Bila Syaitan-Syaitan Bertebaran
Di dalam “As-Sahihain” terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Jika malam mulai menelang masuk waktu mashrib, tahanlah anak-anak kalian di dalam rumah kerana pada waktu itu, syaitan-syaitan bertebaran. Sejam selepas itu, lepaskanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutupilah tingkap-tingkap kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah wadah-wadah kalian dan sebutlah nama Allah, meskipun hanya dengan melintangkan kayu di atasnya. Dan padamkanlah lampu-lampu kalian.”
Terdapat lima perkara penting yang dapat disimpulkan daripada hadis ini, iaitu:
1. Memelihara anak-anak.
2. Menutup pintu-pintu.
3. Menutup tingkap-tingkap dengan menyebut nama Allah.
4. Menutup wadah-wadah dengan menyebut nama Allah.
5. Memadamkan lampu ketika akan tidur.
Penyebab bagi perkara yang ketiga dan keempat pula, dijelaskan oleh hadis lain yang diriwayatkan di dalam “As-Sahihain” juga bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Tutuplah bekas dan tempat air minum serta pintu-pintu rumah kalian, dan padamkanlah lampu kalian; kerana syaitan tidak dapat menempati bekas minuman, membuka pintu dan tidak juga menyingkap wadah. Jika kalian tidak mempunyai penutup bagi tempat-tempat air kecuali hanya seranting kayu, maka lakukanlah dengan menyebut nama Allah.”
Sementara perkara yang kelima, penyebabnya telah dijelaskan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan disahihkan oleh Hakim dan Ibnu Hibban daripada Abdullah bin Abbas RA dia berkata:
“Ada seekor tikus datang, lalu menarik sumbu, kemudian aku membawanya di hadapan baginda Rasulullah SAW di atas tikar kecil yang sedang baginda duduki, maka ia membakar tikar tersebut sehingga meninggalkan bekas bakaran sebesar wang dirham. Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “Jika kalian hendak tidur padamkanlah lampu kalian; kerana dengan lampu ini syaitan dapat menuntun tikus ini pada tempat seperti ini, lalu dia akan membakarnya.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Pada hadis ini terdapat penjelasan bahawa yang melihat tikus untuk menarik sumbu itu ialah syaitan. Dan dia (syaitan) meminta bantuan kepada musuh manusia yang lain, iaitu api. Semoga Allah melindungi kita semua daripada perbuatan jahat musuh-musuh kita. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”
Di dalam sahih Muslim terdapat sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA, dia berkata, “Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam hingga kabut malam (waktu Isyak) lenyap kerana syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut malam lenyap.”
Ibnul Jauzi berkata, “Hikmah daripada bertebaran bangsa jin pada ketika itu ialah; gerakan mereka pada waktu malam lebih bebas berbanding pada waktu siang kerana kegelapan lebih dapat memberikan kekuatan bagi syaitan daripada siang. Begitu juga dengan setiap warna hitam. Oleh itu, di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zarr Al-Ghifari RA dikatakan, ‘Anjing hitam ialah syaitan’.” Perkataan ini dipetik oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar daripada Ibnul Jauzi di dalam Fathul Bari.
Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata, “Ayah saya selalu tidur pada pertengahan waktu siang, baik di waktu musim dingin mahupun musim panas. Dan dia menyusuh saya untuk mengikutinya, dia berkata, ‘Umar bin Khattab RA berkata, ‘Hendaknya kalian tidur di waktu siang, kerana syaitan tidak pernah tidur siang’.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nuaim secara marfu’ sedangkan, Al-Albani menganggapnya sanadnya hasan.”