Jenis-Jenis Sihir

717

Yang dimaksudkan dengan sihir ialah salah satu cara mempergunakan syaitan, dengan jalan menundukkannya, atau mengikat perjanjian dengannya, atau menjalin kesepakatan dengannya dengan syarat manusia itu kafir kepada Allah SWT dan agama, sehingga syaitan mahu mentaatinya dalam urusan yang disepakati oleh kedua-duanya dalam perbuatan-perbuatan haram dan menyakiti orang lain.

JENIS-JENIS SIHIR

Dalam hal ini penyihir membebani syaitan untuk melaksanakan kesepakatan terlaknat yang berupa tugas jahat tertentu, yang terikat dengan tempat tertentu, waktu tertentu dan diarahkan kepada orang tertentu, atau memunculkan khayalan dengan tujuan tercapainya perkara-perkara tertentu, misalnya gangguan berat terhadap sasaran yang disihir atau orang yang terdekat dengannya.

a) Sihir pada tempat tertentu

Misalnya, seseorang yang terkena sihir terasa sesak, tercekik, sedih dan gelisah setiap kali dia berada di tempat yang ditentukan. Orang ini tidak lagi merasakan semua perkara yang tidak selesa/tenang apabila dia berpindah ke tempat lain. Dengan kata lain, jika dia keluar dari tempat kawasan sihir itu, maka hilanglah semua yang dia keluhkan, baik berupa sesak, tercekik atau gangguan yang lain.

b) Sihir pada waktu tertentu

Orang yang disihir akan merasa tertekan atau sakit pada saat-saat tertentu, atau pada hari tertentu, khususnya dalam bulan Hijrah.

c) Sihir untuk perkara tertentu atau peristiwa tertentu

Contoh untuk sihir jenis ini ialah:

  1. Tidak ada keharmonian dalam kehidupan rumah tangga.
  2. Ketidaksesuaian antara dua rakan sejawat dalam satu pekerjaan atau hubungan tertentu.
  3. Tidak berjaya di dalam berbagai bidang pekerjaan seseorang dengan bentuk yang jelas atau dalam bentuk kegagalan yang berulang-ulang, atau tidak berjaya yang mengakibatkan kegalauan lalu mencari sebab tersembunyi yang mengakibatkan mereka kerugian.
  4. Ketidakmampuan melakukan persetubuhan antara suami dengan isterinya, yang biasanya disebut dengan sihir pengikatan lelaki (rabthur rajul) atau sihir peresapan perempuan (taghwirul mar’ah).
  5. Perasaan yang muncul dari suami dan isteri atau salah seorang dari kedua-duanya untuk menjauhkan diri dari yang lain, sehingga terjadi pertelingkahan terus-menerus di antara kedua-duanya hingga mengakibatkan penceraian. Itulah tujuan yang diharapkan dari sihir ini. Sihir seperti ini disebut sebagai sihir penceraian dan permusuhan.
  6. Keluarnya darah seorang perempuan dari kemaluannya atau melalui hidung yang tidak ditimbulkan oleh sebab fizikal atau sebab perubatan yang dikenali, dan tidak hilang dengan terapi perubatan kedoktoran. Ini disebut dengan sihir pendarahan.

d) Sihir yang diarahkan terhadap orang tertentu

Sihir jenis ini, keinginan seseorang terhadap orang lain menjadi hilang atau berubah menyeluruh. Hilangnya keinginan ini boleh jadi berbentuk negatif, yakni ‘kebencian’, atau positif berupa ‘cinta’.

e) Sihir khayalan (ilusi)

Jika seorang suami terilusi bahawa keadaan isterinya tidak sebagaimana kenyataannya atau sebaliknya dengan kenyataan yang sesungguhnya, padahal orang lain melihatnya tidak seperti penglihatan suaminya, lalu dengan penglihatan tersebut mengakibatkan si suami menjadi tidak suka terhadap isterinya, takut atau bangkit amarahnya, maka yang seperti ini disebut dengan sihir takhyil (ilusi).

Hendaklah diketahui bahawa sihir dengan berbagai bentuk, tersebut lebih dahsyat daripada merasuknya syaitan (al-mass asy-syaithani), kerana merasuknya syaitan itu hanya kerana dia mengganggu manusia tanpa ada perintah dari seorang manusia pun. Sedangkan pada sihir, syaitan yang mengganggu diperintah oleh syaitan yang lain, iaitu tukang sihir dari kalangan manusia atau jin sehingga syaitan tersebut mengganggu atau menyerang orang yang menjadi tujuan serangan sihir.

Akan tetapi, terapi sihir dan kerasukan syaitan ini kedua-duany boleh dilakukan dengan ruqyah, kerana kedua-dua gangguan ini pelakunya sama, iaitu syaitan, sedang syaitan itu boleh diusir dan ditumpaskan dengan ayat-ayat Al-Quran Al-Karim dan kekuatan iman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.