Siapakah Wali Allah atau Tok Wali

1,392

Soalan :

Ustaz, kita sering mendengar perkataan waliullah, tok wali dan individu dengan gelaran sebagai wali Allah. Bolehkah ustaz jelaskan tentang perkara tersebut dan adakah wali Allah SWT wujud pada zaman ini sebagaimana yang disebutkan? (Abu Huzaifah, Kuala Lumpur)

Jawapan :

Perkataan wali berasal daripada perkataan Arab. Wali mempunyai pelbagai maksud antaranya bermaksud “amat hampir”. Maksudnya di sini ialah wali Allah SWT ialah orang yang benar-benar hampir dengan Allah SWT.

Individu ini amat memahami dan mentaati perintah Allah SWT dalam semua keadaan dan sentiasa menjauhi larangan Allah SWT. Istilah wali berlawanan dengan istilah ‘adaawah yang bermaksud bermusuh.

Orang yang hampir dengan Allah SWT dipanggil wali, manakala orang yang bermusuh dengan Allah SWT pula digelar ‘aduu atau musuh. Musuh Allah SWT bermaksud orang yang melawan hukum, melawan perintah dan menderhakai Allah SWT sedangkan wali adalah orang yang paling taat kepada Allah SWT.

Wali memang wujud sejak dahulu sehingga sekarang. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah Yunus ayat 62 dan 63:

Maksudnya : “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) bagi mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.”

Dalam Tafsir al-Qurtubu dan Tafsir al-Maraghi menjelaskan, ayat ini menerangkan bahawa wali-wali Allah SWT itu adalah orang yang ikhlas mematuhi perintah Allah SWT dan berserah diri kepada-Nya tanpa mensyirikkan-Nya. Mereka mengasihi-Nya dengan sebenar-benar kasih dan mentaati-Nya dengan sepenuh ketaatan.

‘Ali ibn Abi Talib menjelaskan perkara yang berkaitan dengan ayat di atas dan menggambarkan keadaan wali itu seperti berikut:

“Wali-wali Allah ialah orang yang kelihatan pucat muka mereka kerana banyak beribadat, mata-mata mereka kuyu dan layu kerana banyak berjaga malam untuk beribadah, perut-perut mereka kempis kerana banyak berpuasa dan kurang makan.”

Merujuk kepada ayat ini, ‘Umar al-Khattab RA pernah berkata, “saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Ada antara manusia, mereka bukan para Nabi dan bukan juga para Syuhada, mereka ditempatkan di mimbar dari cahaya kemuliaan.”

Lalu ditanya kepada Rasulullah SAW, siapakah mereka dan apakah amalan mereka? Moga-moga kami boleh mencontohi dan mengasihi mereka, lalu Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Mereka ialah kaum yang berkasih sayang kerana Allah SWT.”

Lalu Rasulullah SAW membaca kedua-dua ayat tersebut daripada surah Yunus.

Begitulah gambaran wali Allah SWT yang disebut oleh al-Quran. Dalam sebuah hadith qudsi, Nabi SAW pernah menyebut perkataan wali dengan jelas dalam sabdanya:

Maksudnya : “Barang siapa yang memusuhi wali-wali aku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadap mereka.”

Para ilmuwan Islam bersepakat mengatakan bahawa wali itu terdiri daripada kalangan para Rasul AS (tanpa khilaf), kerana mereka yang paling hampir kepada Allah SWT, paling cinta dan mematuhi perintah-Nya. Wali mempunyai makam yang paling tinggi di sisi Allah SWT dan digelar sebagai muqarrabun.

Firman Allah SWT dalam surah al-Waqiah ayat 10-14:

Maksudnya : “Dan (golongan yang ketiga pula) orang yang paling dahulu (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak). Mereka ialah orang yang paling tinggi makamnya di sisi Allah. (Mereka) menetap di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Segolongan besarnya terdiri daripada umat-umat terdahulu. Dan sebilangan kecil terdiri dari orang yang datang kemudian.”

Muqarrabun dalam ayat di atas bermaksud orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan di atas perintah Allah SWT, mereka itulah wali Allah SWT. Mereka telah wujud sejak dahulu dan berkurangan pada zaman ini. Namun yang penting, wali Allah SWT ialah orang yang amat istimewa di sisi Allah SWT.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.