Ibnul Qayyim berkata, “Kedudukan hati terhadap semua anggota tubuh bagaikan raja yang berkuasa ke atas bala tenteranya. Aturan dan perintah berasal daripadanya, dia boleh mengatur mengikut kehendaknya. Tubuh manusia tunduk kepadanya dan berada di bawah kekuasaannya.”
Hati merupakan komitmen atau kesesatan terhadap kebenaran, dan akan mengikat atas semua akibat daripada tekad dan keyakinannya. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ingatlah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik, nescaya seluruh tubuhnya akan baik. Dan apabila ia rosak, nescaya seluruh tubuhnya akan rosak. Ingatlah segumpal daging itu ialah hati.”
Hati ialah raja bagi semua anggota tubuh. Anggota tubuh menjadi pelaksana aturan, menerima petunjuk serta apa saja yang diperintahkan hati. Keinginan dan niat hati merupakan sumber kepada amalan anggota badan. Hati menjadi penanggung jawab dari anggota badan kerana setiap pemimpin akan diminta bertanggunjawab atas kepemimpinannya.
Oleh itu, hati menjadi tempat bagi segala ujian dan cubaan. Imam Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya, “Daripada Huzaifah Ibnul Yaman RA dia berkata, ‘Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Fitnah (cubaan) akan ditimpakan sama seperti halnya menenun tikar atau permaidani benang demi benang. Setiap hati yang menerimanya akan ternoda oleh noktah hitam. Hati yang menolaknya pula, akan tergaris titik putih di sana sehingga hati menjadi dua jenis. P[ertama: hati yang putih, bening dan jernih. Fitnah apapun tidak akan mampu menembusnya untuk selamanya. Kedua: hati yang hitam pekat seperti periuk yang hangus. Ia sama sekali tidak mengenal kebaikan dan tidak menolak kemungkaran, obsesinya hanya menurutkan hawa nafsunya saja.”
Seterusnya Ibnul Qayyim mengatakan, “Oleh itu, serbuan fitnah sedikit demi sedikit terhadap hati yang disamakan dengan menenun permaidani benang demi benang, benang ini ialah kekuatannya.”
Dalam menghadapi serbuan fitnah ini, hati dibahagi menjadi dua jenis: hati yang menerimanya dengan suka rela. Contohnya meminum air yang dituang daripada bekas yang menyebabkan dalam hatinya akan ditoreh dengan titik hitam. Setiap kali menerima fitnah yang ditimpakan kepadanya, menjadikan hatinya hitam pekat dan legam, sama sekali tidak dapat menerima kebaikan. Inilah maksud sabda Rasulullah SAW, “Seperti periuk yang hangus.”
Apabila hatinya hitam pekat, akan menyebabkannya ditimpa dua bencana besar. Dia akan dijangkiti dua penyakit parah yang boleh menjerumuskannya kepada kehancuran dan kebinasaan.
Penyakit pertama: Hati tersebut menjadi kurang terang daripada hakikat kemakrufan dan kemungkaran sehingga, dia tidak mengenal kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran. Boleh jadi juga penyakit ini menguasai dirinya hingga menyebabkan dia menganggap yang makruf ialah kemungkaran dan yang mungkar ialah kemakrufan. Sunnah sebagai bidaah dan yang bidaah sebagai sunah, kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebaikan.
Penyakit kedua: Dia mengunggulkan hawa nafsunya atas ajaran Nabi Muhammad SAW dan tunduk patuh serta menurutkan hawa nafsunya. Manakala hati yang putih pula akan sentiasa disinari cahaya keimanan, diterangi dengan lampu-lampu hidayah. Jika fitnah mendatanginya, dia akan menolak akan mengingkarinya sehingga cahaya, sinar dan kekuatannya kian menguat dan berkilauan.
Berbagai-bagai fitnah yang menerpa hati merupakan penyebab kepada penyakitnya. Fitnah tersebut ialah fitnah syahwat, fitnah syubhah, fitnah kesesatan dan penyimpangan, fitnah maksiat dan fitnah bidaah, fitnah kezaliman dan kebodohan.
