- Kita telah membincangkan berkenaan cara Nabi Muhammad SAW mengubati orang yang kerasukan jin.
- Abdullah bin Mas’ud RA pernah mengubati orang yang dirasuk jin dengan membacakan ayat al-Quran dan hal tersebut dibenarkan oleh Rasulullah SAW.
Abu Ya’la meriwayatkan dari Hanasy Ash-Shagani daripada Abudullah Bin Mas’ud RA, bahawa dia pernah membacakan ayat al-Quran pada telinga orang yang kerasukan dan kemudiannya orang tersebut terus tersedar. Kemudian Rsulullah SAW bertanya kepadanya, “Apa yang kamu bacakan pada telinganya?” Abdullah bin Mas’ud berkata, “Saya membacakan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa tujuan) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang memiliki) Arasy yang mulia. Dan barangsiapa yang menyembah tuhan yang lain selain Allah, padahal tidak ada suatu bukti pun baginya tentang itu, maka perhitungannya hanya pada Tuhannya. Sesungguhnya orang kafir itu tidak akan beruntung. Dan katakanlah (Muhammad): “Ya Tuhanku, berikanlah keampunan dan (berilah) rahmat, Kamulah pemberi rahmat yang terbaik.”
(Surah al-Mukminun: 115-118)
Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya ada seseorang yang mendapat panduan daripada Allah dan membacakan ayat ini kepada gunung nescaya gunung itu akan hancur lebur”
3. Imam Ahmad bin Hanbal pernah merawat orang yang dirasuk. Al-Qadhi Abu Ya’la bin Fara’ Al-Hanbali di dalam kitab Thabaqatu Ashhabil Imam Ahmad berkata “Saya mendengar Ahmad bin Ubaidillah berkata, ‘Saya mendengar Abul Husein Ali bin Ahmad bin Ali al-Akbari yang datang menjumpai kami daripada Akbara pada bulan Zulkaedah tahun 352H, berkata, ‘Bapa bercerita kepada saya daripada datuk saya, dia berkata, ‘Aku pernah berada di dalam masjid Abu Abdullah Ahmad bin Hanbal. Ketika itu al-Mutawakkil memberitahu bahawa dia mempunyai seorang hamba perempuan yang sedang kerasukan dan meminta agar baginda mendoakannya supaya sihat.
Lalu Imam Ahmad mengambil selipar kayu beliau yang bertali dari dalam kolam tempat berwuduk. Kemudian memberikannya kepada orang tersebut dan berkata, “Pergilah ke rumah Amirul Mukminin dan duduklah di samping kepala hamba sahaya itu, lalu katakanlah kepada jin yang ada di dalam tubuhnya, “Mana yang kamu pilih, keluar dari tubuh hamba sahaya ini atau dipukul tujuh puluh kali dengan sandal ini?” Setelah itu lelaki tersebut pergi menjumpainya dan mengatakan kepadanya seperti yang dikatakan Imam Ahmad kepadanya.
Maka si pembangkang (jin) itu berkata kepadanya-melalui percakapan hamba sahaya perempuan itu-bahawa dia akan mendengar dan taat. Dan seandainya Imam Ahmad bin Hanbal menyuruh kami (bangsa jin) untuk tidak tinggal di Iraq pasti kami akan taatinya. Sesungguhnya beliau ialah orang yang taat kepada Allah. Sesiapa sahaja yang taat kepada Allah pasti setiap sesuatu akan taat kepadanya.
Lalu jin ini pun keluar dari tubuh hamba sahaya ini. Hamba sahaya itu pun berasa tenang dan dikurniai anak-anak. Namun setelah Imam Ahmad wafat, si pembangkang (jin) ini kembali lagi merasukinya. Maka Al-Mutawakkil mengadukan hal itu kepada rakan Imam Ahmad iaitu Abu Bakar Al-Marwazi. Dia menceritakan mengenai kejadian sebelumnya kepada beliau. Setelah itu Al-Marwazi mengambil selipar (yang pernah diberikan Imam Ahmad) lalu pergi menjumpai hamba sahaya perempuan ini. Namun begitu jin ifrit-melalui percakapan perempuan itu-cakap, “Saya tidak akan keluar dari tubuh perempuan ini, saya tidak akan mematuhimu dan saya tidak akan menerimamu. Ahmad bin Hanbal ialah orang yang sentiasa taat kepada Allah, dia menyuruh kami untuk mentaatinya.”
4. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sering mengubati orang kerasukan, sebagaimana yang pernah diceritakan muridnya, Ibnul Qayyim. Dia berkata, “Saya pernah menyaksikan guru kami mengutus seseorang yang akan bercakap dengan roh yang merasuk pada tubuh orang yang dirasuk. Kemudian utusan tersebut berkata kepada jin, “Syeikh (Ibnu Taimiyyah) berkata kepadamu, ‘Keluarlah kamu, kerana perbuatan ini tidak boleh kamu lakukan.’ Setelah itu orang yang kerasukan itu pun tersedar.
Kadangkala, beliau (Ibnu Taimiyyah) bercakap terus dengan orang yang dirasuk itu. Ada ketikanya roh yang merasuk itu melawan. Disebabkan itu, dia mengeluarkan dengan pukulan hingga yang kerasukan itu sedar dan tidak merasa sakit. Kami sering menyaksikan perkara tersebut daripadanya. Firman Allah yang sering beliau bacakan pada telinga orang yang kerasukan ialah:
“Maka adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa tujuan) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mukmimun: 115)
Ibnu Qayyim berkata, “Suatu hari beliau pernah bercerita kepada saya bahawa dia pernah membacakan ayat ini di telinga orang yang kerasukan. Kemudian roh yang merasukinya berkata dengan suara yang keras “Ya”. Dia (Ibnu Taimiyyah) melanjutkan, “Kemudian aku mengambil tongkat lalu memukulnya pada bahagian urat-urat yang menyaksikannya juga yakin bahawa orang yang kerasukan itu telah mati kerana pukulan saya.
Sewaktu saya memukulnya, jin itu berkata, “Saya mencintainya.” Maka saya katakan kepadanya, “Tapi dia tidak mencintaimu.” Dia berkata, “Saya ingin menunaikan ibadah haji bersamamu.” Dia berkata, “Kalau begitu saya akan meninggalkannya kerana menghormatimu.” Saya jawab, “Tidak, tetapi kerana taat kepada Allah dan rasul-Nya.” Dia berkata, “Ya, sekarang saya akan keluar darinya.”
Setelah itu, orang yang kerasukan itu pun duduk dan menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia berkata, “Mengapa saya berada di hadapan Syeikh?” Orang-orang yang hadir bertanya kepadanya, “Kamu tidak berasakan semua pukulannya?” Maka dia berkata, “Kepada Syeikh memukul saya, padahal saya tidak melakukan dosa?” Dia sama sekali tidak merasakan pukulan yang menimpanya.”