Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam As-Sahihain, “Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Ketika salah seorang di antara kamu tidur, syaitan akan memasang (mengikatkan) tiga ikatan pada sudut kepalanya. Kemudian dia memukulkan pada setiap anggota badan yang diikat dengan ikatan dan mengatakan, ‘Kamu mempunyai malam yang panjang tidurlah dengan puas.’ Apabila dia bangun, lantas dia berdoa kepada Allah (membaca doa bangun tidur), satu ikatan akan terlepas. Apabila dia berwuduk, satu ikatan lagi akan terlepas. Dan apabila dia melalukan solat sunat dua rakaat, satu ikatan lagi akan terlepas hingga pada pagi harinya, dia menjadi orang yang sangat giat, mempunyai jiwa yang baik (stabil) dan kalau tidak demikian, jiwanya menjadi buruk dan pemalas.”
Imam Nawawi menjelaskan hadis ini, “Para ulama berbeza dalam mentafsirkan ikatan-ikatan ini. Ada yang berpendapat bahawa istilah “ikatan” tersebut membawa makna ikatan yang sesungguhnya. Ertinya di sini ialah ikatan (pengaruh) sihir kepada manusia dan menghalangi untuk melakukan qiyamullail. Allah SWT berfirman:
“Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada simpulan.” (Surah Al-Falaq : 4)
Berdasarkan ayat tersebut dapat difahami bahawa istilah ikatan di situ merupakan satu perkataan dan pengaruh syaitan kepada manusia agar tidur nyenyak, seperti pengaruh sihir.
Ada pula yang berpendapat bahawa maksud ikatan ialah perbuatan syaitan seperti tindakan perempuan-perempuan tukang sihir yang menghembus pada ikatan-ikatan. Selain itu ada juga yang berpendapat bahawa maksud ikatan ialah ikatan yang mengikat dan membekukan hati, seakan-akan dia mengganggu dirinya dan membisikkan kata-kata seperti, ‘Ada mempunyai malam yang sangat panjang, tunda dulu qiyamullailnya.’ Ada pula pendapat mengatakan maknanya kiasan yang diumpamakan sebagai rintangan syaitan untuk melakukan qiyamullail.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan, “Maksud sabda Rasulullah SAW, ‘Dan dia memukulkan pada’ ialah dia memukul ikatan-ikatan itu dengan tangannya sebagai penguat dan penyokong baginya sambil mengatakan perkataan tersebut.”
Saya katakan bahawa disebabkan itu sebahagian ulama menamakan hadis ini dengan hadis ‘Permukulan pada bahu’. Sedangkan tiga ikatan ini hanya terdapat pada orang yang lalai, dan tidak berdoa kepada Allah atau tidak membaca ayat Kursi ketika akan tidur.
Jika ada yang mengatakan, “Sesungguhnya keumuman lafaz hadis ini mencakupi orang yang lalai dan selainnya.” Makan saya jawab, dengan mengatakan bahawa, sesungguhnya keumuman hafis ini dikecualikan dengan kandungan hadis riwayat Abu Hurairah RA mengenai orang yang membaca ayat Kursi ketika akan tidur.
Pendapat ini dipersetujui Al-Hafiz Ibnu Hajar, dia berkata, “Barangkali kita boleh berpendapat, bahawa hadis di atas (ikatan) hanya ditujukan kepada orang yang tidur tanpa membaca ayat Kursi untuk mengusir syaitan.”
Imam Nawawi berkata, “Sabda Rasulullah SAW, ‘Pada pagi harinya dia akan menjadi orang yang giat dan berjiwa baik (stabil).” Maksudnya di sini ialah kerana kegembiraannya terdapat panduan berbentuk amal ibadah, ketaatan dan perolehan pahala yang diberikan Allah Yang Maha Mulia kepadanya. Di samping keberkatan setiap aktiviti, serta lenyapnya ikatan-ikatan yang dihembuskan dan ditiupkan syaitan kepadanya.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Jelasnya, di dalam solat malam terdapat beberapa faktor rahsia untuk menjadikan jiwa yang baik. Meskipun orang yang solat malam itu tidak bermaksud untuk meminta perkara tersebut.”
