Abu Bakar Al-Qusyi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Umar a.s. dia berkata, “Pada suatu ketika Iblis berjumpa dengan Musa AS lalu dia berkata kepada Musa. “Wahai Musa, kamu ialah orang yang dipilih Allah untuk mengembangkan risalah-Nya dan Dia juga bercakap langsung dengan-Mu. Sedangkan, saya ialah satu daripada makhluk Allah yang telah berbuat dosa. Saya sangat ingin bertaubat. Berikanlah syafaatmu di sisi Tuhanmu supaya Dia menerima taubat saya!” Oleh itu Musa AS berdoa kepada Allah, lalu dikatakan, “Wahai Musa, keperluanmu telah dipenuhi!”
Kemudian Musa AS menjumpai iblis dan berkata, “Kamu diperintahkan untuk sujud pada kubur Adam AS dan taubatmu akan diterima.”
Lalu iblis menyombongkan diri dan marah. Dia berkata, “Ketika dia masih hidup lagi saya tidak mahu bersujud kepadanya. Bagaimana mungkin saya akan sujud kepadanya setelah dia mati?”
Lalu iblis berkata, “Wahai Musa, sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap syafaat yang telah kamu mintakan kepada Tuhan-Mu untukku. Ingatlah saya pada tiga keadaan, nescaya kamu tidak akan binasa. Ingatlah saya ketika kamu marah, kerana bisikan saya menembus hatimu, mata saya berada pada dua matamu dan saya berjalan di dalam dirimu seperti darah yang mengalir.
Dan ingatlah saya ketika kamu berperang di jalan Allah kerana saya mendatangi manusia ketika dia berperang di jalan Allah. Lalu, saya mengingatkannya kepada anak-anak, isteri dan keluarganya sehingga dia berpaling. Dan jangan sekali-kali kamu duduk-duduk bersama perempuan yang tidak mahramnya. Hal ini adalah kerana saya ialah utusannya kepadamu dan saya juga utusanmu kepadanya.”
Al-Qursyi juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdul Rahman bin Ziyad RA dia berkata, “Tatkala Nabi Musa AS duduk pada salah satu majlisnya, tiba-tiba iblis datang menjumpainya dengan memakai baju luar yang panjang dan memakai tutup kepala yang berwarna-warni. Ketika ia telah dekat dengan Musa AS dia melepaskan baju luarnya dan meletakkannya. Kemudian ia mendatanginya seraya berkata kepadanya, “Assalamualaikum ya Musa (semoga kesejahteraan menyertaimu wahai Musa),’
Musa: Siapakah anda?
Iblis: Saya ialah iblis.
Musa: Semoga Allah membinasakanmu. Mengapa kamu datang ke sini?
Iblis: Saya datang hendak mengucapkan salam kesejahteraan kepada anda, kerana kedudukan anda yang agung di sisi Allah SWT.
Musa: Benda apa yang saya lihat di atas kepalamu?
Iblis: Dengannya saya menerkam hati hamba-hamba Allah.
Musa: Perbuatan apa yang ketika manusia melakukannya engkau dapat menjerumuskannya?
Iblis: Apabila dia merasa bangga dengan dirinya , merasa amal solehnya telah banyak dan dia melupakan dosa-dosanya
Ingat tiga perkara:
Pertama: Jangan sekali-kali berdua-duaan dengan perempuan yang bukan mahram anda (tidak halal bagi anda). Hal ini adalah kerana tidak ada seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, melainkan saya akan menjadi kawan setianya sehingga saya menjerumuskannya.
Kedua: Jangan membuat perjanjian kecuali anda akan menepatinya. Sebabnya ialah seseorang tidak akan membuat perjanjian dengan Allah melainkan saya akan menjadi kawan setianya, sehingga saya memalingkannya daripada memenuhi janjinya.
Ketiga: Jangan berniat sedekah melainkan anda akan menunaikanya. Hal ini adalah kerana seseorang tidak akan berniat mengeluarkan sedekah tetapi dia belum menunaikannya, melainkan saya akan menjadi kawan setianya, hingga saya membuatkannya lalai untuk menunaikannya.
Kemudian iblis pergi sambil berkata, ‘Celaka!Celaka!Celaka! Musa AS telah mengetahui apa yang harus diwaspadai oleh umat manusia.”