Hal ini merupakan salah satu misi jahat syaitan terkutuk, yakni menyalakan api permusuhan di antara manusia. Dia menempuh segala jalan dan menggunakan semua kaedah memenuhi misi jahatnya ini.
Di antara perangkap syaitan untuk menggoda dan menjerumuskan umat manusia ialah khamar (sesuatu yang memabukkan). Hal ini adalah kerana dia dapat menghilangkan akal dan menghancurkan kestabilan emosi seseorang. Pada keadaan seperti ini, syaitan telah berhasil menguasai manusia sehingga berleluasa menggiringnya ke mana saja dia mahu.
Imam Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya, dari Isman bin Affan RA dia berkata: “Jauhilah khamar, kerana dia ialah induk kepada segala kejahatan. Dahulu sebelum kamu, ada seorang lelaki gemar beribadah dan memisahkan diri dari khalayak ramai. Pada suatu ketika, ada seorang perempuan rosak dan pelepas syahwat tertarik kepadanya. Oleh yang demikian perempuan ini mengutus hamba sahaya perempuannya kepada lelaki ahli ibadah ini. Dia memanggilnya untuk sebuah persaksian.
Lelaki ini pun masuk ke dalam rumah perempuan tadi bersama hamba sahaya ini. Setiap kali lelaki ini memasuki satu pintu, hamba sahaya ini menutupnya kembali hingga dia sampai di hadapan perempuan rosak yang menampakkan raut wajah berseri-seri. Perempuan ini ditemani oleh seorang anak lelaki besarta gelas berisikan khamar. Perempuan ini berkata, ‘Demi Allah, saya tidak memanggilmu kemari untuk sebuah persaksian, tetapi saya memanggilmu untuk membunuh anak kecil ini atau meminum khamar ini.’
Maka perempuan ini pun menghulurkan segelas khamar kepadanya. Lelaki ini berkata, ‘Tambah lagi.’ Akhirnya dia pun berzina dengan perempuan tersebut dan membunuh anak kecil itu.”
Perangkap lain yang digunakan syaitan untuk menjerumuskan umat manusia ialah melalui perjudian. Hal ini adalah kerana dapat membakar api permusuhan di antara manusia serta menanamkan rasa dengki di dalam jiwa.
Di antaranya juga ialah berkorban untuk berhala-berhala yang disembah selain daripada Allah SWT. Ini merupakan perangkap besar syaitan untuk menguasai umat manusia. Dia dapat mempermainkannya sebagaimana seorang anak kecil mempermainkan bola.
Perangkap syaitan yang lain ialah mengundi nasib dengan anak panah (undian). Hal ini menjadi kebiasaan kaum kafir pada zaman Jahiliah. Pada zaman kita sekarang, hal ini serupa dengan apa yang mereka namakan dengan “mengadu nasib” atau juga “meminta dibuka” maksudnya, membuka al-Quran dan melihatnya. Dia beranggapan bahawa ayat yang dibukanya itu merupakan nasib hidupnya.
Semua ini merupakan perangkap dan perbuatan syaitan terkutuk. Kerana itu, Allah SWT mengharamkan semua ini kepada kita. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya meminum arak, berjudi, (melakukan korban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui meminum arak dan berjudi itu dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan melaksanakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (dari melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu.”
(Surah Al-Ma’idah: 90-91)
Perangkap syaitan yang lainnya dalam menggoda manusia ialah melalui ucapan. Kadangkala ucapan yang digunakan untuk sesuatu yang bukan maknanya sehingga menimbulkan permusuhan, kedengkian dan kebencian. Oleh itu, Allah SWT memerintahkan untuk sentiasa mengucapkan perkataan yang baik. Allah SWT berfirman:
“Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di kalangan mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah Al-Isra: 53)
Ustaz Sayyid Quthub berkata, “Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar).”
Maknanya ialah umum dan berlaku pada setiap keadaan. Oleh itu, hendaknya mereka memilih perkataan terbaik untuk mereka ucapkan. Dengan demikian, mereka telah menjaga diri daripada pengaruh syaitan yang ingin merosak cinta dan keharmonian antara sesama mereka. Syaitan menyalakan api perpecahan antara sesama saudara hanya kerana perkataan kasar yang terlondar dan jawapan yang kurang baik.
Lantas, nilai cinta, kasih sayang, dan keharmonian dicemari dengan perselisihan dan permusuhan. Perkataan yang baik dapat mengubati luka di hati daripada rasa dendam dan permusuhan, serta menyatukannya di atas cinta yang mulia dan tulus.
Apabila kita berpindah pada pembincangan tentang etika Rasulullah SAW, kita akan menemukan baginda sentiasa menutupi setiap ruang yang terbuka yang membolehkan syaitan masuk. Imam Al-Bukhari meriwayatkan di dalam sahihnya, “Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah salah seorang di antara kalian mengacukan senjata kepada saudaranya, kerana dia tidak tahu, kalau syaitan benar-benar menimpakan senjata itu kepada saudaranya sehingga dia terperosok ke dalam lembah api neraka.”
Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam kedua-dua kitab sahih mereka: ‘Daripada Adi bin Hatim RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Bentengilah dirimu dari api neraka, walaupun hanya dengan menyedekahkan sedikit kurma, kalau tidak mampu maka dengan perkataan yang baik.”
Perkara ini bertujuan untuk menutup pintu yang menjadi ruang masuknya syaitan terkutuk, iaitu menyebarkan benih-benih pertikaian dan perpecahan dalam komuniti kaum muslimin, serta menyalakan api fitnah di antara mereka. Daripada Jabir bin Abdullah RA dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya syaitan telah berputus asa dari keinginan untuk disembah kembali di semenanjung Arab, tetapi dia sentiasa berusaha keras untuk menyebarkan benih-benih pertikaian dan perpecahan di kalangan mereka.”