Jenis-Jenis Sabar
Pertama: Sabar atas musibah dan bencana. Baik yang menimpa jasad, keluarga, anak, harta mahupun yang lainnya.
Dari Abu Huraira RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Allah SWT berfirman: ‘Tidak ada balasan yang tepat untuk hamba-Ku yang beriman, apabila Aku mencabut nyawa kekasihnya di dunia, lalu dia sabar dan menerima ketentuan-Ku serta mengharapkan pahala dari-Ku, selain syurga’.”
Daripada Anas bin Malik RA dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Allah SWT berfirman: ‘Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan (wafatnya) dua kekasihnya, lalu dia sabar. Maka Aku akan mengganti kedua-duanya dengan syurga.” Maksudnya ialah, kedua matanya’.”
Daripada Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah RA dari Nabi Muhammad SAW bahawa baginda bersabda:
“Tidak ada yang menimpa seorang muslim dari kepenatan, sakit yang berkesinambungan (sakit berpanjangan), kebimbangan, kesedihan, penderitaan, kesusahan, sampai duri yang tertusuk olehnya, kecuali dengan itu Allah hapus dosa-dosanya.”
Tetapi pahala dan ganjaran seperti ini hanya diperuntukkan untuk orang-orang yang sabar, dan bukan selain mereka. Jika demikian, dapat difahami bahawa musibah daripada Allah SWT merupakan kebaikan dan anugerah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan mengujinya.”
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Besarnya pahala tergantung dengan besarnya cubaan (musibah). Apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Jika mereka redha, mereka akan memperoleh redha-Nya, dan jika mereka murka, mereka akan memperoleh murka-Nya.”
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Cubaan akan sentiasa menerpa orang beriman (lelaki mahupun perempuan), pada dirinya, anak dan hartanya, sehingga dia berjumpa dengan Allah tanpa satu kesalahan.”
Kedua: Sabar melaksanakan perintah Allah SWT. Kerana kesabaran diperlukan dalam melaksanakan ketaatan dan melawan godaan syaitan dan hawa nafsu. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang berhijrah ialah orang yang menyingkiri kejahatan. Dan orang yang bersungguh-sungguh ialah orang yang melawan hawa nafsunya.”
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Neraka dihiasi dengan syahwat dan kesenangan, sedangkan syurga dihiasi dengan hal yang tidak disukai.”
Ketiga: Sabar daripada maksiat dan keinginan syahwat (nafsu).
Allah SWT berfirman:
“Dan adapun orang yang takut kepada kesabaran Tuhannya dan menahan diri daripada (keinginan) hawa nafsunya, Maka sesungguhnya, syurgalah tempat tinggal(nya).” (Surah An-Nazi’at: 40-41)
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Dunia ialah penjara orang beriman dan syurga orang kafir.”
Sayaitan memperindahkan kemaksiatan bagi manusia dan menjadikannya ke dalam hati mereka mencintainya. Dia juga mendekatkan mereka ke jurang maksiat supaya terjerumus ke dalamnya. Misalnya apabila perempuan keluar dari rumahnya, syaitan akan mengekorinya.
Dia akan menjadikannya indah dipandang kaum lelaki dan menghiasinya di hati mereka. Apabila seseorang sabar dan menundukkan pandangannya, syaitan tidak akan mampu mencemari hatinya.
Keempat: Sabar atas segala ujian yang diterimanya di jalan Allah SWT. Hal ini adalah kerana seorang muslim sejati yang memegang teguh ajaran agamanya dan komitmen dengan perintah Tuhan-nya, serta meneladani jejak langkah nabinya lahir dan batin harus siap menerima penganiayaan (seksaan), dia akan ditimpa hal-hal yang tidak diinginkan, dimusuhi para pengusuh kebatilan, dan orang-orang durjana dan perosak akan membuat konspirasi jahat untuk membinasakannya iaitu “Orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji tersiar di kalangan orang-orang yang beriman.”
Inilah realiti yang menerpa para penegak kebenaran hari ini: permusuhan daripada para kerabat dekat, kerabat jauh, para pemimpin hingga rakyat jelata. Para ulama pengampu menuduh mereka sebagai fundamental. Kaum sekular menuduk mereka sebagai kaum primitif dan ketinggalan. Sememtara orang awam menuduh mereka sebagai kaum fanatik dan radikal.
Barangkali orang-orang tersebut melakukan semua ini kerana kebenaran tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka. Atau kerana mereka tidak memahami secara benar hakikat kebenaran yang dibawa oleh orang-orang yang mereka musuhi.
Fenomena Kesabaran
Sabar dalam mengekang hawa nafsu ada tiga:
Pertama: Kesabaran yang dapat menundukkan dan mengalahkan hawa nafsu, sampai kebenaran tersebut menjadi kebiasaan bagi manusia. Sehingga, kecemasan tidak akan menghinggapinya dan hawa nafsu tidak berani menentangnya. Tahap ini hanya akan dicapai oleh orang-orang yang siddiq (jujur) dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah” lalu mereka konsisten dengan ucapan mereka.
Kedua: Hawa nafsu yang mengalahkan kesabaran, sehingga kesabaran tidak mendapat tempat di hati manusia. Sehingga orang seperti ini menjadi tawanan hawa nafsu dan syahwatnya. Mereka ini sangat banyak kita jumpai di zaman kita sekarang ini.
Ketiga: Perperangan sengit sentiasa berkecamuk di antara kedua-dua pasukan ini. Adakalanya, seseorang terlihat begitu sabar dan tabah. Tetapi pada kali yang lain, dia terlihat cemas dan gundah gelana.