Bolehkah Roh Menziarahi Ahli Keluarga?

12,184

Soalan:

Ustaz, suami saya telah meninggal dunia kira-kira tiga bulan yang lalu. Semenjak kebelakangan ini, sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya. Pada setiap malam, arwah suami mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ialah:
Soalan (a): Bolehkah suami yang telah meninggal dunia mendatangi dan menggauli isterinya sepertimana mereka hidup?
Soalan (b): Bolehkah roh suami menziarahi anggota keluarganya, rumah atau kampung halamannya?
Soalan (c): Adakah benar roh orang yang sudah meninggal dunia boleh memasuki tubuh anggota keluarganya seolah-olah boleh berinteraksi dengan orang hidup?

Jawapan (a)

Bagi menjawab soalan pertama, terdapat dua perkara daripada soalan ini. Pertama, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal dunia iaitu ‘tidur bersama’. Kemungkinan yang berlaku adalah suatu mimpi indah. Kedua, perkara itu benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah arwah suami.

Sekiranya berlaku atas dasar mimpi, ia memang boleh terjadi. Lebih-lebih lagi isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah SWT terlebih dahulu daripadanya.

Mengenai mendatangi isteri dengan maksud benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya, perkara ini tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal dunia telah berpindah ke alam baqa alam al-Khulud yang bermula di alam kubur.

Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 100 yang bermaksud:

“Supaya mereka mengerjakan amal-amal yang soleh yang telah aku tinggalkan”. Sekali-kali tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataan itu hanyalah ungkapan yang sengaja dia lafazkan, sedangkan di hadapan mereka ada dinding (penghalang mereka ke dunia) sehingga hari mereka dibangkitkan semula.”

Maksud firman di atas ialah mereka yang telah mati mempunyai kehidupan baru, kehidupan dalam kubur yang membatasi antara dunia dan akhirat. Mereka tidak boleh kembali lagi ke dunia ini.

Mengenai perkara yang berlaku seperti yang didakwa oleh ramai orang, saudari mesti meyakini itu bukanlah suami saudari yang sebenar. Walaupun perkara itu benar-benar berlaku, ia bukanlah arwah suami saudari tetapi dilakukan oleh makhluk lain yang bernama qarin. Qarin ini memang wujud seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang menyebut istilah ini sebanyak 12 kali. Sebagai contoh, saudari boleh merujuk sural al-Saffat ayat 51 yang bermaksud:

Berkatalah salah seorang daripada mereka, “Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku)”

Tafsir al-Qurtubi dan al-Maraghi menyebut bahawa qarin bermaksud kawan atau teman yang rapat. Ini bererti seseorang yang menjadikan qarin sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qarin adalah salah satu jenis daripada jenis-jenis jin ataupun syaitan.

Pada umumnya, apabila seseorang bersahabat dengan syaitan serta meminta pertolongan daripadanya, maka syaitan tersebut akan menjadi qarinnya. Oleh itu, selepas kematian seseorang, qarin ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah mengganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu. Saudari tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ ialah suami saudari, kerana suami saudari yang sebenarnya telah meninggal dunia.

Jawapan (b)

Mengenai soalan kedua pula, orang yang telah meninggal dunia kembali kepada Allah SWT iaitu diistilahkan berada di alam ‘barzakh’ atau alam akhirat. Justeru itu, insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang iaitu seumpama sebuah tembok kukuh yang memisahkan di antara dua alam.

Orang yang telah meninggal dunia atau kembali ke alam barzakh ini tidak boleh kembali ke dunia. Allah SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 42 yang bermaksud:

“Allah mematikan satu-satu jiwa ketika matinya, dan jiwa orang yang tidak mati ketika tidur. Kemudian dia menahan jiwa orang yang ditetapkan kematiannya (benar-benar mati) dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya iaitu ketika tidurnya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).”

Ayat al-Quran lain turut menyebut, “Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam barzakh sehinggalah kepada hari kiamat.”

Banyak ayat al-Quran dan hadith yang menjelaskan bahawa roh si mati berada dalam suatu kepungan barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia sebagaimana kita di alam dunia tidak boleh masuk ke alam barzakh (tanpa ada sebab).

Sekiranya roh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia dan boleh melakukan pelbagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnye mereka bebas ke sana ke mari. Oleh itu, kita harus yakin bahawa roh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya, atau sebagainya.

Jawapan (c)

Mengenai soalan ketiga, saya berpendapat bahawa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir. Sebab itu disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh kenikmatan di alam barzakh yang bermula dari alam kubur, ataupun bermula dengan seksaan di alam kubur seperti yang disebut dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang wajib diimani tentang adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada di alam barzakh tetapi ada orang mengatakan roh orang mati boleh kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad individu tertentu dan individu tersebut menjadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang mendakwa dirinya sebagai Nabi Khaidir, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat pesakit, mengajar ilmu-ilmu tertentu yang kononnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan roh (penjelmaan semula) atau dalam istilah Arabnya disebut tanaasukh al-Arwah, istilah bahasa Inggeris disebut reincarnation. Fahaman ini wujud dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba sedangkan Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam wajib beriman bahawa roh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk ke dalam diri orang lain. Satu jasad satu roh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, roh akan kembali ke alam barzakh.

Apabila tiba hari kiamat, jasad akan dijadikan semula dan roh akan dikembalikan ke jasad untuk dihisab oleh Allah SWT. Alam barzakh ialah alam yang ditutup rapat. Oleh kerana itu, pada pandangan saya tidak timbul sama sekali roh manusia yang telah mati boleh mengganggu atau menyakiti manusia.

Wallahu A’lam.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.