Benarkah Ilmu Pelalau Boleh Menghalang Daripada Mendapat Jodoh?

3,768

Soalan:

Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang ilmu pelalau iaitu sejenis ilmu yang digunakan ke atas seseorang untuk menghalang daripada bertemu jodoh. Ilmu ini digunakan ke atas perempuan atau lelaki sehingga sukar untuk bertemu jodoh. Persoalannya:

a) Adakah ilmu ini wujud?
b) Bolehkah ilmu ini menghalang daripada bertemu jodoh?
c) Mampukah manusia melakukannya?
d) Apakah hukum mempercayai ilmu sebegini?
(Nurkhairiah Abdul Samad, Tangkak, Johor)

Jawapan:

Jodoh pertemuan, hidup mati, bertemu dan berpisah termasuk dalam qada’ dan qadar Allah SWT. Manusia hanya mampu berusaha dan bertawakal namun Allah SWT jua yang akan menentukan segala-galanya.

Memang berlaku dalam masyarakat Islam, khususnya masyarakat Melayu, seorang perempuan sukar bertemu pasangan atau jodoh yang berakhir dengan perkahwinan.

Ada juga yang bertemu, berkawan, berbaik-baik tetapi apabila sampai ke tahap ingin merumah tangga, timbul pelbagai halangan. Terdapat juga individu yang langsung tidak bertemu jodoh buat selama-lamanya.

Kejadian sebegini diistilahkan sebagai ilmu pelalau. Secara khususnya saya tidak mengetahui tentang ilmu ini, namun secara umumnya ilmu ini memang diketahui oleh masyarakat.

Sering berlaku dalam masyarakat kita, seorang perempuan yang tiada cacat cela dari segi akhlak, tubuh badannya, tetapi tiada lelaki yang ingin menghampiri dan berkenalan dengannya. Tambahan pula akhir-akhir ini bilangan orang lelaki dan perempuan yang telah lanjut usia dan tidak berkahwin semakin ramai.

Pada saya perkahwinan adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Bagi seseorang kadang-kadang rezekinya murah, dengan usaha yang sedikit tetapi mendapat pulangan yang lumayan, ada pula seseorang yang banyak berusaha namun pulangannya sedikit mahal terdapat juga orang yang banyak berusaha namun tidak mendapat apa-apa pulangan bahkan mengalami kerugian.

Kesemua yang disebutkan adalah contoh. Bagi seseorang perempuan atau lelaki yang ingin mendapatkan calon suami atau isteri, perlulah berusaha untuk mendapatkannya. Bagaimanapun usaha itu perlu bersesuaian dengan diri masing-masing.

Walaupun pada asasnya pihak perempuan hanya menanti pinangan, perlu diingat perkahwinan agung yang berlaku ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan Khadijah bt Khuwailid telah dimulakan bibitnya oleh Khadijah sendiri. Beliau menghantar utusannya Ummu Kalsum kepada Nabi Muhammad SAW dan berlakulah rundingan yang ikhlas. Seolah-olahnya Khadijah meminang Muhammad SAW, pinangan tersebut diterima lalu berlakulah perkahwinan antara keduanya.

Ini bererti, Khadijah yang memulakan usaha walaupun beliau berumur 40 tahun dan Muhammad bin Abdullah berumur 25 tahun. Jika difikirkan, barangkali sukar untuk seorang perempuan yang berusia 40 tahun bertemu jodoh dengan lelaki yang 15 tahun lebih muda daripadanya, bahkan usaha itu pula datang daripada pihak perempuan.

Inilah rezeki yang menemukan jodoh mereka, menjadikan mereka sebuah keluarga yang aman damai serta bahagia hingga ke akhir hayat Khadijah.

Pada hari ini, perempuan yang mendambakan seorang lelaki yang bertanggungjawab, dapat membahagiakannya tidak akan datang bergolek, perlu berusaha untuk mendapatkannya dengan cara yang diredhai Allah SWT. Usaha itulah yang menentukan sama ada berjaya ataupun sebaliknya.

Satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini, seorang perempuan yang cantik, kaya, berketurunan baik, berakhlak dan pegangan agamanya kuat telah dilamar oleh seorang yang sepadan dengannya tetapi lamaran tersebut ditolak. Kadang-kadang penolakan dibuat dengan kata-kata yang menyebabkan si lelaki berasa terhina ataupun ditolak dengan alasan yang disengajakan seperti tidak boleh menerima lamaran kerana ingin menyambung pelajaran atau sudah dimiliki orang lain sedangkan semuanya itu tidak benar.

Jika penolakan tersebut dilakukan secara hina, seolah-olah lelaki tadi dizalimi, mungkin lelaki itu berdoa agar Allah SWT bertindak balas terhadap penghinaan yang dilakukan. Kemungkinan besar doa itu dimakbulkan kerana doa orang yang dizalimi itu amat makbul.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abi Ma’bad RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Takutlah kamu kepada doa orang kena zalim, kerana doa orang yang kena zalim itu tiada sekatan antaranya dengan Allah SWT.”

Berkenaan dengan pelalau, perkara ini mungkin wujud dalam bentuk sihir. Perkara yang berkaitan dengan persoalan sihir telah saya jawab dalam siri-siri terdahulu.

Ada yang disebut sebagai sihi pengasih al-Tiwalah, ada juga disebut sihir pembenci yang hampir kepada pelalau.

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menceritakan ada perbuatan sihir yang dilakukan untuk memisahkan antara suami dengan isteri. Sekiranya tidak berlaku perpecahan dan perceraian, akan berlaku benci-membenci antara suami isteri.

Jika sihir pembenci ini berlaku, ia akan menyebabkan orang yang terkena sihir tersebut membenci seseorang tanpa sebab. Inilah yang dinamakan pelalau.

Sama ada aqidah kita akan rosak atau tidak, ia bergantung kepada pegangan kita. Sekiranya diri kita kuat berpegang kepada aqidah maka kita akan meyakini bahawa apa sahaja yang berlaku itu adalah takdir dan kehendak Allah Yang Maha Mengehendaki.

Jika Allah SWT mengehendaki seseorang itu tidak bertemu jodoh atau hanya mendapat jodoh pada usia yang lewat, maka itulah kehendak Allah SWT, bukan disebabkan usaha manusia.

Jangan menganggap usaha manusia itu menghalang rezeki seseorang walhal rezeki dan jodoh adalah di tangan Allah SWT, bukan manusia yang menentukannya.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.