Syaitan Menghalang Manusia Daripada Kebenaran

453

Syaitan telah berjanji pada dirinya sendiri, bahawa dia akan menyesatkan dan memalingkan semua umat manusia kecuali orang-orang yang berlindung kepada Allah SWT dan membentengi dengan keikhlasan. Syaitan tidak akan mampu menggoda dan menjerumuskan mereka. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum aku sebagai sesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Surah al-A’raf: 16-17)

Al-Qurtubi berkata, “Maksud Firman Allah SWT, ‘Saya benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus…’ ialah syaitan sentiasa berusaha untuk memalingkan dan menghalang mereka dari jalan Allah yang lurus dan menghiasi kebatilan (memandang baik sebuah kebatilan atau dosa), hingga mereka binasa seperti dirinya sendiri yang telah binasa. Al-Qurtubi berkata, “Jalan yang lurus ialah jalan menuju syurga.”

Hakam bin Utaibah berkata mengenai firman Allah SWT “Dari muka mereka” bermaksud dari dunia mereka. Seterusnya ayat “Dan dari belakang mereka…” pula membawa maksud dari akhirat mereka. Manakala ayat “Dan dari kanan mereka…” pula bermaksud dari kebaikan mereka, dan “Dan dari kiri mereka…” bererti dari kejahatan mereka.

Nahhal berkata, “Ini merupakan perkataan Al-Hasan yang disertai dengan penjelasannya, bahawa firman Allah bermaksud “Kemudian saya (iblis) akan mendatangi mereka dari muka mereka…” Iaitu dari dunia mereka, sehingga mereka mendustakan tanda-tanda kebesaran Allah dan berita tentang umat-umat terdahulu di dalam dunia ini. “Dan dari belakang mereka…” Iaitu dari akhirat mereka, sehingga mereka mendustakannya. “Dan dari kanan mereka…” Iaitu dari kebaikan dan aturan agama mereka. Hal ini ditunjukkan oleh Firman Allah swt:

Maksudnya: “Sesungguhnya (pengikut-pengikut) mereka berkata (kepada pemimpin-pemimpin mereka): “Kamulah yang dahulu datang kepada kami dari kanan.” (Al-Shafat: 28)

Ayat “Dan dari kiri mereka…” iaitu dari kejahatan mereka. Maksudnya, mereka menuruti keinginan hawa nafsu dan syahwat kerana iblis membuatkan mereka memandang baik akan perbuatan dosa dan maksiat. “Dan Engkau akan mendapati mereka kebanyakan tidak bersyukur (taat).” Iaitu mengesakan Allah, patuh dan tunduk kepada-Nya dan menamoakkan rasa syukur.

Diriwayatkan (sahih) dari Abdullah bin Abbas RA, dia berkata, “Iblis tidak berkata, ‘Dari atas mereka…’ kerana dia tahu bahawa Tuhan mereka berada di atas mereka.”

Qatadah berkata, “Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya syaitan menghampirimu dari setiap penjuru. Tetapi dia tidak akan menghampirimu dari atas, kerana dia tidak akan mampu untuk menghalangmu dari rahmat Allah SWT.

Syaqiq berkata, “Pada setiap pagi, syaitan selalu menghalang saya (dari jalan yang benar) dari empat penjuru iaitu dari muka, belakang, kanan dan kiri saya.” Dari muka saya, syaitan berkata, “Jangan takut, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Maka saya membaca firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)

Dari belakang saya, syaitan menakut-nakutkan saya akan ketersia-siaan orang-orang yang berada di bawah tanggungan saya. Maka saya membaca firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah jua yang memberi rezeki dan Dia mengetahui tempat tinggalnya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” (Surah Hud: 6)

Dari kanan saya, syaitan menghampiri saya melalui fitnah perempuan. Maka saya membaca firman Allah SWT:

Maksudnya: “Musa berkata kepada kaumnya: “Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; diwariskanNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya daripada hamba-hambaNya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Al-A’raf: 128)

Dan dari kiri saya, syaitan menghampiri dengan nafsu dan syahwat. Maka saya membaca firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan diberi penghalang antara mereka dengan apa yang mereka inginkan sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang sefahaman dengan mereka yang terdahulu. Sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) dalam keraguan yang mendalam” (Surah Saba’: 54)

Ibnul Qayyim berkata, “Jalan yang di lalui oleh manusia hanya empat. Adakalanya dia melalui jalan kanan, jalan kiri, dan adakalanya jalan muka serta jalan belakang. Jalan mana sahaja yang dia tempuh, dia akan mendapati syaitan bertenggek di sana. Apabila dia melalui jalan ketaatan, syaitan akan berusaha keras agar orang tersebut berhenti dan tidak melakukannya lagi, atau dia akan menghalangi dan merintanginya.

Apabila dia melalui jalan kemaksiatan, dia akan menyedari bahawa syaitan sentiasa menghasut agar dia terus melakukannya. Syaitan akan menjadi penolong, pembantu dan pemberi angan kepadanya dalam hal ini. Jika dia sepakat untuk turun kepada tahap yang lebih rendah, nescaya syaitan akan menunggunya di sana.”

Imam Ahmad dan Nasa’i meriwayatkan daripada hadis Subrah bin Abul Fakih bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan menghalangi (menjerumuskan) manusia pada semua jalan hidupnya. Syaitan menghalanginya dalam keIslamannya, dia berkata, ‘Apakah kamu masuk Islam dan meninggalkan agamamu dan agama bapamu serta agama nenek moyangmu?’ Namun dia tidak memperdulikannya, dia tetap teguh dengan keIslamannya. Lalu syaitan menghalang hijrahnya, dia berkata, ‘Adakah kamu hendak berhijrah dan meninggalkan tanah Nil dan tempat tumpah darahmu? Berhijrah sama saja dengan kuda yang terikat’. Tetapi dia tidak memperdulikannya, dia tetap melakukan hijrah. Kemudian syaitan menghalangnya lagi dari jalan jihad, dia berkata, ‘Adakah kamu mahu berjihad, padahal jihad membuatkan jiwa dan hartamu lenyap? Kamu berperang hingga kamu terbunuh, lalu isterimu dinikahi orang, dan hartamu juga akan dibahagi-bahagikan,’ tetapi dia tidak memperdulikannya, dia tetap berjihad. Barang siapa yang melakukan hal ini, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. Sesiapa yang terbunuh (di medan perang), maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. Siapa yang tenggelam (lalu meninggal dunia), Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. Dan siapa yang terlempar dari binatang tunggangannya lalu meninggal, Allah akan memasukkanya ke dalam syurga.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.