Jin memang suka berada di rumah yang ditinggalkan oleh tuannya dalam jangka masa yang lama. Apabila tuan rumah itu balik maka menjadi masalah kepadanya, anak-anak kecil tidak tenteram, kadang kala terdengar suara dan bunyi yang menakutkan, sekali-sekala ternampak api menyala kemudian padam, dan berbagai -bagai lagi gejala yang mereka lakukan di rumah berkenaan.
Bagi masyarakat Melayu mereka melakukan berbagai-bagai cara untuk menghalau jin. Antaranya menyembelih kambing atau binatang-binatang yang lain untuk mendapatkan keredhaan jin itu.
Cara yang seumpama ini jelas membawa kepada syirik dan oleh yang demikian, binatang yang disembelih tidak halal dimakan.
Dikhabarkan kepadaku oleh Yahya bin Yahya daripada Ibnu Wahab b. Yunus daripada Ibnu Shihab katanya. Baginda Rasulullah SAW melarang memakan apa-apa yang disembelih atas nama jin dan untuk jin.
Maka cara sebaik-baiknya untuk mengelakkan jin daripada mendiami dan menganggu rumah mereka:
1. Hendaklah memasukkan tangan kamu yang kanan ke dalam air yang telah dimasukkan ke bekas dan membaca ayat As Saffat ayat 1-10 yang bermaksud:
“Dengan nama Allah kami berpetang-petang menyebut nama Allah yang tiada baginya yang boleh menegah dan dengan kemuliaan Allah yang tidak ada penghujungnya..dan dengan kekuasaan Allah yang boleh mencegah, kami berlindung melalui Al-Asmaul-Husna kesemuanya kami berlindung daripada segala iblis, dan juga daripada segala kejahatan syaitan manusia dan jin dan daripada kejahatan setiap yang terang dan yang rahsia , daripada kejahatan yang keluar di waktu malam, dan bersembunyi di waktu siang, dan yang bersembunyi di waktu malam, dan keluar di waktu siang, dan daripada kejahatan apa yang telah terjadi . Dan daripada kejahatan iblis dan tenteranya, dan daripada kejahatan binatang kesemuanya yang engkau berkuasa ke atasnya, sesungguhnya tuhanku menyeru ke arah jalan yang lurus. Aku berlindung kepada Allah daripada apa yang di minta lindung oleh Musa, Isa, Ibrahim yang telah melaksanakan tugas daripada segala kejahatan….dan daripada kejahatan iblis, tenteranya dan daripada kejahatan yang hendak dilakukan.”
Demi (rombongan) yang bershaf-shaf dengan sebenar-benarnya, dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat), dan demi (rombongan) yang membaca pelajaran, sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, iaitu bintang-bintang, dan (telah memeliharanya) sebenar-benarnya dari setiap syaitan yang sangat durhaka, syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru, untuk mengusir mereka dan bagi mereka seksaan yang kekal, akan tetapi barangsiapa (diantara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan), maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.
Setelah dibaca maka air direnjiskan di seluruh kawasan di dalam rumah itu.