Penyebab Gangguan Syaitan Di Rumah (Bahagian 4)

142

RUMAH YANG PENGHUNI LELAKINYA MEMAKAI ZA’FARAN

Sempurnanya kejantanan bagi seorang lelaki merupakan sesuatu yang dianjurkan oleh syariat. Kerana itu, Islam melarang seorang lelaki bertasyabbuh (meniru dan menyerupai wanita). Perhatikanlah hadis-hadis berikut ini.

Ammar bin Yasir RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Terdapat tiga orang yang akan dijauhi malaikat, iaitu jenazah orang kafir, lelaki yang melumurkan badannya dengan wangi-wangian khas wanita (za’faran), dan orang yang sedang berjanabah, kecuali jika dia berwuduk.”

Ammar bin Yasir RA kembali mengatakan: “Pada suatu malam aku pulang ke keluargaku dalam keadaan tangan yang terluka dan pecah-pecah. Maka, mereka melumurkan badanku dengan minyak za’faran (sejenis kunyit). Ketika aku mengadap Rasulullah SAW dan mengucapkan salam kepada baginda, baginda tidak menyambutku sebagaimana biasanya. Baginda justeru bertutur. ‘Pergi, cucilah badanmu dahulu!’

Setelah aku mencuci badanku untuk menghilangkan wangi-wangian, baginda menyambutku dengan ramah sebagaimana biasanya. Lalu baginda berkata: ‘Sesungguhnya malaikat tidak mahu menghadiri jenazah orang kafir untuk memberi kesaksian dengan kebaikan, juga tidak mahu mendekati lelaki yang melumurkan badangan dengan wangi-wangian za’faran (yang khusus bagi wanita), serta tidak mahu mendekati orang yang berjanabah.

Huraian Imam Nawawi tentang hadis di atas: “Orang yang didekati oleh syaitan, pasti dijauhi malaikat.” Malaikat tidak mahu mendekati lelaki yang menggunakan wangi-wangian jenis itu kerana perbuatan lelaki itu menyerupai wanita dan juga menyerupai orang kafir dalam perkara menurut hawa nafsu.

Buraidah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Terdapat tiga orang yang tidak akan didekati oleh malaikat, iaitu orang yang mabuk, lelaki yang melumurkan badannya dengan za’faran (yang khusus bagi wanita), serta orang yang sedang berjanabah.”

Anas RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW melarang lelaki memakai za’faran. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Telah terjadi ikhtilaf tentang larangan za’faran bagi lelaki, apakah kerana aromanya yang khas untuk wanita atau kerana warnanya.”

Kerana itu, jauhilah setiap perbuatan yang bertentangan dengan syariat, baik yang berkaitan dengan pakaian, penampilan, mahupun makanan atau minuman. Dengan menjauhi perkara seperti itu kita akan meraih kejayaan dan keuntungan di dunia dan selali didampingi malaikat rahmat, serta di akhirat kita akan memperolehi kebahagiaan dan kenikmatan abadi. Semoga Allah menganugerahkan kita taufik dan hidayah dalam menjalankan amal yang dicintai dan diredai-Nya.

RUMAH SEORANG PEMBOROS

Al-Quranul Karim telah mengingatkan kita dari sifat boros (berlebih-lebihan dalam menggunakan wang) dan menyifatkan mereka sebagai saudaranya syaitan. Pada dasarnya, syaitan itu sangat senang menghambur-hamburkan harta dan tentu tidak menggunakannya di jalan Allah.

Di antara sikap yang termasuk kategori israf (boros) itu adalah membeli alat-alat rumah tangga yang banyak dan mahal (secara tidak wajar). Kaitannya dengan perkara ini, Rasulullah SAW bersabda:

“Satu tempat tidur untuk lelaki, satu tempat tidur untuk wanita, satu tempat tidur lagi untuk tetami. Sedangkan, tempat tidur yang keempat adalah untuk syaitan.”

