Dari Mana Datangnya Syaitan? (Marah) – Bhgn 1

676

Marah merupakan salah satu daripada pintu terbesar syaitan untuk masuk dan menggoda manusia serta tipu dayanya yang sangat ampuh. Disebabkan itu syaitan dapat mempermainkan orang yang sedang marah sebagaimana halnya anak-anak yang mempermainkan bola. Hal ini terbukti daripada apa yang sering kita lihat.

Abu Hamid Al-Ghazali berkata, “Ketika seseorang marah, udara kotor akan naik dari saluran darah di dalam hati menuju ke otaknya . Kemudian ia akan sampai pada saluran pemikiran (otak). Bahkan, ia akan merebak sehingga pada saluran pancaindera sehingga matanya menjadi kelam dan tidak dapat melihat. Baginya, seluruh isi dunia serasa hitam pekat. Otaknya seperti gua yang di dalamnya terdapat gejolak api yang marak. Seperti udara hitam yang memenuhi rumah, sehingga terasa bergejolak dan semua sudutnya dipenuhi asap. Terkadang, gejolak amarah ini semakin bergolak hingga memadamkan kedamaian dan ketenangan yang dapat menghidupkan hati. Pada akhirnya, si pengidap marah meninggal dalam keadaan marah”.

Pengaruh dan kesan sampingan marah dapat dilihat pada beberapa segi iaitu:

Pengaruh terhadap badan

Berubahnya warna raut wajah, otot-otot menegang, menggigil, tingkah lakunya tidak terkawal, gerak geri dan cakapnya melulu sehinggakan sudut-sudut mulutnya mengeluarkan buih, biji matanya merah, lubang hidungnya bergerak-gerak serta perilakunya berubah.

Sehingga orang marah melihat bentuk dirinya sangat buruk ketika marah sudah pasti amarahnya akan reda, kerana merasa malu atas wajahnya yang buruk semasa marah dan perubahan perilakunya.

Namun begitu keburukan batinnya jauh lebih buruk daripada keburukan luarannya. Hal ini adalah kerana bentuknya zahir menggambarkan keadaan batin. Perkara ini terjadi kerana pengaruh marah terhadap tubuh.

Adapun pengaruh marah terhadap anggota tubuh lainnya ialah memukul, meninju, mengoyak-ngoyak, membunuh dan melukai. Ketika itu memungkinkan dilakukan tanpa peduli kepada apapun. Apabila orang yang dimarahi lari, atau tidak mendapatinya kerana suatu sebab sedangkan dia belum sedar, maka amarahnya akan kembali berrkobar. Dia akan menyiat-nyiat bajunya, menampar dirinya sendiri. Kadang-kadang , dia memukul-mukul tanah atau memukul benda-benda keras atau melakukan perbuatan -perbuatan yang semestinya dilakukan orang gila.

Pengaruh terhadap lisan

Pengaruh marah terhadap lisan ialah: Sentiasa melontarkan celaan dan kata-kata keji. Sekiranya orang berakal (dalam emosi stabil) mendengarnya, dia merasa malu. Pelakunya juga akan merasa malu setelah amarahnya reda. Hal ini disertai pula dengan gaya cakap yang melulu dan kata-kata yang tidak teratur.

Pengaruh terhadap hati

Adapun pengaruh marah dalam hati terhadap orang yang dimarahi ialah timbulnya sifat dengki, benci, menyembunyikannya dendam kesumat, mencela dengan perkataan tidak senonoh , bersedih di atas kegembiraannya berusaha menyebarkan rahsia, menyingkap tabir dan mempermain-mainkannya , serta berbagai-bagai sifat tercela yang lain.

Setiap kali amarah padam, syaitan selalu menyemarakkannya kembali. Seperti mengatakan, “Dia itu mempermainkan  kamu. Kamu harus membalasnya  dan tidak boleh berdiam!” Atau perkataan lain yang dapat menyemarakkan amarah. Oleh itu, seorang muslim yang berakal berkewajiban mengalahkan kekuasaan syaitan, menahan amarah dan selalu berprasangka baik terhadap saudaranya.

