam AS yang menunjukkan bahawa Jin dicipta terlebih dahulu.
Di dalam Surah Al-A’raaf ayat 12
Maksudnya:
“Allah berfirman : Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu? Menjawab iblis, saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan dari tanah.”
Iblis enggan sujud ketika ia diperintahkan berbuat demikian disebabkan katanya api lebih mulia daripada tanah. Kononnya ia mengetahui tentang kelebihan api daripada tanah. Hal ini menunjukkan bahawa ia diciptakan terlebih dahulu.
Di dalam Surah Al-Hijr ayat 26-27;
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”
Ini menunjukkan dengan nyata bahawa Jin dicipta sebelum kejadian Adam AS.
Di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56;
Maksudnya:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya menyembahkan-Ku.”
Dalam ayat ini disebut perkataan JIN terlebih dahulu menunjukkan bahawa jinlah yang diciptakan terlebih dahulu.
Yang menjadi perbincangan ialah berapa lamakah jarak di antara dua makhluk itu. Ibu Kathir di dalam kitabnya Al-Bidayah Wan Nihayah juz 1 mengatakan jaraknya ialah selama dua ribu tahun. Begitu juga Asy-Syibli di dalam kitabnya Akamul-Marjan mengatakan bahawa jaraknya ialah dua ribu tahun manakala setengahnya mengatakan bahawa jaraknya selama 40 tahun.
Walau bagaimanapun, tempoh yang sebenar tidaklah diketahui kerana jarak yang disebutkan itu menurut ijtihad belaka yang tidak terdapat dalam Al-Quran dan Al-Sunnah maka kita serahkan sahaja kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala-galanya.