Kekuatan Iman Melemahkan Syaitan

425

Rasulullah SAW bersabda daripada Umar bin Khattab RA:

“Demi zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidaklah syaitan berjumpa denganmu pada suatu jalan yang kamu lalui, melainkan dia akan menempuh jalan yang lain.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan bahawa Umar bin Khattab RA memiliki keutamaan yang sangat besar. Sampai akhirnya syaitan tidak menemukan jalan untuk menggoda dan memujuknya. Hal ini tidak menunjukkan bahawa Umar terpelihara daripada godaan syaitan. Hal ini adalah kerana dalam kandungan hadis di atas hanya dikatakan bahawa syaitan berlaku darinya, tidak merani berjalan di jalan yang dilalui Umar RA. Hal ini juga tidak bererti bahawa syaitan tidak menggoda Umar lagi sekuat tenaga.

Kalau ada yang mengatakan, ‘Syaitan tidak mampu menguasai dan menggoda Umar, pemahaman ini diambil daripada kaedah mafhumul muwafaqah (pemahaman lain yang sesuai dapat diambil daripada suatu nas tertentu). Jika syaitan tidak berani berjalan pada jalan yang ditempuh Umar, maka ia akan lebih tidak mampu untuk menggoda dan merayunya. Barangkali Umar RA benar-benar dipelihara Allah SWT daripada godaan syaitan.”

Ibnu Hajar melanjutkan, sedangkan lafaz Hafshah RA yang diriwayatkan Imam Tabrani di dalam Al-Awsath berbunyi, “Tidaklah syaitan berjumpa dengan Umar sejak masuk Islam, melainkan dia akan tersungkur berlari tercirit-cirit.”

Wahai saudaraku, perhatikanlah bagaimana kekuatan iman dapat melemahkan pengaruh syaitan sehingga dia takut dan melarikan diri daripada orang yang imannya kuat.

Abu Hurairah RA berkata, “Syaitan penggida orang mukmin yang menghampiri orang beriman dan syaitan penggoda orang kafir yang menghindari orang kafir, berjumpa. Syaitan penggoda orang kafir terlihat begitu besar, gemuk dan berpakaian rapi sementara syaitan mukmin dilihat begitu kurus, kerempeng, lusuh, comot dan telanjang.

Syaitan kafir berkata kepada syaitan mukmin, ‘Mengapa kamu kurus kerempeng begini?’ Syaitan mukmin berkata, ‘Saya bersama orang yang apabila dia makan, dia menyebut nama Allah sehingga saya tetap lapar dan apabila dia minum, dia menyebutkan nama Allah sehingga saya tetap lapar. Apabila dia berpakaian, dia menyebut nama Allah sehingga saya tetap telanjang dan apabila dia bersolek dia menyebut nama Allah sehingga saya tetap dalam keadaan lusuh dan comot.’ Syaitan kafir berkata, ‘Saya pula bersama orang yang tidak melakukan sedikit pun dari apa yang kamu sebutkan tadi. Saya ikut makan, minum dan berpakaian bersamanya.”

Ibnu Abid Dunya meriwayatkan dari Qais bin Hajjaj, dia berkata, “Syaitan yang mengikuti saya berkata, ‘Ketika saya pertama kali mengikutimu, saya seperti unta atau kambing. Tetapi pada hari ini, saya seperti burung.’ Saya menanyakan apa sebabnya. Dia berkata, ‘Kamu menyeksa saya dengan Kitabullah’.” Salah seorang sahabat berkata, “Saya membonceng baginda Nabi Muhammad SAW di atas keldai, tiba-tiba keldainya tergelincir, maka saya berkata, ‘Pergilah kamu syaitan!’ Maka Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Jangan kamu berkata bergilah syaitan! Hal ini adalah kerana kalau kamu mengatakannya, syaitan akan merasa sombong dan angkuh dan dia akan berkata, ‘Saya telah menaklukkannya dengan kekuatan saya’. Tetapi kalau kamu mengatakan ‘Dengan menyebut nama Allah, dia akan mengecil dan merasa terhina, hingga dia terlihat lebih kecil daripada lalat.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.