Ada juga jenis fitnah yang merosakkan keinginan dan tujuan, ada pula yang merosak ilmu dan keyakinan.
Oleh itu, seharusnya bagi seorang muslim sentiasa mengawasi hatinya dan mengetahui keadaannya serta menyiramnya dengan nasihat setiap masa. Dia juga harus mengetahui bahawa jika hatinya baik dia akan memperolehi kebahagiaan abadi. Sebaliknya pula, jika hatinya rosak, dia akan diserbu kesengsaraan, malapetaka serta kerugian yang nyata. Ketahuilah bahawa ketika keimanan hati bertambah dan keyakinannya semakin kuat, bertambah pula cahayanya dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan, dan antara hidayah dan kesesatan.
Abu Said Al-Khudri RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Hati manusia ada empat jenis: hati yang jernih (bersih daripada alasan dan kecurangan terhadap seorang muslim), di dalamnya terdapat sinar bagaikan lentera. Hati yang tertutup, dan tutupnya terkunci. Hati yang dibalik dan hati yang memiliki dua cabang. Hati yang jernih ialah hati orang yang beriman dan di dalamnya terdapat cahaya. Hati tertutup ialah hati orang kafir. Hati yang dibalik ialah hati orang munafik, di mana dia mengetahui lalu mengingkarinya. Hati yang memiliki dua cabang ialah hati yang di dalamnya ada keimanan dan kemunafikan. Keimanan di dalamnya laksana bunga bakung yang harum, ia akan tumbuh berkembang apabila disiram dengan baik. Manakala kemunafikan yang ada di dalamnya seperti luka yang dicampuri nanah dan darah. Salah satu daripadanya yang lebih kuat akan terus mengunggulinya.”
Ibnnul Qayyim berkata, “Maksud dari ‘hati yang jernih’ di dalam hadis ini ialah hati yang bebas daripada penghambaan (niat) selain Allah dan rasul-Nya. Ia benar-benar terbebas dan selamat selain daripada kebenaran. Di dalamnya juga terdapat lentera yang sentiasa bersinar, yakni lentera keimanan. Bebasnya hati daripada niat selain Allah akan membawa keselamatannya daripada segala syubhah kebatilan dan syahwat kesesatan, kerana adanya lentera di dalamnya, sehingga akan selalu menyinarinya dengan cahaya ilmu dan keimanan.”
Hati yang tertutup dialamatkan sebagai hati orang kafir. Hal ini adalah kerana hati ini terhalang oleh penutupnya sehingga cahaya ilmu dan iman tidak boleh memasuki ke dalamnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t. ketika menceritakan kaum Yahudi iaitu semasa mereka berkata: “Dan mereka berkata: “Hati kami tertutup.” Tetapi sebenarnya Allah telah melaknat mereka mereka kerana kekufuran mereka, maka sedikit sekali mereka yang beriman.” (Surah Al-Baqarah:88)
Penutup ini merupakan penghalang yang ditanamkan Allah SWT dalam hati mereka sebagai seksaan atas penolakannya terhadap kebenaran serta kesombongan dalam menerimanya. Ia adalah penutup pada hati, penyumbat pada telinga, kebutaan pada mata, dan tirai penghalang pada penglihatan. Allah SWT berfirman: “Dan apabila kamu (Muhammad) membaca al-Quran, nescaya Kami adakan antara kamu dan orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup. Dan Kami adakan penutup di atas hati mereka dan penyumbat di telinga mereka agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam al-Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya.” (Surah Al-Isra’:45-46)
Apabila mereka diingatkan untuk mengesakan Allah dan kembali pada ajaran-Nya, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana kebencian yang tertanam dalam hatinya. Rasulullah SAW mengibaratkan hati yang terbalik sebagai hati orang munafik sebagaimana Allah SWT berfirman: “Maka mengapa kamu (berpecah) menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang munafik, padahal Allah telah mengembalikan mereka (kepada kekafiran), disebabkan usaha mereka sendiri? Apakah kamu bermaksud memberi petunjuk kepada orang yang telah dibiarkan sesat oleh Allah? Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah,kamu tidak akan mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) baginya.” (Surah Al-Nisa:88)
Maksudnya di sini ialah Allah SWT telah mengembalikan dan memalingkannya kepada kebatilan kerana perbuatan dan pekerjaan mereka. Hati seperti ini merupakan yang paling buruk dan kotor. Dia meyakini kebatilan sebagai kebenaran. Sebaliknya, meyakini kebenaran sebagai kebatilan di samping permusuhannya terhadap para pengusung kebenaran. Hanya Allah SWT sebagai tempat meminta pertolongan.