Al-Bazzar meriwayatkan dar Anas bin Malik RA bahawa pada suatu ketika, Nabi Muhammad SAW melalui suatu kaum yang saling bergelut. Maka baginda bertanya, “Ada apa ini?” Mereka berkata, “Orang itu dapat mengalahkan semua orang yang menentangnya bergelut.” Rasulullah SAW bersabda:

“Mahukah kalian aku tunjukkan kepada orang yang lebih kuat daripada ini?” (Iaitu) seseorang yang dizalimi oleh orang lain, tetapi dia mampu menahan amarahnya hingga dia dapat mengalahkan (memadamkan) amarahnya, mengalahkan syaitan yang menganggunya dan syaitan yang mengganggu saudaranya.”

Al-Hafiz Ibul Hajar berkata, ‘ Sanad hadis ini hasan.’

Oleh itu, kekuatan yang sebenarnya ialah kekuatan menahan diri ketika marah, sehingga tidak bercakap kotor dan tidak berkata-kata keji serta tidak melepaskan kemarahannya. Sebagaimana Rasulullah SAW:

“ Orang yang kuat bukanlah orang yang handal berlawan, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.”

Kata-kata (Al-Sura’atu) (dengan huruf shad dibaca dhammah dan huruf ra dibaca fathah) bererti orang yang dapat mengalahkan dan menggungguli orang lain. Inilah maksud pada hadits tersebut.

Manakala kata-kata (Al-Sura’atu) (dengan huruf ra dibaca sukun) bererti orang yang lemah dan selalu dikalahkan manusia. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW mencadangkan agar seseorang menahan kemurkaan dan meninggalkan kemarahan.

Abud Darda RA mengatakan, “Seseorang pernah berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Tunjukkanlah kepada saya sebuah perbuatan yang dapat menghantarkan saya menuju syurga.’ Rasulullah SAW bersabda:

“Jangan marah, nescaya kamu akan memperoleh syurga.”

Abu Hurairah RA mengatakan bahawa seseorang berkata kepada Rasulullah SAW, “Nasihatilah saya.” Baginda bersabda, “Jangan marah!” Orang itu mengulangi lagi permintaannya, namun Rasulullah SAW bersabda lagi, “Jangan marah!” (HR Bukhari). Pada riwayat lain, Ahmad  menambahkan orang itu berkata, “Setelah Rasulullah SAW mengulangi  pesanannya agar saya jangan marah, saya menyedari bahawa amarah akan mengumpulkan semua kejahatan.”

Daripada Abdullah bin Amr RA, dia berkata, “Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Apa yang dapat menjauhkan saya daripada kemurkaan Allah? Baginda bersabda, “Jangan marah!”

Al-Hafiz Al-Iraqi mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan Tabrani di dalam Makarimul Akhlaq dan Ibnu Abdil Barr di dalam At-Tamhid dengan sanad hasan.        

Seorang manusia normal, tidak mungkin boleh menghindarkan dirinya dari rasa marah yang telah menjadi naluri dan tabiatnya. Namun, dia harus menghindari segala sebab yang membangkitkan amarah, seperti sombong, bangga diri dan sebagainya.

Ali bin Zaid berkata, “Ada seorang dari kalangan kaum Quraisy yang pernah bercakap kasar kepada Umar bin Abdul Aziz RA. Maka Umar berkata, ‘Adakah kamu ingin agar syaitan memerangkap saya kerana kekuasaan yang saya pegang. Pada hari ini, saya memperoleh daripada kamu apa yang akan kamu peroleh daripada saya pada hari esok. Pergilah kamu, semoga Allah merahmatimu’.”

Ke bahagian kedua.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.