Benarkah Amalan Kita Selama 40 Hari Ditolak Sekiranya Mempercayai Tukang Tilik & Bomoh?

2,741

Soalan :

Saya ingin meminta pandangan ustaz tentang amalan perbomohan Melayu yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah SWT serta amalan sihir yang berterusan. Adakah pihak berkuasa tidak mengetahui hal ini dan mengapakah tidak ada tindakan yang berkesan daripada pihak tersebut untuk mengatasinya? (Rashidi Ismail, Kuala Terengganu)

Jawapan :

Soalan dan kenyataan saudara mengenai perkara tersebut memang ada kebenarannya. Amalan-amalan yang berkaitan rapat dengan sihir dan perkara ini memang diakui masyarakat dan orang ramai.

Sebagai orang awam, saudara dan saya memang mengetahui kewujudan perkara ini. Sekiranya orang awam mengetahuinya, sudah tentu pihak berkuasa lebih mengetahui perkara ini.

Dalam hal ini, tidak perlu dilakukan penyiasatan yang rumit kerana mereka melakukan amalan perbomohan secara terbuka. Perbomohan memang amalan terbuka. sesiapapun boleh melihat dan boleh mendapatkan khidmat bomoh.

Dalam amalan ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan, melainkan setelah menerima laporan daripada pihak yang menjadi mangsa perbomohan. Sebagai contoh, apabila berlaku kes bomoh memperkosa pesakit, melakukan kerja yang tidak senonoh, menipu pelanggan serta melakukan sesuatu yang di luar tabii, barulah pihak berkuasa akan mengambil tindakan.

Namun gejala syirik yang berlaku dalam dunia perbomohan tidak pernah ada peruntukan undang-undang untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas orang yang melakukan sihir dan syirik kepada Allah SWT.

Saya ingin merujuk kepada sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Safiyyah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendatangi seorang ‘arraf, dan bertanya tentang sesuatu, maka tidak diterima amalannya selama 40 hari.”

‘Arraf bermaksud orang yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib, atau dalam erti kata lain digelar sebagai tukang tilik. Apabila seseorang mempunyai masalah, dia akan berjumpa dengan tukang tilik lalu tukang tilik tersebut memberitahu perkara ghaib yang kononnya dia mengetahuinya.

Perbuatan ‘Arraf ini dilarang oleh Allah SWT kerana tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT sahaja.

Nabi SAW pernah terkena sihir namun baginda tidak mengetahuinya. Jibrail AS telah memberitahu yang baginda telah disihir oleh Labid bin al-A’sam. Jika Nabi SAW tidak mengetahui perkara ghaib, seperti sihir yang berlaku ke atasnya, mana mungkin orang biasa boleh mengetahuinya.

Janganlah sesekali kita berjumpa dengan orang sedemikian. Jika kita pergi juga, akibatnya Allah tidak akan menerima amalan kita selama 40 hari. Sekiranya kita mendatangi tukang tilik dengan tujuan untuk seronok-seronok sahaja dan tidak percaya kepadanya, amalan kita tetap tidak diterima selama 40 hari.

Seseorang yang mempercayai apa yang disebut oleh ‘arraf telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Banyak hadith yang menyebut tentang perkara ini. Terdapat hadith menyebut istilah seperti Kaahin, Sahir atau Munajjim. Semua gelaran itu merujuk kepada orang yang membawa perkara buruk serta mengundang dosa besar dan syirik.

Individu seperti saya hanya mampu menyedarkan masyarakat melalui mesej-mesej dakwah dengan menyatakan bahawa perbuatan sedemikian amat merugikan serta tidak mendapat habuan di akhirat bahkan disediakan azab api neraka.

Berkaitan dengan soala saudara, saya mengesyorkan pihak berwajib mengambil tindakan yang bersesuaian dan konsisten untuk menangani perkara ini agar dapat dikurangkan dan dibasmi sepenuhnya untuk menjaga kejernihan aqidah umat Islam.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.