Perbuatan Sihir Terhadap Rasulullah SAW

666

Persoalan tentang Nabi Muhammad SAW terkena sihir menjadi perbahasan panjang di kalangan para ulama. Segelintir individu menafikan bahawa Nabi Muhammad SAW terkena sihir di atas faktor Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang mendapat perlindungan dan pemeliharaan daripada Allah SWT daripada kejahatan manusia lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 67:

Terjemahannya: “Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Berdasarkan kepada firman Allah SWT tersebut, ia menjadi dalil dan hujah bagi mereka yang menafikan bahawa Nabi Muhammad SAW boleh disakiti dengan dikenakan kemudaratan terhadap diri baginda sedangkan Allah SWT sentiasa memelihara baginda daripada kejahatan tersebut. Ibnu Hajar yang memetik pendapat al-Maziri mengatakan bahawa ahli bid’ah mengingkari hadith yang menyebutkan Nabi Muhammad SAW disihir kerana ia merendahkan martabat kenabian dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Menurut mereka lagi, jika sihir benar-benar berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW, pasti ia menghilangkan kepercayaan terhadap perkara-perkara yang disyariatkan oleh baginda dan kenyataan baginda yang mengatakan bahawa baginda melihat Jibrail AS datang menemui baginda adalah khayalan semata-mata dan ia tidak berlaku.

Walau bagaimanapun terdapat jawapan tentang persoalan Nabi Muhammad SAW disihir atau tidak di mana sebenarnya disebutkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab sahih sahih mereka melalui hadith yang jelas lagi sahih. Hadith tersebut menceritakan peristiwa Nabi Muhammad SAW telah disihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin Al-A’sam sehingga memberi kesan perubahan atau kesakitan kepada tubuh badan baginda.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah RA:

Terjemahannya: “Rasulullah SAW pernah terkena sihir oleh seorang lelaki daripada bani Zuraiq yang bernama Labid bin Al-A’sam sehingga baginda sentiasa berasa melakukan sesuatu perkara, padahal baginda tidak melakukannya.”

Hadith ini menyebutkan bahawa selepas Nabi Muhammad SAW disihir oleh seorang Yahudi, baginda merasakan berlaku perubahan kepada perasaan dan keadaan diri. Apa yang dialami baginda ialah merasakan telah melakukan sesuatu tetapi tidak dapat memastikan sama ada telah melakukannya atau sebaliknya.

Dalam riwayat yang lain pula, dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW dalam keadaan khayal dan baginda merasakan telah mendatangi Sayidatina Aisyah RA, padahal sebenarnya tidak.

Daripada keadaan Nabi Muhammad SAW sedemikian, menunjukkan bahawa baginda benar-benar disihir dan ia memberi kesan terhadap tubuh badan baginda. Tambahan lagi, dalam hadith itu menunjukkan bahawa baginda SAW sendiri tidak mengetahui keadaan sebenar apa yang berlaku terhadap diri baginda sehingga baginda terus berdoa dan berdoa memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT.

Dengan rahmat Allah SWT yang sentiasa memelihara pesuruhNya, Allah SWT telah mengutuskan dua malaikat untuk memberitahu keadaan sebenar apa yang telah berlaku terhadap baginda. Melalui dialog antara dua malaikat tersebut, Nabi Muhammad SAW mengetahui bahawa baginda disihir dan perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang lelaki daripada kalangan orang Yahudi.

Ibnu Al-Qayyim mengatakan bahawa terdapat segolongan manusia yang mengingkari tentang sihir yang menimpa Nabi Muhammad SAW. Mereka mendakwa bahawa perkara tersebut tidak seharusnya menimpa ke atas Nabi Muhammad SAW. Hujah yang dinyatakan, jika baginda boleh disihir bermakna terdapat kekurangan serta ia merupakan sesuatu yang mengaibkan Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya, sangkaan dan dakwaan itu adalah salah kerana sihir yang menimpa ke atas Nabi Muhammad SAW adalah merupakan penyakit daripada pelbagai penyakit yang boleh menimpa kepada sesiapapun termasuk nabi sendiri sebagai manusia biasa sepertimana kesan racun ke atas tubuh seseorang.

Manakala Al-Qadi ‘Iyad pula mengatakan bahawa sihir ialah satu penyakit dan ia boleh berlaku ke atas baginda SAW sebagaimana penyakit-penyakit lain yang tidak perlu lagi diingkari serta ia tidak pula menjejaskan kenabian baginda SAW.

Oleh yang demikian, menurut Al-Maziri sebahagian ulama mengatakan bahawa maksud hadith iaitu Nabi Muhammad SAW menyangka bahawa baginda telah menjimak isteri baginda padahal tidak, adalah merupakan khayalan yang biasa dialami oleh seseorang dalam tidur.

Dari itu, tidak mustahil ia akan berlaku ketika jaga. Tambah Ibnu Hajar, kenyataan tersebut dikukuhkan lagi melalui riwayat dalam Sahih al-Bukhari iaitu dengan lafaz:

Terjamahannya: “Sehingga baginda menyangka bahawa baginda telah menjimak isterinya, padahal tidak.”

Al-Qadi ‘Iyad pula mengatakan lagi, perkara ini jelas sekali menunjukkan bahawa sihir yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW hanya menguasai dan mengganggu jasad serta anggota tubuh badan sahaja tetapi tidak pada akal dan keyakinan baginda.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan yang dikemukakan oleh para ulama, secara jelas diyakini bahawa Nabi Muhammad SAW tidak terlepas daripada terkena sihir. Sihir tersebut telah memberi kesan kepada tubuh badan baginda kerana hakikat Rasulullah SAW ialah seorang manusia serta ianya berlaku dengan izin Allah SWT.

Apabila Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu perkara, maka terjadilah perkara tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Terjemahannya: “Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.”

Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 82:

Terjemahannya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!” “Maka ia terus menjadi.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.