Melakukan Ibadah Hanya kerana Allah

518

Tatkala syaitan bersumpah kepada Allah SWT bahawa dia akan menggoda dan menjerumuskan Adam dan anak cucunya. Allah menjawabnya dengan penjelasan bahawa, ada segolongan hamba-Nya yang tidak dapat dikuasainya. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya kamu tiada kekuasaan  ke atas hamba-hambaKu, kecuali orang yang mengikuti kamu, iaitu orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr: 42)

Siapa yang melaksanakan ibadah kerana Allah semata-mata dan secara benar, maka syaitan tidak mempunyai kekuasaan terhadapnya. Kita perlu perhatikan di sini bahawa Allah menambahkan kata-kata “Hamba-hamba” kepada zat-Nya dengan berfirman: “Hamba-hamba-Ku,” baik untuk tujuan pemuliaan ataupun untuk pengkhususan. Hal ini adalah kerana mereka melakukan berbaga-bagai ibadat hanya kepada-Nya. Sedikit pun mereka tidak memalingkannya untuk selain Allah SWT.  Namun demikian, apakah maksud ibadah?

Ibadah ialah satu istilah yang mencakupi segala hal yang dicintai dan diredhai Allah SWT Baik berupa perkataan mahupun perbuatan, zahir mahupun batin. Jenis-jenis ibadah ada empat:

  1. Pertama, ibadah badaniyah, seperti, solat, puasa, rukuk, sujud, haji, tawaf dan lain-lain.
  2. Kedua, ibadah harta, seperti; menyembelih (haiwan), nazar, zakat, sedekah dan lain-lain.
  3. Ketiga, ibadah hati, seperti; kusyuk, tunduk patuh, merasa hina, merendah, cinta, kasih sayang, berserah diri, kembali kepada Allah, meminta tolong kepada-Nya, cemas, berharap, mengagungkan-Nya, takut dan lain-lain.
  4. Keempat, ibadah perkataan , seperti: bersumpah, meminta pertolongan, doa, memohon perlindungan dan lain-lain.

Semua ini merupakan ibadah yang sudah seharusnya diperuntukkan hanya kepada Allah SWT sedikit pun tidak boleh ditujukan kepada selain-Nya, meskipun kepada malaikat yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, atau nabi dan rasul Allah, wali yang soleh. Sebagaimana rukuk dan sujud yang tidak boleh dilakukan kecuali hanya kepada Allah SWT semata-mata. Begitu juga tawaf, tidak boleh dilakukan kecuali di Kaabah. Allah SWT berfirman:

“Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan melakukan tawaf sekeliling rumah tua itu (Baitullah).” (Surah Al-Hajj: 29)

Tidak boleh bertawaf di tanah perkuburan atau yang lainnya. Begitu pula melakukan sembelihan. Hal itu hanya diperuntukan kepada Allah SWT. Disebabkan itu Rasulullah SAW bersabda:

“Allah melaknat orang yang melakukan sembelihan kepada selain-Nya.”

Thariq bin Syihab RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang masuk syurga hanya kerana seekor lalat. Dan seseorang juga masuk neraka kerana seekor lalat.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana hal itu boleh terjadi wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua orang lelaki berjalan melalui suatu kaum yang menyembah berhala. Masing-masing diberhentikan dan tidak diperbolehkan lalu di situ kecuali setelah mempersembahkan sesuatu kepada berhala ini. Mereka berkata kepada salah seorang daripada keduanya, ‘Persembahkanlah sesuatu kepadanya.’ Dia berkata, ‘Saya tidak mempunyai sesuatu yang akan saya persembahkan.’ Mereka berkata, ‘Persembahkanlah walaupun hanya dengan seekor lalat.’ Maka, dia pun  mempersembahkan seekor lalat, dan mereka mempersilakannya lalu. Orang ini masuk neraka. Mereka berkata kepada yang satu lagi. ‘Persembahkan sesuatu. “Orang itu menjawab, ‘Saya tidak akan mengorbankan  sesuatu kepada selain Allah SWT. Maka mereka membunuhnya. Orang ini masuk syurga.” Allah SWT berfirman:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan dekatkan diri kepada Allah).” (Surah Al-Kauthar: 2)

Maksudnya, sebagaimana kamu melaksanakan solat untuk Tuhan-mu, maka janganlah kamu solat untuk selain-Nya. Berkorbanlah kamu untuk Tuhan-mu dan jangan berkorban untuk selain-Nya. Berkorbanlah kamu untuk Tuhan-mu dan jangan berkorban untuk selain-Nya. Berkorban ertinya menyembelih (haiwean korban) . Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” (Surah Al-An’am: 162)  

Apa yang dimaksudkan dengan ibadah di sini ialah penyembelihan. Begitu juga dengan nazar di mana dia wajib dilakukan hanya untuk Allah. Allah SWT berfirman:

“Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.”(Surah Al-Baqarah: 270)

Aisyah RA berkata, “Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka dia harus mentaati-Nya. Dan siapa yang bernazar untuk derhaka kepada Allah, maka dia jangan menderhakai-Nya.”

Begitu juga khusyuk, tunduk dan merendahkankan diri. Keberadaannya harus diperuntukan kepada Allah SWT semata-mata. Akan tetapi, kita banyak melihat manusia yang melakukan hal ini kepada selain Allah SWT. Hal ini adalah seperti orang-orang yang tersungkur sujud pada sisi-sisi kubur, mereka menangis, merendahkan diri dan khusyuk, seolah-olah sedang melaksanakan solat, bahkan mereka melakukan lebih daripada itu.

Cinta juga harus dipersembahkan hanya untuk Allah SWT secara ikhlas, tulus dan jujur. Sebabnya ramai yang mengaku cinta, namun yang benar-benar melaksanakannya  hanya sedikit. Bagaimana seseorang mengaku mencintai, tetapi dia lebih mendahulukan kepentingan kepimpinan, isteri, anak dan keluarganya daripada perintah Allah s.w.t. Bagaimana boleh orang yang tenggelam dalam kemaksiatan mengaku dia mencintai Allah SWT?

Semaklah untaian bait-bait syair Imam Syafie berikut ini:

Engkau menderhakaai Tuhan, tetapi engkau mengaku mencintai-Nya

Secara logik, ini merupakan sesuatu yang mustahil

Jika cintamu benar, nescaya engkau akan mentaati-Nya

Kerana orang yang mencintai akan mentaati yang dia cintai.

Ciri-ciri cinta yang tulus, murni dan jujur kepada Allah dan rasul-Nya adalah dengan mengikuti (mematuhi) perintah kedua-duanya. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mengasihi Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran: 31)

Get real time updates directly on you device, subscribe now.