Allah SWT berfirman:
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)
Ayat ini menunjukkan bahawa jin juga dibebani peraturan syariat. Pembebanan ke atas mereka ini sudah ada sejak sebelum diciptakannya Adam, kerana Allah SWT memerintahkan para malaikat untuk bersujud kepada Adam, sedangkan pada saat itu Iblis sudah ada.
Sebagaimana disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim:
“Mereka semuanya bersujud, kecuali Iblis. Iblis itu termasuk kalangan jin lalu dia berbuat fasik dari perintah Rabb-nya.” (Al-Kahfi: 50)
Dalil yang menunjukkan bahawa jin itu dibebani kewajipan syariat dan diatur dengan syariat Islam adalah firman Allah SWT:
“Wahai sekalian jin dan manusia, belumkah datang kepada kamu para Rasul yang berasal dari kalangan kamu, mereka menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku dan mereka menyampaikan ancaman kepada kamu akan pertemuan hari kamu ini.” (Al-An’am: 130)
Adapun dalam hal agama dan akidah para jin, maka mereka itu sama seperti keadaannya sebagaimana manusia. Di antara mereka ada yang muslim, dan ada pula yang beragama Kristian ataupun Yahudi. Ada yang taat dan ada pula yang bermaksiat lagi fasik.
Sila baca surah Al-Jin, nescaya akan anda dapati keterangan yang jelas di sana, misalnya adalah firman Allah SWT:
“Bahawasanya di antara kami ada jin-jin yang soleh, dan di antara kami juga ada yang tidak demikian, kami ini menempuh jalan yang berbeza-beza.” (Al-Jin: 11)
Ibnu Abbas RA menjelaskan makna tharaiqa qidada: “Maksudnya adalah di antara kami ada yang mukmin dan ada pula yang kafir.”
Sedangkan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata: “Maksudnya adalah mazhabnya berbeza-beza, ada yang muslim, kafir, ahlus sunnah dan ada juga ahlu bidaah.”
Dikukuhkan dalam Ash-Shahihain hadis dari Jabir bin Abdullah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi sebelumku: aku ditolong dengan rasa takut di hati musuhku dalam jarak sebulan perjalanan, dijadikan bumi ini seluruhnya masjid ( tempat solat) dan suci bagiku, maka sesiapapun dari kalangan umatku yang mendapati waktu solat, maka dia hendaklah mengerjakan solat, dihalalkan bagiku ghanimah (harta rampasan perang) sedang itu tidak dihalalkan untuk seorang pun sebelum aku, aku diberi hak untuk memberikan syafaat, dan dulu Nabi-nabi itu diutus untuk kaumnya secara khusus sedang aku diutus untuk manusia secara umum.”
Para ulama berkata: “Jin itu termasuk ke dalam penamaan ‘an-nas’.”
Al-Jauhari berpendapat: “An-Nas itu boleh jadi berasal dari manusia, boleh pula berasal dari kalangan jin.”
Ibnu Taimiyyah berkata: “Allah SWT mengutuskan Muhammad SAW untuk keseluruhan dua jenis makhluk: manusia dan jin. Dia mewajibkan kepada mereka agar beriman kepada Rasul-Nya, beriman kepada ajaran yang baginda bawa, mentaati baginda, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul-Nya, mengharamkan apa sahaja yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, mewajibkan apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya, mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya, dan membenci apa sahaja yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.”
Semua orang dari kalangan manusia dan jin yang telah ditegakkan hujah ke atasnya dengan risalah Muhammad SAW lalu dia tidak beriman kepadanya, maka dia layak mendapatkan seksa Allah SWT, sebagaimana orang-orang kafir seperti mereka yang diutus kepada mereka para Rasul. Ini adalah asas ajaran yang disepakati oleh para sahabat, para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik, para imam kaum muslimin dan seluruh kumpulan kaum muslimin, baik Ahlus Sunnah wal Jamaah mahupun selain mereka.
Allah SWT tekah memberitahu di dalam Al-Quran Al-Karim bahawa jin itu mendengar Al-Quran dan mereka beriman kepadanya. Ayat-ayat berikut ini menunjukkan bahawa jin itu keadaannya seperti keadaan manusia dalam hal ibadah dan dinul Islam yang lurus dan iman.
Allah SWT berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengar Al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan(nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).’ Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata, ‘Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan sesusah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya, menunjukkan kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah, maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Ahqaf: 29-32)
Jika demikian, dakwah Rasulullah SAW tidak hanya disampaikan untuk manusia sahaja, tetapi juga ditujukan kepada bangsa jin, sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat-ayat yang mulia ini.
Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam”
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih