Adakah Pernikahan Jin Dengan Manusia?

54

Ada pendapat dari ulama yang menjawab pertanyaan mengenai pernikahan manusia dengan jin. Pertama sekali, harus dijelaskan tentang kemungkinan terjadinya hal itu, dan yang kedua adalah tentang peraturan syariat terhadap perkara tersebut jika memang benar-benar terjadi.

Tentang kemungkinan terjadinya, Ats-Tsa’alibi menjelaskan: “Mereka meyakini bahawa pernikahan dan pembuahan itu boleh terjadi di antara manusia dengan jin.”

Allah SWT berfirman:

“Dan berserikatlah dengan mereka dalam harta dan anak-anak.” (Al-Isra’: 64)

Nabi Muhammad SAW melarang pernikahan dengan jin. Ulama ahli fiqh berkata: “Tidak boleh diadakan pernikahan antara manusia dengan jin.”

Penetapan hukum makruh oleh para tabi’in terhadap pernikahan antara manusia dan jin menjadi bukti bahawa pernikahan itu mungkin sahaja terjadi, kerana sesuatu yang tidak mungkin terjadi tidak akan dihukum boleh atau tidak boleh.

Jin bukanlah termasuk dari jenis kita, dan Allah SWT tidak menjadikan mereka sebagai jodoh bagi kita, dan tidak mungkin mereka menjadi suami atau isteri kita. Ini kerana salah satu tujuan pernikahan adalah ketenteraman suami ataupun isteri kepada pasangannya.

Allah SWT memberitahu bahawa Dia menjadikan jodoh bagi kita adalah dari golongan kita sendiri (jenis manusia).

Allah SWT berfirman:

“Di antara ayat-ayat-Nya adalah Dia menciptakan untuk kamu jodoh-jodoh, agar kamu mendapat ketenteraman dengannya dan Dia menjadikan di antara kamu rasa cinta dan kasih sayang, sesungguhnya dalam yang demikian itu terkandung tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum: 21)

Adapun peraturan syariat dalam hal pernikahan antara manusia dengan jin, terdapat riwayat mengenai larangan dari Nabi Muhammad SAW di atas perbuatannya. Diriwayatkan pula dari sejumlah sahabat Nabi dan tabi’in bahawa perbuatan itu hukumnya makruh.

Diriwayatkan dari Uqbah bin Abdullah, bahawasanya ada seorang lelaki datang menemui Hasan Al-Bashri lantas berkata: “Wahai Abu Sa’id, ada seorang jin lelaki meminang gadis dari kalangan kami, bagaimana?”

Hasan Al-Bashri menjawab: “Kamu jangan menikahinya dan jangan pula kamu memuliakannya.”

Orang itu lalu datang menemui Qatadah dan berkata: “Wahai Abul Khattab, ada seorang jin lelaki meminang salah seorang gadis kami, bagaimana?”

Dia menjawab: “Janganlah kamu menikahinya dan janganlah kamu memuliakannya. Akan tetapi jika dia datang maka katakanlah, ‘Sesungguhnya kami melarang kamu, jika kamu adalah seorang muslim, segeralah menyingkir dari kami dan jangan ganggu kami.’

Malam harinya jin itu datang dan berdiri di pintu rumah seraya berkata: “Siang tadi kamu datang menemui Hasan Al-Bashri, lalu kamu bertanya kepadanya dan dia menjawab, ‘Kamu jangan menikahinya dan jangan pula kamu memuliakannya.’ Kemudian kamu datang kepada Qatadah dan kamu juha bertanya kepadanya, lalu dia menjawab, ‘Kamu janganlah menikahinya dan janganlah kamu memuliakannya.’ Akan tetapi katakanlah kepadanya, ‘Kami melarang kamu, jika kamu adalah seorang muslim, segeralah menyingkir dari kami dan jangan ganggu kami.'”

Mereka membenarkan perkataan jin tersebut dan jin itu pun menyingkir dan tidak lagi mengganggu mereka.

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam”
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih

Get real time updates directly on you device, subscribe now.