Saya berkata, “Hal ini sangat benar. Dan hal ini tidak akan dirasakan selain daripada orang yang telah mengecapi keindahan dan kemanisan qiyamullail serta bermunajat dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT di saat-saat indah ini.”
Imam Nawawi berkata, sabda Rasulullah SAW, “Dan kalau tidak demikian, jiwanya akan buruk dan pemalas.” Maksudnya, kerana dia mendapatkan ikatan-ikatan yang dihembuskan syaitan, dan pengaruh godaan tastbith (hembusan) syaitan. Serta penguasaan syaitan terhadapnya, di saat ikatan-ikatan tersebut hilang dari dirinya.
Imam Nawawi melanjutkan, “Lahirnya hadis ini menerangkan bahawa orang yang belum mampu melakukan tiga perkara tersebut itu secara sempurna iaitu berdoa ketika bangun tidur, berwuduk dan melakukan solat (sunat), termasuk golongan orang-orang yang jiwanya buruk dan pemalas.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Syeikh kami, Abul Fadhl bin Husein, di dalam syarah Imam Tirmizi menyebutkan bahawa rahsia memulakan solat malam dengan dua rakaat solat sunat ialah supaya dapat secepat mungkin melepaskan ikatan-ikatan yang dihembuskan syaitan.”
Saya berkata, “Hal ini merupakan pendapat yang baik jika tidak ditambah daripada hadis Aisyah RA,” Rasulullah SAW tidak pernah melakukan qiyamullail lebih daripada sebelas rakaat tidak kira sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan yang lain. Baginda melakukan solat empat rakaat janganlah engkau bertanya mengenai keindahan dan panjangnya. Lalu baginda melakukat solat empat rakaat lagi, kamu jangan bertanya mengenai keindahan dan panjangnya. Kemudian baginda melakukan solat tiga rakaat.”
Tujuan syaitan melakukan semua ini adalah untuk mencegah hamba Allah dari berqiyamullail dan menimbulkan kemalasan, sehingga dia mampu menguasainya sepanjang hari. Perkara ini merupakan konspirasi jahat dan tipu muslihat syaitan terhadap manusia. Akan tetapi, bagaimana anda boleh mematahkan tipu muslihat ini? Untuk itu, anda harus melakukan beberapa perkara berikut :
- Berwuduk sebelum tidur. Hal ini adalah kerana di dalam As-Sahihain disebutkan sebuah hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Bara’ bin Azib RA: ” Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat.”
- Melakukan solat witir sebelum tidur kerana terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, dia berkata: “Tidaklah seseorang benda di pagi hari tanpa melakukan solat witir, melainkan pada kepalanya terdapat ‘jarir’ berukuran tujuh puluh siku.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, ‘Hadis Ibnu Umar RA ini diriwayatkan Said bin Mansur dengan sanad yang baik. Namun jika anda terbangun sebelum waktu Subuh, lalu melakukan solat witir, hal itu merupakan nikmat yang sangat besar.
Jarir di sini bererti tali yang digunakan untuk mengikat unta. - Gabungkanlah kedua-dua telapak tangan anda dan bacalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas padanya. Seterusnya, tiuplah kedua-duanya. Kemudian sentuhlah anggota tubuh anda seluruhnya, sejauh yang dapat anda sentuh dengan kedua-dua tangan dan dimulai dari kepala. Dinyatakan dalam hadis sahih Bukhari riwayat Aisyah RA.
- Bacalah dua ayat terakhir surah Al-Baqarah. Dalam As-Sahihain terdapat riwayat Abu Masud Al-Ansari RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah, barangsiapa yang membacanya di malam hari, nescaya hal itu mencukupinya.”
