Benteng Ghaib (Bhgn 2: Ikhlas)

804

Baca bahagian pertama di sini

Tahap keempat : Tahap ini lebih halus dan tersembunyi daripada yang sebelumnya. Ketika orang melihatnya sedang bersolat, syaitan tidak mampu berbisik kepadanya, “Lakukanlah solat dengan khusyuk kerana mereka melihat kamu.” Sebabnya syaitan sudah tahu bahawa orang ini tidak akan terpengaruh.

Seterusnya syaitan berbisik kepadanya. “Renungkan keagungan dan kemuliaan Allah SWT serta siapa dirimu sebenarnya yang berdiri di hadapan-Nya. Malu jika Allah melihat hatimu dalam keadaan lalai daripada-Nya.” Maka, hati dan anggota tubuhnya pun khusyuk seketika. Dia berfikir jika hal tersebut merupakan hakikat keikhlasan. Wahal ini merupakan bentuk tipu daya tersembunyi syaitan. Jika dia khusyuk kerana keagungan Allah SWT. pasti perasaan khusyuk ini juga akan menyertainya ketika bersendirian. Akan tetapi, dia tidak akan mengkhususkannya kerana keberadaan orang lain. Sebenarnya, perasaan aman dari riak dalam hal ini.

Orang yang memiliki perasaan seperti ini akan merasa tenang ketika bersendirian, sebagaimana ketenangannya ketika berada di tengah -tengah orang ramai. Keberadaan orang lain bukan faktor penyebab kepada kekusyukannya. Selagi keadaannya masih membezakan kekhusyukannya dilihat manusia atau binatang, bereti dia masih berada di luar kemurniaan ikhlas dan mengotori hatinya dengan syirik yang tersembunyi (kecil) iaitu riak.

Syirik kecil ini lebih tersembunyi di hati seseorang daripada pergerakan semut hitam di tengah-tengah padang pasir pada malam yang gelap. Hanya orang yang peka, bercahaya dan membentengi dirinya dengan perlindungan petunjuk Allah sahaja yang boleh selamat daripada tipu daya syaitan.

Seseorang hamba seharusnya merenung keadaan dirinya sebelum dan ketika melakukan sesuatu perbuatan. Hal ini dilakukan supaya dia dapat melihat adakah amalannya murni kerana keredhaan Allah SWT. semata-mata atau ada unsur lain (hawa nafsu).

Contohnya orang yang berpuasa yang berniat untuk mendapatkan manfaat terpeliharanya kesihatan diri dengan ibadah puasa di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu dapat juga dilihat melalui seseorang yang menunaikan ibadah haji dengan niat membersihkan diri, melakukan solat malam dengan tujuan menghilangkan rasa mengantuk dan untuk mengawasi keluarga dan kenderaannya.

Selain itu menuntut ilmu dengan tujuan dihormati dan disegani di kalangan keluarga dan masyarakat atau menjadi seorang penasihat, supaya dapat menikmati manisnya berkata-kata. Atau bersedekah kepada orang yang meminta-minta, supaya terhindar daripada cercaannya.Atau menjenguk orang sakit, dengan harapan jika dia sakit, dia akan dijenguk. Atau dia melawat orang meninggal, supaya orang-orang melawat jenazah keluarga agar keluarga yang ditinggalkan merasa senang.

Kesimpulannya, setiap unsur-unsur keduniaan yang membuat hati menjadi condong, dan jiwa merasa tenteram jika menghinggapi amalan, baik sedikit atau banyak akan menyebabkan kejernihan amalan akan keruh dan keikhlasannya akan lenyap. Oleh itu, ikhlas merupakan amalan paling rumit dan paling sukar untuk dilaksanakan.

Namun jangan sampai hal ini menjadi alasan untuk tidak beramal. Perkara ini merupakan tujuan dan misi syaitan. Akan tetapi anda harus berusaha keras untuk menyucikan amalan dan jangan sampai meninggalkannya kerana takut berlaku riak. Fudhail bin Iyadh bertkata:

“Meninggalkan suatu amalan kerana manusia ialah riak, dan melakukan suatu perbuatan kerana manusia ialah syirik. Sedangkan ikhlas ialah, jika Allah memeliharamu daripada kedua-dua sifat ini.”   

Abu Musa Al-Asy’ari RA berkata, ‘Rasulullah SAW pernah ditanya tentang seseorang yang berperang kerana keberanian , atau kerana keyakinan yang kuat terhadap golongan, atau kerana ingin dilihat manusia; siapakah di antara mereka yang dikategorikan berjihad di jalan Allah SWT” Baginda bersabda:

“Barang siapa yang berperang supaya kalimat (agama) Allah menjadi yang tertinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”     

Allah SWT menggabungkan semua makna di atas dalam firman-Nya:

“Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNya, semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).” (Surah All-Bayyinah:5) 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.