Amalan-Amalan Kebatinan Yang Salah

2,539

Berkaitan dengan amalan-amalan kebatinan, didapati bahawa antara mereka yang banyak terlibat dalam hal kebatinan ini adalah sebahagian pengamal silat. Bahkan apabila dirujuk kepada fatwa, didapati bahawa banyak aliran silat yang difatwakan sebagai haram kerana amalan dan pengamalannya menyalahi aqidah Islam yang sebenar. Sebagai contoh fatwa yang diwartakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), menyenaraikan ajaran dan amalan ilmu kebatinan, tahan diri (kuasa ghaib) seperti yang diajar dan diamalnkan oleh Nasrul Haq, Budi Suci, Al-Watan, Budi Suci Sejati, Jawa Faradin, Silat sunda pukulan Ghaib, Tusuk Hikmat, Ilmu Kebatinan, Potong Maya, Naluru, Kaula, Haqqulah, Silat Pukulan Jarak Jauh, Ilmu-Ilmu Tenaga Dalam Hikmat dan seumpamanya adalah menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar.

Selain itu, terdapat juga amalan kebatinan yang melibatkan penggunaan zikir-zikir dan amalan-amalan tertentu. Contohnya mempelajari “Ilmu Isim”. Dalam satu persoalan yang dikemukanan pada ruangan agama akhbar Mingguan Malaysia, terdapat seorang lelaki yang menyatakan bahawa beliau mempelajari ilmu isim iaitu dengan menyeru nama-nama syeikh-syeikh tertentu yang digabungkan dengan ayat-ayat al-Quran. Selepas diamalkan, beliau mendapati terdapat sesuatu yang menggerakkan badannya sehingga memberi kelebihan kepada dirinya dengan kebolehan bersilat, boleh mengubati pesakit dan sebagainya.

Dalam kes yang lain, seorang pemuda mengatakan bahawa beliau mengamalkan satu jenis zikir setelah diijazahkan oleh gurunya. Kombinasi zikir tersebut ialah bacaan istighfar, dua kalimah syahadah, selawat, membaca surah al-Fatihah dan dihadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW, ibu bapa, semua wali Allah, rijalul ghaib, syeikh-syeikh, guru-guru serta kaum Muslimin dan Muslimat. Setelah beramal dengan zikir tersebut beliau mengalami keadaan yang sukar untuk melakukan solat. Bahkan, beliau juga sukar untuk menuturkan kalimah “Allahu Akbar”, sukar membaca surah al-Fatihah dan ayat-ayat al-Quran yang lain seolah-olah terdapat sesuatu yang menghalang lidahnya membaca ayat-ayat tersebut dan menekan dadanya. Kemudian, beliau juga sering mendengar bisikan-bisikan sama ada ketika dalam solat atau di luarnya.

Demikian juga terdapat pandangan ulama menerangkan kesesatan tok guru latihan ilmu pertahanan diri atau silat, di mana antara perkara yang diharamkan oleh syarak dilakukan adalah seperti:

  1. Melalui kaedah mubai’ah yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah yang bertujuan untuk mendapat hikmat atau kejadian luar biasa.
  2. Melalui syarat seperti makanan, minuman, alatan senjata, pakaian, perkataan, perbuatan dan alatan bunyi-bunyian.
  3. Melalui petua-petua kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa.
  4. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa-doa tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.
  5. Tidak tahu asal usul ilmu dan amal yang dipelajari dan yang diajar kepada orang lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.