Telah terbukti di kalangan para Imam kaum muslimin bahawa setengah manusia boleh berhubung dan meminta bantuan daripada golongan jin yang dikenali sebagai sihir. Maka penggunaan tukang sihir yang meminta bantuan jin, syaitan atau ifrit untuk melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh mereka adalah sesuatu yang nyata.
Ibnu Taimiyah menjelaskan jumhur ulamak telah mengetahui tentang kewujudan jin, sihir dan mengetahui yang mereka boleh meminta pertolongan jin dengan menggunakan azimat atau sebagainya. Samada orang yang beriman, orang yang kafir , dan orang musyrikin dengan membaca sesuatu jampian yang membawa kepada peribadatan kepada jin serta mengagungkan dan memuja mereka. Pada umumnya, bacaan mereka tidak difahami dan selalunya membawa kepada syirik.
Sihir memang telah wujud sejak zaman-berzaman sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran seperti di dalam surah Al-Baqarah ayat 102,
Maksudnya:
“Dan mereka ikuti cerita-cerita setan pada masa kerajaan Sulaiman padahal Sulaiman tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itu yang kafir yang mengajarkan ilmu sihir kepada manusia dan mereka mengikuti ajaran yang diturunkan kepada malaikat di negara Babylon di zaman Harut dan Marut dan keduanya itu tidak mengajarkan kepada sesorang melainkan dinasihatinya bahawa sebenarnya yang kami ajarkan ini hanya sebagai ujian, kerananya janganlah engkau menjadi kafir, lalu mereka mempelajari dari 2 malaikat tadi untuk menceraikan antara suami dan isteri (dan mereka tidak bisa membuat celaka seseorang dengan perbuatannya itu, kecuali dengan izin Allah) dan mereka belajar hanya apa yang mencelakakan, bukan yang akan membawa manfaat kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka itu mengetahui bahawa orang yang mempelajari ilmu yang sedemikian itu tidak akan mendapat bahagia apa-apa di akhirat kelak. Alangkah kejinya pengorbanan yang mereka lakukan itu kalau mereka menyedari.”
Asy-Syeikh Mustafa Al-Hadidi Al-Tair berkata, “Pada awal kurun ini ada seorang ahli sihir yang dilihatnya secara berdepan iaitu beliau meminta kepda orang ramai supaya mencampakkan cincin mereka ke dalam laut. Setelah itu, beliau boleh mengembalikan semula cincin mereka itu bahkan boleh melakukan berbagai-bagai perkara yang menakjubkan. Setelah dia meninggal dunia, anaknya ingin meneruskan apa yang telah dilakukan oleh ayahnya tetapi ditegah oleh ibunya dan menjelaskan bahawa ayahnya melakukan perbuatan syirik dengan menyembah anak patung yang disimpannya di dalam almari supaya syaitan akan membantunya untuk apa sahaja perkara yang menakjubkan . Ibunya berpesan supaya tidak menjadi kafir sebagaimana ayahnya.”
Ibnu Batuta menyebut dalam perjalanannya ke India bahawa beliau pernah melihat amalan sihir di sana juga apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Iyas dan juga ahli-ahli sejarah yang lain.
Asy-Syeikh Ad – Duktur Al-Husaini Abu Farhah, Dekan Kuliah Dakwah Islamiah di Universiti Al-Azhar mengatakan, “Ramai di kalangan manusia yang pergi menemui mereka yang ada hubungan dengan jin untuk mendapatkan khidmat daripada mereka kerana percaya jin mempunyai kekuatan tertentu yang boleh membantu manusia. Ada di kalangan mereka yang boleh mengetahui setengah-setengah berita dan membawa berita itu dengan secepat mungkin daripada satu tempat yang lain. Golongan jin ini boleh tinggal bersama di tempat kita tetapi tidak dapat melihat mereka sebaliknya mereka dapat melihat kita. Mereka dapat mengetahui perkara yang ghaib yang telah lalu dan sekarang. Disebabkan mereka bolehbergerak pantas, mereka boleh pergi ke mana-mana dengan segera tetapi mereka tidak dapat mengetahui perkara yang akan datang. Mereka juga mengetahui cara perubatan melalui pengalaman manusia kerana mereka dapat mendengar perbualan di kalangan umat manusia. Itulah sebabnya ahli sihir yang kuat hubungannya dengan jin dapat mengetahui perkara-perkara yang telah lalu dan yang sekarang mengenai perkara yang tidak diketahui oleh kita yang kebetulannya umur jin memang panjang.”
Al-Buti di dalam Fiqh-Sirah mengatakan bahawa Jumhurul Muslimin mengakui tentang sifat sihir ini. Ianya adalah satu hakikat yang berlaku sebagaimana yang berlaku pada diri Rasulullah SAW sendiri yang disihir oleh Lubaid bin Al-A’sam sehingga baginda membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas untuk menolak sihir berkenaan dan akhirnya sihir itu pun terbatal.
