Benarkah Rasulullah SAW Pernah Disihir?

4,874

Soalan:

Saya ada mendengar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Nabi Muhammad SAW pernah disihir. Adakah ia benar-benar berlaku? Bukankah Nabi Muhammad SAW seorang yang maksum, terpelihara daripada segala kejahatan manusia. Adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau al-Sunnah tentang perkara ini? (Saadon Muhammad, Johor Bahru, Johor)

Jawapan:

Nabi Muhammad SAW memang seorang yang maksum. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 67 yang bermaksud: “Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Jika tidak engkau melakukannya (dengan menyampaikan kesemuanya), maka bererti engkau tidaklah menyampaikan risalahmu. Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Dalam ayat di atas, perkataan maksum jelas disebut ya’simuka bermaksud memelihara kamu. Tafsir yang muktabar menerangkan bahawa tidak ada orang yang boleh membunuh baginda SAW. Ayat ini juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW bersifat maksum atau dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya dan baginda tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.

Nabi pernah disakiti sehingga kaki baginda luka dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau luka (mengalami pelbagai kesakitan) dalam Perang Uhud. Baginda SAW juga mengalami sakit kepala, demam dan sebagainya.

Semua ini bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah SWT kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, turut berasa lapar, dahaga, sakit dan sebagainya.

Merujuk kepada dakwaan Rasulullah SAW disihir, jika diteliti huraian di atas, sihir memang boleh berlaku ke atas Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim, yang diriwayatkan daripada ‘A’isyah RA yang bermaksud:

Daripada ‘A’ishah RA beliau berkata: Seorag lelaki telah melakukan sihir terhadap Rasulullah SAW daripada Bani Zuraiq, dikatakan bahawa lelaki itu ialah Labid bin al-A’sam al-Yahudi sehingga Rasulullah SAW berasa tidak keruan tentang perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sama ada sudah dilakukan atau tidak. Apabila pada satu hari / malam ketika Nabi SAW bersama-samaku tetapi baginda berdoa dan berdoa, kemudian baginda bertanya A’ishah, “Walau A’ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah SWT telah melakukan sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya, “ada dua orang laki-laki datang kepadaku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada di sisi kepalaku, seorang lagi berada di sisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, “apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad SAW ini? Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah menyihirnya? Dijawab lagi, beliau disihir oleh Labid bin al-A’sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Dharwan. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat untuk pergi ke perigi tersebut sebelum baginda sendiri pergi kemudian pulang lalu baginda bersabda: Wahai Aishah, air perigi tersebut berwarna merah seperti perahan inai dan batang pohon kurmanya berupa seperti kepala syaitan. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah engkau tidak mengeluarkannya (daripada perigi)? Nabi SAW menjawab: Allah SWT telah menyembuhkan aku maka aku bimbang (jika aku mengeluarkannya), ia akan mendatangkan keburukan kepada manusia dan aku suruh agar perigi itu ditimbus.”

Hadith sahih ini sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa musuh-musuh Islam, terutamanya Yahudi akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka.

Ulama bersepakat dengan berpandukan kepada hadith sahih ini, memang terdapat cubaan oleh golongan tertentu melakukan sihir ke atas Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memerintahkan sahabat turun ke dalam perigi mencari barang-barang sihir tersebut agar dikeluarkan dan baginda telah kembali sembuh seperti biasa.

Peristiwa ini tidak boleh disamakan dengan manusia pada zaman ini di mana seseorang yang terkena sihir akan hilang pertimbangan kewarasannya, menderita kesakitan berpanjangan sehingga mengganggu amal ibadat, malah mengganggu daripada melakukan kerja harian. Hal seperti ini tidak berlaku kepada Nabi SAW.

Nabi Muhammad SAW cuma berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada dirinya. Tiada siapa yang mengetahui keadaan sebenar baginda dan ‘A’ishah pun tidak mengetahuinya sehinggalah Nabi SAW memberitahu beliau tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-Mu’awwidhat, ayat perlindung daripada perbuatan sihir. Sekali gus ayat-ayat tersebut merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada sihir.

Seterusnya, jelas bahawa Nabi SAW apabila disihir oleh seseorang, baginda sendiri tidak mengetahui, melainkan selepas Jibrail AS memberitahu baginda telah matbub (disihirkan).

Jika Nabi SAW sendiri tidak mengetahui baginda disihirkan, bagaimanakah insan biada seperti kita boleh mengetahui sihir yang terkena kepada orang lain? Malahan ada yang lebih hebat, boleh mengetahui gerangan yang melakukan sihir tersebut. Inilah masalah yang kita hadapi. Tidak sepatutnya berlaku sedemikian kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan tidak ada seorang pun yang boleh mengetahui hal sebenarnya.

Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai kita mendakwa orang itu kena sihir atau menunding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.