Bagaimana Jin Berubah Rupa?
Al-Qadhi Abu Ya’la, Muhammad bin Husein bin Fara’ berkata, “Sebenarnya, syaitan-syaitan tidak mempunyai kemampuan untuk mengubah bentuk mereka, dan meniru bentuk lain. Tetapi, mereka hanya diajarkan Allah SWT beberapa kalimat dan beberapa amalan. Jika mereka mengamalkan dan mengucapkan kalimat tersebut, Allah akan mengubah bentuknya ke bentuk yang lain. Boleh dikatakan, bahawa kemampuan syaitan untuk merubah bentuk terjadi jika ia mengucapkan kalimat-kalimat atau mengamalkan amalan-amalan tersebut, maka Allah akan mengubah dirinya menyerupai bentuk makhluk lain, sebagaimana yang sering terjadi.
Kalau ia sendiri yang ingin mengubah bentuknya, perkara ini merupakan sesuatu yang mustahil. Hal ini adalah kerana proses perubahan bentuk daripada satu bentuk ke bentuk yang lain boleh terjadi setelah ia menghancurkan dirinya dan mencerai beraikan anggota tubuhnya. Jika ianya hancur, dia akan mati.
Pendapat tersebut merupakan yang sangat baik, tetapi masih memerlukan dalil. Barangkali hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah boleh menjadi dalil kepada pendapat ini iaitu ada hantu yang muncul di hadapan Umar bin Khattab RA, maka beliau berkata, “Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dapat mengubah dirinya daripada keadaan aslinya, tetapi mereka memiliki tukang sihir (untuk menyihirnya agar boleh berubah wujud), sebagaimana tukang sihir yang ada di tengah-tengah kalian. Jika kalian melihat hal itu, hendaknya kalian mengumandangkan azan.” Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan, “Sanad hadis ini sahih.”
Ibnu Abid Dunya juga meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA, dia berkata, “Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai hantu. Baginda bersabda, ‘Mereka ialah ahli sihir dari kalangan jin’.” Tetapi sanad hadis ini daif jiddan (lemah sekali), kerana di dalam sanadnya terdapat tiga kecacatan. Namun di sini bukan tempat yang tepat untuk menjelaskannya.
Hal ini tidak menafikan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim di dalam sahihnya daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “Tidak ada penyakit menular dengan sendirinya, tidak ada ramalan musibah (dengan keadaan binatang) dan tidak ada hantu.”
Di dalam hadis ini baginda SAW tidak menafikan keberadaan hantu, tetapi yang baginda nafikan ialah mitos bangsa Arab yang meyakini bahawa hantu dapat menyesatkan manusia. Imam Nawawi berkata, “Jumhur ulama mengatakan, ‘Dahulu orang-orang Arab menggangap bahawa padang-padang yang kosong terdapat hantu-hantu daripada jenis syaitan. Hantu-hantu tersebut memperlihatkan pemandangan yang bukan sebenarnya kepada manusia dan menjadikan matanya melihat warna yang berbeza. Lalu hantu-hantu tersebut menyesatkan jalan mereka, kemudian membinasakan mereka. Oleh yang demikian Nabi Muhammad SAW menghapus (kepercayaan batil) ini’.”
Ulama yang lain berpendapat, “Maksud hadis ini bukanlah menafikan kewujudan hantu, tetapi menghapus kepercayaan orang-orang Arab yang meyakini bahawa hantu-hantu itu wujud dalam bermacam-macam bentuk dan menipu daya. Para ulama tersebut berkata, “Maksud daripada tidak ada hantu ialah bahawa hantu tidak dapat menyesatkan sesiapa pun.”
Dia berkata, “Pendapat ini dikuatkan oleh hadis yang lain, iaitu:
Maksudnya : “Tidak ada hantu tetapi as-Su’ala.”
Para ulama menjelaskan, “as-Su’ala” ialah ahli sihir dari bangsa jin. Maksudnya, di kalangan jin juga terdapat ahli sihir yang boleh menipu daya dan menghipnosis.”