Benarkah Wujud Ilmu Pembenci Yang Menyebabkan Suami Isteri Bercerai?

910

Soalan:

Kakak saya telah mendirikan rumah tangga dengan pilihannya sendiri tanpa mendapat restu ibu bapa disebabkan akhlak suaminya itu tidak sesuai dengan kakak saya. Tidak lama selepas berkahwin telah berlaku perselisihan yang membawa kepada perceraian. Keluarga sebelah bekas abang ipar, menuduh ibu bapa saya menjadi punca perceraian. Mereka menuduh ibu bapa saya membuat ilmu pembenci sehingga kakak bercerai. Soalan saya, bolehkah berlaku sedemikian? Apakah nasihat untuk kami sekeluarga, khasnya keluarga sebelah bekas abang ipar saya. Terima kasih. (Nurul Hasanah Abu, Parit Buntar, Perak)

Jawapan:

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu sunnah. Syarak telah menetapkan kepada yang hendak mendirikan rumah tangga mestilah memenuhi beberapa kriteria utama.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW menyebut kriteria yang patut ada pada suami mahupun bakal isteri. Biasanya dikahwini seorang perempuan itu kerana empat kriteria utama iaitu rupa paras yang cantik, keturunan yang mulia, harta benda yang cukup dan keagamaan serta akhlak yang sempurna. Dalam hal ini Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Pilihlah yang beragama, berakhlak dengannya kamu memperoleh untung.”

Daripada senario yang disebut dalam soalan jelas menunjukkan bahawa bakal suami kakak saudari akhlaknya tidak secocok dengan bakal isteri. Maka di sini merupakan punca letaknya kudu atau kafaa’ah seperti yang disebutkan dalam kitab fiqah sebagai salah satu syarat atau kriteria yang patut dipenuhi.

Di samping mengutamakan kriteria keagamaan dan akhlak, keredhaan atau restu ibu bapa amat penting. Sekiranya sesuatu perkahwinan yang tidak sekufu disebabkan salah seorang daripada mereka berakhlak buruk dan ibu bapa pula tidak merestuinya, sepatutnya perkahwinan tersebut tidak dilangsungkan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Keredhaan Allah SWT ada bersama dengan keredhaan kedua ibu bapa.”

Apabila ibu bapa tidak redha, dibimbangi berlaku ‘uquq iaitu derhaka kepada ibu bapa. Redha Allah SWT bergantung kepada redha ibu bapa. Jika keduanya tidak redha, maka Allah SWT juga tidak akan redha.

Perkahwinan seperti ini, besar kemungkinan akan mengundang padah ataupun setidak-tidaknya boleh menjadi salah satu faktor yang membawa kepada porak-peranda yang berakhir dengan perceraian.

Perkara yang mustahak adalah faktor agama. Bagi kes-kes tertentu yang menyebabkan ibu bapa tidak merestui adalah disebabkan faktor kedudukan kewangan bakal suami yang tidak sepadan, keturunannya tidak secocok atau tidak sepadan, tanpa mengambil kira faktor yang utama dalam kes kufu iaitu agama dan akhlak.

Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah SWT, perpisahan juga termasuk dalam qada’ dan qadar Allah SWT. Apabila berlaku sesuatu perceraian, biasanya orang suka melihat kepada kelemahan atau sebab musabab yang menjadi punca perkara ini berlaku.

Bagi kes yang disebutkan oleh saudari yang mana ibu bapa saudari dituduh merenggangkan hubungan suami dan kakak saudari, saya ingin mengingatkan bahawa dalam perkara yang sebesar ini,tuduh menuduh, syak wasangka kepada seseorang adalah sifat-sifat yang dikeji oleh syarak.

Tidak sepatutnya begitu mudah meletakkan punca perceraian disebabkan ada orang atau pihak melakukan sesuatu ikhtiar atau ilmu pembenci.

Memang diakui perceraian akan bermula daripada krisis. Krisis bermula daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang besar. Krisis menyebabkan timbulnya kebencian, hilang rasa sayang dan timbul permusuhan.

Perkara ini boleh berlaku secara tabii lebih-lebih lagi jika perbezaan akhlak suami dan isteri yang begitu ketara. Sebagai contoh, seorang isteri kuat berpegang kepada agama namun suami pula bersifat sebaliknya. Maka dengan sendirinya isteri pula bersifat sebaliknya. Maka dengan sendirinya isteri yang kuat berpegang dengan agama tidak akan disenangi oleh suami yang tidak berpegang kepada hukum agama.

Ini bermakna sistem nilai antara suami isteri tersebut sangat berbeza dan ia akan berlawanan antara orang yang taat kepada Allah SWT berbanding dengan orang yang tidak suka kepada perkara-perkara agama. Di sinilah berlakunya pertembungan yang akan berakhir dengan perceraian. Ini merupakan fakta fizikal yang saya rasa lebih dekat dengan kes yang saudari sebutkan. Pada fikiran saya, tidak wajar menuduh mana-mana pihak melakukan ikhtiar untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga.

Walaupun sedemikian, saya fikir kita perlu mencari jalan perdamaian antara suami dan isteri. Kita tidak tahu andai kata jodoh itu akan bersambung pada masa akan datang. Sekiranya tidak, kita perlu redha dengan ketentuan Allah SWT.

Tidak elok kita menyalahkan antara satu sama lain dan melemparkan tuduhan, lebih-lebih lagi jika tuduhan itu tidak bertepatan dengan apa yang berlaku. Semuanya akan mengundang perselisihan dan permusuhan. Kembalilah kepada prinsip asal, sesungguhnya umat Islam itu bersaudara.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dri. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.