Imam Nawawi berkata, “Ada yang mengatakan bahawa maksud hadis di atas ialah ‘kedua-dua ayat ini mencukupinya daripada qiyamullail’. Ada pula yang berpendapat bahawa ayat ini akan melindunginya daripada godaan syaitan. Selain itu terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa ayat tersebut melindungi daripada berbagai-bagai bencana dan bahaya. Ketiga-tiga tafsiran tersebut mungkin ada kebenaran dan boleh diterima akal.”
Ibnul Qayyim berkata, “Yang benar bahawa kedua-dua ayat ini melindunginya apa saja dari kejahatan yang akan menyakitinya.”
Saya katakan, “Adakah kejahatan terhadap manusia lebih besar daripada kejahatan syaitan yang dapat menguasainya? Maka, maksud ini lebih layak untuk dimasukkan ke dalam kandungan hadis tersebut. - Bacalah salah satu daripada surah al-Quran. Hal ini adalah kerana di dalam sebuah hadis marfu’, Imam Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan dari Syaddad bin Aus RA, dia berkata “Tidaklah seorang muslim, hendak pergi menuju pembaringannya, lalu dia membaca salah satu surah dari al-Quran, melainkan Allah akan mengutus seorang malaikat untuk memeliharanya dari sesuatu yang akan menyakitinya, hingga dia terbangun.”
- Kami cadangkan agar anda membaca ayat Kursi dengan penuh khusyuk dan pemahaman. Sebabnya, dia dapat memelihara anda daripada godaan syaitan hingga pagi. Hal ini dinyatakan di dalam sahih Bukhari daripada hadis Abu Hurairah RA, Sunan Tirmizi daripada hadis Abu Ayub Al-Ansari RA, dan Sunan Ibnu Hibab daripada hadis Ubay bin Ka’ab RA.
- Bacalah tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, dan takbir 33 kali. Hal ini ditetapkan dalam As-Sahihain daripada hadis Ali bin Abu Talib RA.
- Letakkanlah tangan kanan anda di bawah pipi kanan, lalu tidur di atas rusuk kanan anda dan ucapkanlah: “Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku meletakkan dan mengangkat rusukku. Jika Engkau menahan jiwaku (menghidupkanku kembali), rahmatilah aku, dan jika Engkau mengirimnya, peliharalah dia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.”
- Kemudian ucapkan doa ini: “Dengan menyebut nama Allah, aku meletakkan rusukku. Ya Allah, ampunilah dosaku, hinakanlah syaitanku, lepaskanlah gadaian (tawananku) dan jadikanlah aku sesuatu pada darjat yang tinggi (bersama hamba-Mu yang mulia).”
- Berzikir kepada Allah, sehingga tertidur. Dari Jabir bin Abdullah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang menghampiri tempat tidurnya, malaikat dan syaitan berlumba-lumba mendatanginya. Malaikat berkata kepadanya, ‘Tutuplah harimu dengan kebaikan.’ Sementara syaitan juga berkata kepadanya, ‘Tutuplah harimu dengan kejahatan.’ Jika dia berzikir kepada Allah hingga dia tertidur, malaikat akan mengusir syaitan dan dia akan berjaga memeliharanya. Dan jika dia bangun, malaikat dan syaitan berlumba-lumba menghampirinya. Malaikat berkata, ‘Bukalah harimu dengan kebaikan.’ Sementara syaitan juga berkata, ‘Bukalah harimu dengan kejahatan.”
Jika dia berdoa: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan jiwaku kembali setelah hati. Dia tidak mematikannya ketika jiwaku tidur segala puji bagi Allah yang memegangi (tidak mematikan) nyawa orang yang sudah ditentukan untuk mati dan mengirimkan nyawa yang lain hingga waktu yang ditentukan. Segala puji bagi Allah yang mmegang langit dan bumi, hingga dia tidak lenyap. Dan kalau keduanya lenyap, tidak ada yang dapat memeganginya kembali. Segala puji bagi Allah yang memegang langit hingga tidak jatuh menimpa bumi dengan izin-Nya.’ Maka malaikat akan mengusir syaitan dan dia akan memeliharanya sepanjang hari.” (HR Hakim dan Az-Zahabi)