Syaitan Menunjukkan Diri Kepada Nabi Yahya AS

962

Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan dengan sanadnya daripada Wahib bin Warad, dia berkata, “Kami mendengar bahawa si makhluk terkutuk iblis melihat dirinya kepada Yahya bin Zakaria AS dia berkata, “Saya ingin memberikan nasihat kepada anda.”

Yahya berkata, “Kamu pembohong, saya tidak memerlukan nasihat darimu, tetapi beritahulah perihal umat manusia kepada saya!”

Iblis berkata, ‘Mereka terdiri daripada tiga golongan.

Golongan pertama ialah mereka yang sangat sukar untuk kami taklukkan. Setiap kali kami menjerumuskan dan menggoda mereka. Mereka selalu meminta ampun dan bertaubat kepada Allah sehingga hasil usaha yang telah kami kerahkan untuk menjerumuskan mereka, sia-sia. Dan setiap kali kami kembali menjerumuskan mereka, mereka juga selalu kembali kepada Tuhan mereka. Kami tidak pernah berputus asa untuk menjerumuskan mereka, dan kami juga tidak pernah memperoleh apa yang kami inginkan daripada mereka. Kami mengalami kesukaran dalam menghadapi mereka.

Golongan kedua ialah mereka yang berada di bawah kekuasaan kami laksana bola yang berada di tangan anak-anak kecil kalian. Kami bebas memperlakukan mereka sesuai dengan apa yang kami inginkan. Mereka telah menyerahkan diri mereka kepada kami.

Golongan ketiga pula ialah mereka yang dilindungi Allah seperti anda. Kami tidak mampu berbuat apa-apa di hadapan mereka.”

Yahya AS berkata, “Di atas semua itu, adakah kamu pernah menaklukkan (menjerumuskan) aku?” Iblis berkata, “Tidak! Hanya sekali saja, iaitu ketika anda sedang makan. Saya membuat anda terus berselera sehingga anda makan melebihi keinginan anda. Kemudian, anda tertidur dan tidak melaksanakan solat seperti yang biasa anda laksanakan.

Yahya berkata kepadanya, ‘Tidak mengapa, aku tidak mahu kekenyangan lagi.”

Si terkutuk itu berkata, “Tidak mengapa, saya tidak akan memberikan nasihat lagi kepada sesiapa pun selepas anda.”

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dengan sanadnya daripada Thabit Al-Binani, dia berkata, “Kami pernah mendengar bahawa iblis menampakkan dirinya kepada Nabi Yahya bin Zakaria AS lalu baginda melihat berbagai-bagai gantungan yang bergelayutan pada dirinya.

Yahya AS berkata, “Wahai iblis, apakah gantungan yang bergelayutan ini?”

Iblis berkata, “Ini ialah nafsu syahwat, senjata saya untuk menjerumuskan umat manusia.”

Yahya berkata, “Adakah di antara gantungan itu ada yang menjadi bahagianku?”

Dia berkata, “Mungkin anda pernah makan terlalu kenyang, lalu kami melalaikan anda untuk melakukan solat dan berzikir kepada Allah.”

Yahya AS berkata, “Masih adakah selain itu?”

Dia berkata, “Demi Allah, tidak ada lagi.”

Maka Nabi Yahya AS berkata kepadanya, “Aku berjanji kepada Allah, bahawa aku tidak akan memenuhi perutku dengan makanan.”

Iblis berkata, “Aku juga berjanji untuk tidak memberikan nasihat lagi kepada sesiapa pun dari kaum muslimin.”

Ibnu Abid Dunya meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Khaniq, dia berkata, “Yahya bin Zakaria AS berjumpa dengan iblis terkutuk.

Yahya berkata kepadanya, “Wahai iblis, beritahukanlah kepadaku! Siapakah orang yang paling kamu cintai dan siapa pula orang yang paling engkau benci?”

Iblis berkata, “Orang yang paling saya cintai ialah orang beriman yang kedekut. Dan orang yang paling saya benci ialah orang fasik (pelaku dosa) yang dermawan.”

Yahya berkata, “Mengapa boleh demikian?”

Dia berkata, “Sifat kedekut bagi orang yang kedekut itu sudah memadai bagi saya. Sementara orang yang permurah pula, saya khuatir jika Allah melihat kemurahannya itu lalu Dia menerima amalnya.” Kemudian dia berpaling sambil mengatakan, “Kalau anda bukan Yahya, saya tidak akan memberitahukannya.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.