Tahdirul-Arwah (Spiritism) dan Kesannya

413

Tahdirul Arwah atau disebut di dalam bahasa Melayu, “memanggil roh,  bukanlah perkara baru tetapi telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi di kalangan Cina, India, Mesir kuno, Yunan, Roman, termasuk juga orang-orang Islam. Akhirnya dari semasa ke semasa sudah menjadi suatu ilmu yang dianuti oleh orang-orang Barat.

Mohd Farid Wajdi di dalam bukunya mengatakan bahawa perkara ini memang telah lama wujud sehingga berjuta-juta manusia mengakui tentang ‘kebenaran’ mazhab Ruhani ini.

Di ‘Barat’ teori ini sudah diterima oleh mereka sehingga lebih daripada 150 akhbar dan majalah yang tersebar menjelaskannya. Mereka percaya dengan sepenuhnya konsep kembalinya roh orang yang sudah mati ke dalam jasad seseorang yang hidup.

Soalan yang timbul sekarang ialah:

Apakah benar roh yang telah meninggalkan jasad ini dapat kembali semula ke dunia ini dan menjalankan aktivitinya sebagaimana dahulu sepertimana yang diyakini oleh mereka?

Al-Quran dan Sunnah telah pun menjelaskan bahawa apabila manusia telah mati maka putuslah segala amalannya dan tidak akan kembali lagi ke dunia ini dalam keadaan mana sekalipun.

Roh orang yang telah mati akan diangkat ke langit sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:

Dan di belakang mereka ada dinding sehingga hari dibangkitkan

Maka dari mana roh boleh kembali ke dunia ini sekali lagi dan apakah hujahnya?

Asy-Sheikh Al-Ghazali berkata: “Seseorang manusia diberi peluang untuk beramal dan berbakti, bertaqwa di dunia ini, berjaya atau sebaliknya bergantung kepada amalannya. Setelah terputus nyawanya maka tidak ada apa-apa tanggungjawab lagi setelah mati maka balasan dan seksaan akan bermula,” sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berbeza dengan apa yang telah kami kerjakan”. Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.” (Fatir: 37)

Begitu juga penjelasan yang disebut dalam Al-Quran bahawa orang yang mengekali maksiat sewaktu akan mati tatkala melalui kepedihan Sakaratul maut, terfikir untuk kembali ke dunia apabila teringat amalan-amalan yang lalu yang telah ditinggalkan dan masa yang terbuang begitu sahaja dengan katanya:

“Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia agar aku dapat berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.” (Al Mu’minun: 99-100) 

Di saat itu sudah terputus segala amalan, dan tidak ada lagi sebarang aktiviti, peluang bertaubat sudah tertutup bagi menampung segala kekurangan yang berlaku.

Beramal dan bertaubat bukan menanti esok tetapi hari ini untuk mencari kebahgiaan hari akhirat adalah dengan beramal sebelum nyawa sampai di halkum.

Apabila sudah sampai detik untuk berpindah ke alam baqa, maka malaikat Kiraman dan Katibin menggulung segala daftar amalan kita dan sedikit pun tidak memandang atau mempedulikan taubat orang yang sedang nazak (hampir mati).

Semua roh setelah meninggal dunia akan berada di alam barzakh untuk menerima balasan yang telah ditentukan berdasarkan kepada amalan semasa ia hidup di dunia ini. Sama ada ia menerima pembalasan yang penuh nikmat atau azab sengsara yang pastinya tidak ada peluang lagi baginya untuk kembali alam fana ini. Mereka tidak boleh lagi menjalankan segala aktiviti baik menjadi tukang ubat, mengajar, memberi nasihat dan sebagainya.

Maka soalannya, apakah sebenarnya yang berlaku pada orang yang bercakap itu?

Yang datang menjelma di dalam diri seseorang itu ialah syaitan yang menguasai otak manusia dan berusaha menyesatkan manusia kerana itulah tugas utama mereka.

Umar Al-Asyqar berkata: Pada zaman ini sudah tersebar di merata tempat mengenai perkara ini sehingga dipercayai oleh ramai orang. Sambungnya lagi apakah pendirian Islam dalam hal ini? Setelah kita mengkaji Al-Quran, jelaslah bahawa roh yang berada di alam ghaib mustahil untuk kembali ke dunia ini:    

“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Az Zummar: 42)

Roh yang telah diambil dan diserahkan kepada malaikat yang bertanggungjawab tidak akan terlepas lari dan turun semula ke bumi untuk dipermainkan oleh akal cetek manusia.

Ada pula di kalangan mereka yang menyangka bahawa roh yang datang itu adalah roh orang yang soleh, sama ada nabi, orang-orang yang mati syahid, wali-wali Allah dan sebagainya.

Kalau kita renungkan bahawa para Rasul, Nabi-nabi, para syuhada, Wali Allah, hamba-hamba Allah yang soleh sudah berada di alam barzakh, dan di syurga menerima kebahgiaan nikmat yang telah disediakan oleh Allah, bagaimana pula mereka akan meninggalkan syurga dan turun ke bumi dan masuk pula ke dalam jasad orang yang fasiq.

Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. (Ali Imran: 169)

Baginda Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa roh-roh orang yang mati syahid berada di muncung burung hijau yang berterbangan di kebun-kebun syurga, menikmati kesegaran, memakan buah-buahan, meminum air di syurga dan kemudian tinggal di lampu yang bergantung di atap ‘arasy Ar-Rahman (Hadis sahih Muslim, Sunan Tirmizi) Bagaimana pula golongan ini boleh memanggil roh-roh ini turun semula ke bumi?

(Begitu pula nenek moyang mereka.) Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka, mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta belaka. (Al Kahfi ayat 5)

Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa yang dipanggil itu bukanlah roh tetapi jin atau syaitan yang menyamar sebagai wali Nabi, orang alim dan sebagainya. Tugas mereka adalah untuk menyesatkan Bani Adam AS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.