Benarkah Orang Bunian Itu Wujud?
Mengenai istilah orang bunian ataupun bunian, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pernah memfilemkan perihal masyarakat bunian.
Pendapat saya, makhluk ini memang wujud dan tergolong dalam kategori makhluk halus. Makhluk ini dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan seperti manusia. Mereka turut berumah tangga, beranak pinak dan hidup bermasyarakat.
Ada yang mendakwa pernah melihat bunian dan mendakwa manusia mampu berkomunikasi dengan orang bunian sehingga boleh hidup berjiran termasuk meminjam barang-barang keperluan harian. Kesahihan cerita itu saya pulangkan kepada Allah SWT yang lebih Mengetahui.
Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadith Nabi SAW menyebut bahawa terdapat makhluk halus yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan daripada perkampungan manusia. Golongan bunian ini disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ‘Amir atau ‘Umar yang tinggal berhampiran dengan manusia.
Dalam suatu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah didapati hilang secara tiba-tiba. Keluarganya bertemu dengan Nabi SAW menceritakan perihal kehilangan Khurafah.
Tidak berapa lama selepas itu, Khurafah muncul semula dan menceritakan mengenai pengalamannya membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, dia mendapati dirinya berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.
Dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu dan mereka menuntut supaya dia dibalas bunuh. Dia dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguam bela dan sebagainya.
Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, “Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh salah seorang anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah bunuh ular, bukanlah berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya.” Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.
Apabila berita ini disampaikan kepada Nabi SAW, ramai sahabat mempertikaikannya. Nabi SAW berkata:
“Khurafah (bercakap) benar.”
Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Asal istilah khurafat itu adalah cerita benar daripada individu yang bernama Khurafah.
Saya menyebutkan kisah ini kerana saya melihat perkara yang berlaku ini mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya, mereka boleh melakukan sama seperti dalam kisah Khurafah tersebut.
Masyarakat bunian adalah satu kelompok masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh perihal orang bunian, perkara ini menjadi suatu legenda masyarakat melayu. Sehingga kini masyarakat bunian dikaitkan dengan masyarakat beragama yang melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti mendirikan masjid, surau, melaungkan azan, mengaji al-Quran dan sebagainya.
Masyarakat Melayu mengaitkan masyarakat bunian sebagai jin Islam.
Islam mengakui kewujudan jin Islam. Hal ini disebutkan dalam surah al-Jin. Surah tersebut menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk jalan yang lurus dan mereka telah beriman. Jin juga mengaku daripada kalangan mereka ada kemungkinan masyarakat bunian ini seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.
Dalam masyarakat manusia contohnya, ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat awal Islam pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, itu pun wujud golongan munafik daripada kalangan orang Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik, Islam munafik dan sebagainya.
Kesimpulannya, tidak mustihal masyarakat bunian sama seperti masyarakat manusia.
Wallahu a’lam.
Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din