Rasulullah mengibaratkan hati yang mempunyai dua dimensi (keimanan dan kemunafikan), dengan hati yang keimanannya belum ditanam dengan kuat di dalamnya dan cahayanya belum kelihatan. Hal ini adalah kerana ia belum bersatu dengan kebenaran murni yang disampaikan oleh Allah SWT kepada rasul-Nya.
Hati seperti ini mempunyai dimensi keimanan di samping dimensi kekafiran. Kadangkala ia lebih dekat pada keimanan dan pada masa yang lain ia lebih dekat pada kekafiran. Disebabkan itu mana yang kuat, yang akan unggul, dan kembalinya kepadanya.
Di sini dapat kita simpulkan bahawa amal perbuatan terletak pada hati. Ia merupakan panglima, sementara anggota tubuh badan yan lain sebagai bala tentera yang siap untuk di arahkan ke mana sahaja.
Ibnul Qayyim berkata, “Tatkala iblis, musuh Allah mengetahui bahawa puncak keyakinan terletak pada hati dan tertumpu padanya, maka dia pun mengarahkan gangguan dengan menanamkan hawa nafsu syahwat kepadanya, serta menghiasinya dengan amal dan perbuatan yang boleh menghalanginya dari jalan yang lurus.”
Ia memanjangkan angan-angan kepada sebab-sebab kesesatan yang membuatnya terputus daripada mendapatkan petunjuk, dan menjeratnya dengan jaring dan tali-tali godaan. Meskipun tidak terjatuh ke dalamnya, belum tentu dia boleh selamat dan aman daripada godaan dan gangguannya. Seseorang tidak akan boleh selamat daripada jaring dan jeratnya, kecuali dengan sentiasa meminta pertolongan kepada Allah SWT. Perangkap paling utama agar termasuk dalam jaminan firman Allah SWT adalah dengan mendatangkan sebab-sebab keredhaan-Nya mengembalikan hati kepada-Nya, mengarahkan segala gerak-gerinya hanya kepada-Nya, serta merealisasikan makna penghambaan yang sebenarnya kepada-Nya. Firman Allah SWT adalah seperti berikut: “Sesungguhnya (terhadap) hamba-hambaKu kamu (iblis) tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.”(Surah Al-Isra’:65)
Keutamaan ini boleh menjadi benteng pemisah antara hamba-hamba Allah SWT dengan syaitan. Memperolehnya menjadi sebab wujudnya bentuk penghambaan yang sebenarnya kepada Tuhan semesta alam.
Cara mententeramkan hati adalah dengan sentiasa mengikhlaskan amal dan selalu yakin. Apabila hati seseorang telah disirami dengan ibadah dan keikhlasan, pasti akan menjadi hamba yang didekatkan kepada Allah dan termasuk dalam golongan hamba yang dikecualikan oleh syaitan: “Kecuali hamba-hamba Kamu yang mukhlis di kalangan mereka.” (Surah Al-Hijr:40)
Kejernihan dan keikhlaskan hati dapat meninggikan darjat pemiliknya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Baginda menjawab, “Setiap orang beriman yang hatinya dijernihkan .” Para sahabat bertanya, “Apa maksud hati yang dijernihkan wahai Rasulullah? Baginda menjawab, “Iaitu hati yang bertakwa , jernih dan di dalamnya tidak terdapat penipuan, kejahatan, pengkhianatan, dengki dan hasad.”