Bertolak dari perkara itu, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk menyingkirkan kotoran dari suapan kita yang jatuh ke tanah, lalu suapan itu kita makan. Ertinya, kita tidak membiarkan makanan itu untuk syaitan. Untuk itu, baginda bersabda:

“Sesungguhnya syaitan hadir bersama salah seorang dari kamu dalam setiap perbuatan yang dikerjakannya, walaupun itu dalam keadaan makan. Jika ada suapan yang jatuh, hendaklah dia mengambilnya dengan membuang kotoran yang menempel, lalu makanan dimakan agar tidak dibiarkan untuk dimakan syaitan. Setelah makan hendaklah dia membersihkan jarinya kerana dia tidak mahu di mana letak keberkatan makanan itu.”

Demikianlah ajaran Rasulullah SAW yang harus kita patuhi ketika makan. Hadis-hadis tentang kesederhanaan dalam memiliki barang-barang atau alat rumah tangga membuktikan bahawa Rasulullah SAW membimbing kita untuk tidak hidup berfoya-foya, boros, juga tidak kedekut atau bakhil. Sikap yang baginda anjurkan adalah sikap pertengahan yang sesuai keperluan dengan pengharapan penuh atas segala sesuatu di sisi Allah.

Kita pun dapat melihat bagaimana gaya hidup Rasulullah SAW, baik dalam perkara alat-alat rumah tangga mahupun keadaan rumah tangga baginda. Semua mencerminkan ketawadukan, kewajaran, dan kesederhanaan sebagai bukti keredaan baginda atas ketetapan Allah. Baginda sangat meyakini bahawa kedudukan manusia di dunia ini laksana tetamy yang akan segera meninggalkan dunia. Kaitannya dengan perkara ini Rasulullah SAW bersabda: “Jadilah engkau di dunia laksanan orang asing atau musafir.”

Alas tidur Rasulullah SAW pun hanya terdiri atas kulit kambing bersulam jerami. Demikianlah teladan yang diberikan Rasulullah SAW untuk manusia zaman sekarang ini.

Berikut ini akan ketengahkan beberapa bukti gaya hidup Rasulullah SAW yang patut kita teladani. Ummul Mukminin Aisyah RA berkata: “Alas tidur Rasulullah SAW berdiri atas kulit kambing berlapis sabut.” Aisyah RA pun menceritakan bahawa bantal yang ditidurinya Rasulullah SAW hanya dari kulit yang isinya sabut.

Begitulah bimbingan Rasulullah SAW dan para sahabat untuk kita. Anas bin Malik mengetengahkan cerita tentang Umar bin Khattab RA: “Aku melihat Umar yang ketika itu sudah menjadi khalifah (Amirul Mukminin), pada baju bahagian bahunya terdapat tiga tempat tampalan.”

Penulis kitab Aridhatul-Ahwadzi menghuraikan: “Allah SWT melarang sikap israf dalam berpakaian dan memerintahkan kita untuk hemat dan sederhana dalam segala perkara. Sementara itu, Dia telah menciptakan manusia dengan sifat yang memerlukan makanan dan minuman juga dianugerahkan nafsu syahwat. Lalu di hadapan manusia Dia membentangkan dua model hidup, iaitu gaya hidup boros, israf dan bermegah-megah serta gaya hidup yang hemat dan sederhana. Tentu sahaja Dia melarang manusia melaksanakan gaya hidup pertama dan menganjurkan gaya hidup yang kedua.

Larangan dan anjuran itu mengandungi hikmah yang luhur. Allah menangguhkan kesenangan duniawi bagi orang-orang yang taat menjalani perintah-Nya untuk kemudian diganti-Nya di akhirat kelak. Hikmah diciptakan kesenangan dan kemewahan dunia di hadapan orang-orang yang mentaati syariat Allah adalah agar semuanya menjadi pemacu yang akan diraihnya di akhirat kelak.

Semua disediakan bagi orang-orang yang taat di akhirat kelak.” Demikianlah, Rasulullah SAW dan para sahabat membimbing kita melalui teladan. Marilah kita menjadi hamba Allah yang bersikap hemat dan sederhana dalam hidup. Jauhilah gaya hidup mewah, boros, dan membazir, tetapi hindarilah sikap hidup yang sebaliknya, seperti kedekut dan bakhil. Semua kita lakukan dalam rangka mencari keredaan Allah dan agar malaikat rahmat sentiasa mendampingi kita serta memasuki rumah kita yang meneladani gaya hidup rumah tangga Rasulullah SAW.

Bersambung…

Get real time updates directly on you device, subscribe now.