Hukum Meminta Perlindungan Jin

1,068

Memang terkenal di dalam masyarakat orang-orang Melayu apabila masuk ke dalam hutan atau tempat-tempat yang dirasakan kononnya ada penunggu, mereka akan berkata “TABIK DATUK ANAK CUCU CICIT NAK TUMPANG LALU” dan sebagainya. Sebagai minta izin atau perlindungan daripada bangsa jin, takut-takut kalau diapa-apakan oleh mereka.

Cara seumpama ini samalah dengan apa yang berlaku di zaman Jahiliah dahulu, iaitu apabila orang Arab pergi ke lembah atau tempat yang terpencil di padang pasir mereka minta perlindungan daripada ketua jin di lembah berkenaan sebagaimana mereka memasuki rumah musuh mereka maka mereka memohon perlindungan daripada golongan itu.

Jin apabila mendapati ada manusia yang memohon perlindungan kepada mereka maka bertambahlah rasa sombong, angkuh mereka. Sebaliknya bertambahlah dosa dan kesalahan manusia itu kerana keyakinan mereka terhadap kuasa Jin dan bukannya kepada pertolongab Allah. Firman Allah SWT:

Maksudnya:

Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.

Al-Qurtubi menjelaskan di dalam tafsirnya, sesungguhnya orang yang pertama izin daripada golongan ini ialah kaum orang-orang Yaman. Setelah itu puak-puak daripada Bani Hanifah, kemudian tersiar luas di kalangan bangsa Arab, apabila datangnya Islam mereka bertukar kepada memohon perlindungan kepada Allah SWT dan meninggalkan memohon perlindungan daripada bangsa jin itu.

Ibnu Kathir membawa kata-kata As-Suddi dalam perkara ini. Di zaman dahulu seorang lelaki keluar dari rumah menuju ke suatu tempat sambil berkata: “Aku berlindung kepada tuan lembah ini daripada bangsa Jin sama ada hartaku, anak-anakku atau binatang ternakanku.”

Sebenarnya apabila jin melihat manusia mereka merasa takut dan bertempiaran lari. Sebaliknya apabila mereka melihat manusia juga takut maka mereka akan membuat sesuatu terhadap manusia. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa memohon perlindungan kepada jin ini adalah kufur sebagaimana yang dikatakan oleh Said bin Jubair.

Maksudnya:

Bertambahlah kufurnya manusia itu apabila melakukan permohonan perlindungan seumpama ini.

Al-Qurtubi juga menjelaskan di dalam kitabnya yang bermaksud: tidak sunyi lagi bahawa meminta perlindungan kepada jin tidak kepada Allah adalah kafir dan syirik. Oleh hal yang demikian memohon sesuatu dan apa juga adalah kepada Allah SWT sesuai dengan bacaan yang kita sering bacakan setiap kali mengerjakan sembahyang, “Akan dikau sahaja wahai Allah kami sembah dan akan dikau sahaja wahai Allah kami memohon pertolongan.”

Memohon kepada makhluk tidak akan mendapat sebarang manfaat sebagaimana kita pohonkan secara langsung kepada Allah SWT. Dengan hal yang demikian apabila kita masuk ke tempat yang agak menakutkan dan yang menggerunkan eloklah dibacakan surah:

  1. Al-Ikhlas
  2. Al-Falaq
  3. An-Nas
  4. Ayat Kursi

Semoga kita akan selamat dan sentiasa beroleh pemeliharaan Allah SWT bukan meminta kepada kepada makhluk yang tidak boleh memberi sebarang bekas/manfaat memohon. Berdoa berserah hanya kepada Allah SWT.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.