Sebagai penjelasan maka elok diterangkan di sini perkara-perkara yang menyalahi adat kebiasaan atau apa yang disebut sebagai yang mencarik adat. Perkara-perkara yang mencarik adat ada enam perkara iaitu:-
- Mu’jizat
- Karamah
- Istidraj
- Irhas
- Ma’unah
- Ihanah
- Mukjizat
Ia adalah sesuatu yang mencarek atau menyalahi adat yang disertai dengan cabaran yang dikurniakan Allah kepada para Rasul AS dan Anbia (Nabi-Nabi) sesuai dengan dakwaannya, bagi membuktikan kebenaran risalah Tauhid (agama Allah).
- Karamah
Ia adalah sesuatu yang menyalahi adat yang dilahirkan oleh Allah kepada para wali.
- Istidraj
Iaitu yang juga menyalahi adat yang lahir ditangan orang fasiq dan kafir yang biasanya berlaku pada tukang sihir. Terjadinya perkara yang menyalahi adat itu berulang-ulang dan ilmu itu dipelajari.
- Irhas
Iaitu yang menyalahi adat yang lahir atau berlaku pada para Nabi yang belum diutus sebagai Rasul. Umpamanya Nabi kita Muhammad SAW yang dilindungi oleh awan di Mekah dalam perjalanan, sebelum baginda diutus menjadi Rasul.
- Ma’unah
Sesuatu yang menyalahi adat yang dilahirkan oleh Allah kepada seseorang atau orang ramai ketika menghadapi kesusahan, dan contohnya amat banyak diantaranya turun Malaikat semasa peperangan Badar untuk membantu kaum muslimin.
- Ihanah
Sesuatu yang menyalahi adat yang berlaku pada tangan orang fasiq untuk menambahkan kefasiqan mereka sebagaimana yang berlaku pada Musailamah Al-Kazzab. Beliau meludah pada mata seseorang yang juling sehingga sembuh.
Di dalam masyarakat kita, hari ini pun tidak terkecuali di mana terdapatnya mereka yang boleh melakukan berbagai-bagai perkara yang menyalahi adat umpamanya boleh melakukan pembedahan perut dan pemindahan organ tanpa menggunakan ubat bius atau pelali, atau apa sahaja yang boleh dianggap luar biasa. Inilah yang dikatakan sebagai sihir. Dewasa ini tidak ada lagi mu’jizat kerana tiada wujud seorang Rasul ataupun Nabi. Karamah pun bukan kerana itu adalah anugerah Allah kepada paaara wali disebabkan mereka begitu hampir kepada Allah.
Irhas pun bukan kerana mereka tidak akan menjadi Rasul dan Nabi-Nabi. Rasul sudah tidak ada lagi selepas kewafatan Rasulullah SAW (Maksud ‘irhas’ ialah sesuatu yang pelik yang berlaku kepada seseorang yang bakal menjadi Rasul.)
Ma’unah juga bukan, kerana ia terjadi sekali sekala dan tidak berulang-ulang dan hanya diberi kepada orang yang bertaqwa sahaja.
Ihanah juga bukan kerana ia tidak dipelajari dan boleh juga terjadi kepada seorang yang fasiq dan kafir dan juga berlaku sekali sekala sahaja.
Kesimpulannya bahawa apa yang berlaku sekarang terhadap sesetengah orang yang boleh menanggalkan mata, atau mengeluarkan mata seseorang kemudian dibersihkan seterusnya dimasukkan balik matanya semula tanpa dibius atau dibubuh pelali adalah sihir iaitu diistilahkan sebagai ‘istidraj’. Kerana sihir itu adalah sesuatu yang menyalahi adat yang dipelajari dan berlaku pada tangan orang yang fasiq, boleh terjadi secara berulang-ulang dan tidak pernah gagal. Oleh itu, dinasihatkan pada orang ramai apabila pergi berubat hendaklah berhati-hati supaya tidak terpesona dan terjebak dengan cara yang sedemikian agar supaya aqidah kita tidak terjejas. Apabila berubat dengan tukang sihir bermakna kita meredhai perbuatan mereka yang berdosa itu.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:
Jauhilah dari tujuh perkara-perkara yang membinasakan, syirik kepada Allah dan Sihir….
Melakukan perbuatan sihir atau menyokong perbuatan mereka itu samalah juga kita berubat dengan orang yang ‘menurun’ iaitu menggunakan khidmat jin yang memasuki ke dalam badan seseorang. Kemudian ia mengubati orang dengan cara bercakap dengan jin yang meresap ke dalam jasadnya dan mengaku sebagai wali dan sebagainya. Ini juga adalah suatu cara di mana jin cuba merosakkan akidah seseorang itu.