Bagaimana Syaitan Menggoda Manusia

125

Ibnul Qayyim berkata, “Makna asal dari kata ‘bisikan’ ialah gerakan atau suara yang tersembunyi dan tidak dirasakan sehingga dia menjaga diri supaya tidak terjerumus kepadanya. Bisikan adalah dengan menyampaikan sesuatu yang tersembunyi di dalam diri. Tidak kira sama ada dengan suara berbisik yang hanya didengar oleh orang yang mengucapkannya, mahupun tanpa suara, seperti syaitan mengganggu (membisiki) manusia.”

Seterusnya Ibnul Qayyim berpendapat, “Bisikan ialah permulaan daripada sebuah keinginan. Pada dasarnya, hati manusia kosong daripada segala kejahatan dan kemaksiatan. Namun syaitan menggoda dan menghasutnya, serta menghadirkan bayangan dosa, menggambarkan, menganggankan dan menanamkannya di dalam diri manusia sehingga menjadi syahwat.

Syaitan turut menghiasinya dengan keindahan, kemudian membuatnya berkhayal sehinggakan hatinya bercita-cita. Kemudian hal tersebut menjadi sebuah keinginan.

Kemudian dia akan selalu membayangkan, berkhayal, berangan-angan, lalu menghasratkannya sehingga terlupa akan bahayanya dan tidak peduli kesan buruknya. Kesedaran dan kestabilan dirinya tidak lagi terkawal. Sementara yang terbayang hanyalah gambaran kemaksiatan, kelazatan dan kenikmatan dengan melupakan akibat buruk setelah itu.

Kemudian keinginan tersebut berubah menjadi keinginan yang kuat serta sehingga terbitnya tekad yang membara dalam hati untuk melakukan perkara tersebut. Akhirnya syaitan mengutus bala tenteranya untuk merealisasikan kemaksiatan tersebut. Syaitan juga turut bersemangat untuk menolong dan membantunya.

Apabila dia lelah dengan semua itu, syaitan akan menguatkannya. Apabila dia tersedar kembali, syaitan akan memalingkannya, sebagaimana Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Tidakkah kamu lihat, bahawasanya Kami telah menghantarkan syaitan-syaitan itu kepada orang kafir untuk menghasut mereka lakukan maksiat dengan sungguh-sungguh?” (Surah Mariam: 83)

Jelas di sini ayat tersebut bermaksud syaitan membuat mereka bersemangat untuk melakukan kemaksiatan. Setiap kali mereka penat untuk bermaksiat, syaitan akan membuatnya bersemangat kembali, menghasut, mendorong dan memotivasi mereka untuk melakukan maksiat. Syaitan akan selalu menuntun seorang hamba kepada kemaksiatan dan dosa.

Kita boleh melihat bahawa iblis merelakan dirinya menjadi ketua kaum durjana umat manusia. Syaitan juga bersikap angkuh, sombong dan enggan sujud kepada bapa manusia iaitu Adam AS. Tiada kemuliaan dan kejayaan dengan kesombongan dan keangkuhannya itu.

Selain itu, tiada keuntungan jika dia menjadi ketua setiap orang yang derhaka kepada Allah SWT. Sebagaimana salah seorang penyair bertutur:

Aku hairan melihat kederhakaan iblis
Serta jelasnya keburukan sikap yang ia tunjukkan
Dia derhaka untuk bersujud kepada Adam AS
Akhirnya, ia menjadi ketua bagi anak-cucunya
Sehingga, dasar dari semua kemaksiatan dan malapetaka ialah bisikannya.

Ibnul Jauzi berkata, “Syaitan menggoda manusia sesuai dengan keadaan yang membolehkannya untuk menggoda. Godaan mereka boleh menjadi kuat dan lemah bergantung kepada kesedaran dan kelalaian manusia yang digodanya, serta kebodohan dan ilmu mereka.”

Ketahuilah bahawa hati umpama benteng. Pada benteng tersebut mempunyai pagar. Pagar itu mempunyai beberapa pintu yang di dalamnya ada beberapa jendela dan penghuninya adalah akal. Malaikat AS sentiasa ulang-alik antara benteng dan di sebelah luarnya yang dijadikan markas oleh hawa nafsu dan syaitan.

Pertempuran antara penghuni benteng dengan para penyerang sentiasa terjadi. Syaitan selalu mengelilingi benteng itu untuk mencari kelalaian si penjaga. Dia selalu berusaha untuk menembusi ruang-ruang yang ada. Oleh itu seharusnya jika si penjaga selalu memantau semua pintu dan jendela benteng yang telah diserahkan kepadanya. Si penjaga tidak boleh terlena walau sekali pun dalam menjaganya. Sebabnya ialah musuhnya (syaitan) tidak pernah lalai.

Seseorang pernah bertanya kepada Hasan Basri “Adakah iblis tidur”, Hasan berkata “Kalau iblis tidur kita boleh bersantai.”

