Penyebab Gangguan Syaitan Di Rumah (Bahagian 5)

135

RUMAH YANG PENGHUNINYA TERUS MENERUS MELAKUKAN MAKSIAT

Tidak ada seorang pun yang maksum (terpelihara dari dosa) kecuali para nabi yang mulia. Namun, kita wajib menghentikan perbuatan maksiat dan dosa sekalipun dosa kecil (shaghair). Allah pasti akan menerima taubat orang yang melakukan maksiat kemudian dia memohon ampun, bahkan Dia akan mengganti perbuatan jahatnya itu dengan kebajikan, sesuai dengan firman-Nya dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman, dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Furqan: 70)

Marilah kita menjadi orang yang bersungguh-sungguh menghentikan kemaksiatan sekalipun kemaksiatan tersebut kecil kerana kemaksiatan kecil jika dikerjakan berkesinambungan akan menimbulkan bahaya dan dosa besar. Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang hamba jika melakukan satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan satu noktah hitam. Jika dia menghapusnya (bertaubat) dan beristighar, hatinya akan kembali putih bersih. Tetapi jika dia menambahnya dengan dosa lain, noktah itu pun bertambah sehingga menutup hatinya.”

Itulah kata-kata yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat berikut ini yang bermaksud:

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”
(Al-Muthaffifin: 14)

Nabi SAW telah melarang kita meremehkan atau menganggap kecil perbuatan maksiat atau dosa. Larangan itu kita jumpai dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad berikut ini bermaksud:

“Janganlah kamu menganggap kecil dosa kerana orang yang menganggap kecil dosa itu ibarat orang yang turun ke perut sebuah lembah. Yang satu membawa sebatang kayu, yang kedua pun membawa sebatang kayu, dan yang lainnya pun demikian sehingga kayu-kayu tersebut berhimpun banyak yang dengannya mereka mampu memasak masakannya. Dan sikap menganggap dosa itu sebagai sesuatu yang kecil (meremehkan dosa) itu akan mencelakakan perlakunya.”

Dengan demikian dapat dikatakan bahawa akibat buruk dari perbuatan maksiat itu sangat besar, di antaranya adalah mencegah pelakunya dari rezeki sebagaimana disebutkan di dalam hadis Tsauban RA yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang dilakukannya.”

Para sahabat menganggap besar, dosa kecil sebagaimana dituturkan oleh Anas RA berikut ini:

“Kamu sungguh mengerjakan suatu amal yang lebih kecil di mata kamu daripada sehelai rambut yang pada zaman Rasulullah SAW kami anggap sebagai mubiqot (dosa besar yang mencelakakan)!”

Bermaksiat kepada Allah merupakan tanda kebencian seorang manusia kepada Allah SWT sebagaimana telah difirmankan dalam ayat berikut ini yang bermaksud:

“Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi satu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu, maka apabila datang ajal mereka maka sesungguhnya Allah adalah Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.” (Fathir: 45)

Jika Allah SWT terus menyeksa manusia kerana kemaksiatan yang dilakukannya, nescaya tidak ada seorang manusia pun hidup di muka bumi ini. Allah SWT menyeksa mereka kerana kemaksiatan yang mereka lakukan. Dari situ kita dapat melihat betapa besar kasih sayang Allah kepada umat Muhammad.

Allah SWT memaafkan mereka di dunia dengan tidak membinasakannya sekalipun mereka begitu rakus terhadap kemaksiatan. Penyeksaan Allah tangguhkan di akhirat kelak. Perhatikanlah ayat di atas: “… akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, hingga waktu yang tertentu …”

Sekalipun kemungkaran itu mengharuskan datangnya seksaan yang salah satu jenisnya adalah pengubahan rupa dan jenis pelaku maksiat, janji Allah SWT akan menangguhkan seksa di akhirat kelak telah mendahului ancaman keras-Nya sehingga Allah tidak akan menyeksa pelaku maksiat seperti terhadap umat-umat terdahulu sebagaimana dinyatakan Allah dalam ayat berikut yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang telah diberi Al-Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami mengubah muka-(mu), lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kituk mereka sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang (yang melakukan maksiat) pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku.” (An-Nisa’: 47)

Ayat di atas menerangkan bahawa Allah SWT akan menghapuskan garis-garis bentuk dan rupa wajahnya dan Allah SWT menjadikan wajahnya seperti bahagian belakang kepala (tengkok) atau Allah SWT sungkurkan mereka di dunia dan di akhirat.

Selain itu, ada juga mengatakan bahawa maksud ayat di atas adalah sebelum Allah SWT mengubah wajahnya, Allah SWT mencabut kewibawaan dan kemuliaannya, Allah SWT rarik penghormatan orang lain terhadap dirinya, dan Allah SWT pakaikan kepada mereka pakaian kehina-dinaan dan berpalingnya orang lain darinya (lihat Tafsir Baidhawi).

Dengan demikian, pelaku maksiat dan orang yang derhaka kepada Allah akan hina, rendah, dan sentiasa diliputi kesengsaraan. Darinya Allah akan menarik kemuliaan dan kedudukan tinggi yang telah diraihnya.

Imam Baidhawi, ketika mengulas ayat: “… sebelum Kami mengubah muka-(mu) …,” mengatakan bahawa Allah membutakan pandangan sehingga manusia tidak mampu mengambil pelajaran dan sebelum Allah menulikan pendengaran sehingga manusia tidak mendengar kerana telinganya tertutup, dan Allah mengembalikan orang itu pada kesesatan setelah memperolehi hidayah.”

Allah SWT menghina mereka dengan mengubah bentuk mereka sebagaimana kamu Yahudi yang bermaksiat pada hari Sabtu, Allah mengutuk mereka sebagaimana kamu yang dikutuk melalui lidah Daud AS, Allah SWT pun mengingatkan kita agar menjauhi larangan dan mentaati perintah-Nya sebagaimana firman-Nya berikut ini yang bermaksud:

“… maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.”‘

Rasulullah SAW yang disifatkan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“… berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.”

Ia telah mengingatkan tentang seksa Allah yang adakalanya datang dengan tiba-tiba. Baginda pun berpesan bahawa Allah SWT itu akan cemburu sebagaimana disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang mengatakan:

“Sesungguhnya Allah Taalah itu cemburu, dan cemburunya Allah itu berlaku bagi orang yang melanggar apa yang telah diharamkan oleh-Nya.” (HR. Muttafaq ‘Alaih)

Kerana itu, hendaklah kita selalu berwaspada menjauhi kemaksiatan dan perbuatan dosa, baik dosa besar mahupun kecil. Jika suatu waktu kita lalai sehingga melakukan maksiat, segeralah bertaubat. Allah pasti memberikan keampunan-Nya kerana Allah itu Maha Hidup lagi Maha Mulia serta tidak akan membiarkan seorang hamba yang kembali dan memohon keampuan kepada-Nya berganjak dari tempatnya bertaubat dalam keadaa tangan hampa selama seorang hamba memohon keampunan dengan penuh ketundukan, kerendahan dan keikhlasan.

Marilah kita membiasakan diri untuk beristighfar dan bertaubat, mudah-mudahan Allah SWT memperkenankan permohonan kita sehingga kita memperolehi keuntungan di dunia dan di akhirat. Marilah kita berlumba-lumba menuju Allah.

Bersambung…

Get real time updates directly on you device, subscribe now.