Benteng ini disinari dengan zikir dan diterangi dengan iman. Di dalamnya terdapat cermin yang bening, sehingga setiap gambar yang melaluinya akan terlihat.

Kali pertama yang dilakukan syaitan di sekitar benteng tersebut ialah memperbanyakkan asap sehingga tembok-tembok benteng menghitam dab cerminnya menjadi kusam, Musuh ketat ini mempunyai beberapa serangan menuju benteng ini. Adakalahnya memasuki benteng, tetapi si penjaga menyergapnya, sehingga ia pun keluar. Namun berkemungkinan dia berhasil masuk, lalu membuat kerosakan di dalamnya.

Kadangkala dia menghinap di dalam benteng kerana kelalaian si penjaga. Berkemungkinan juga syaitan meniupkan angin yang menerbangkan asap sehingga tembok-tembok benteng menghitam dan cerminnya menjadi kusam.

Syaitan pun masuk tanpa diketahui si penjaga. Namun, adakalanya ia melukai, menawan atau memperalat si penjaga kerana kelalaiannya. Ia pun mulai melancarkan tipu dayanya. Dan syaitan berlagak jadi orang pintar dalam kejahatan.

Terdapat seorang salaf berkata, “Saya pernah melihat syaitan, dan dia berkata kepada saya, ‘Dulu saya berjumpa dengan manusia, maka saya mengajari mereka. Sekarang saya berjumpa dengan mereka, justeru saya yang belajar kepada mereka’.”

Barangkali syaitan menjerang orang pintar, cerdik dan pandai dengan membawa segudang kesenangan hawa nafsu dan syahwat yang menggiurkannya. Oleh itu orang pintar dan pandai ini terganggu dan sibuk memandanginya sehingga terjerumus ke dalamnya.

Ikatan terkuat untuk mengikat seorang tawanan ialah kebodohan. Di bawahnya ialah hawa nafsu, sedangkan kekuatan terendah ialah kelalaian. Selagi senjata masih di bahu orang beriman, sesungguhnya pengaruh musuh tidak akan diaplikasi dalam medan pertempuran.”

Seterusnya Ibnul Jauzi menyebutkan daripada Al-A’masy, dia berkata, “Salah seorang pelaku yang bercakap dengan jin bercerita kepada kami. Mereka (bangsa jin) berkata, ‘Orang yang paling sukar kami goda ialah orang yang mengikuti sunah Rasulullah SAW. Manakala orang-orang yang menuruti hawa nafsu dapat kami permainkan sesuka kami.”

Saudara Islamku, ketahuilah bahawa syaitan tidak akan masuk kecuali ke dalam hati yang kosong daripada zikir, takwa, ikhlas dan yakin. Ketika itu syaitan melancarkan godaan dan aksi jahatnya, dia pun mendapatkan tempat yang kosong sehingga dia dapat bertahan dan bertempat di situ. Seperti kata seorang penyair:

Kecintaanku kepadanya (perempuan) menghampiriku sebelum aku mengenal cinta
Lalu rasa itu menembus hati yang kosong, hingga ia bersemayam di sana.

Jika hatinya dipenuhi dengan keimanan dan dihiasi dengan ketakwaan serta dibentengi dengan zikir, syaitan sama sekali tidak boleh menguasai dan menggodanya. Tetapi kehancuran dan malapetaka besar yang akan terjadi, jika hati sudah dipenuhi dengan hawa nafsu dan syahwat.

Kedua-dua unsur ini merupakan makanan utama syaitan yang tidak boleh ditalikan. Keadaan ini memperlihatkan sebagaimana keadaan anjing lapar yang melalui seseorang yang membawa daging. Setiap kali orang itu mengusir anjing tersebut, ia akan kembali lagi. Namun, jika orang ini menyembunyikan atau membuang daging ini, anjing ini akan berputus asa dan berlalu pergi.

Begitu pula pemilik hati yang dipenuhi dengan hawa nafsu dan syahwat. Dia harus terlebih dahulu membersihkan hawa nafsu dai dalam hatinya kemudian baru disirami dengan ketakwaan. Jika hal itu dia lakukan dan dia mengatakan, “Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk.” Oleh itu syaitan pun akan meninggalkannya.

Barang siapa yang memahami hal ini, tentu dia akan mengetahui penyebab pengaruh isti’adzhah (permintaan perlindungan) yang sedikitnya bagi kebanyakan orang. Isti’adzah tidak dapat mengusir syaitan, kecuali jika hati orang yang mengucapkannya bebas daripada makanan utama syaitan (kemaksiatan) dan dipenuhi dengan ketakwaan serta keimanannya.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).” (Surah Al-A’raf: 201)

Ayat ini hanya diperuntukkan kepada orang-orang yang bertakwa sahaja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.