Bagaimanakah Cara Menghindarkan Diri Daripada Sihir?

8,899

Soalan:

Bagaimanakah cara untuk menghindarkan diri daripada perbuatan sihir? (Muhammad Khalid Johari, Simpang Empat, Kedah)

Jawapan:

Menghindarkan diri daripada sesuatu yang tidak diingini diistilahkan sebagai al-Wiqayah. Al-Wiqayah adalah suatu yang dituntut dalam Islam, seperti yang selalu diungkapkan oleh kata-kata hikmah iaitu “menjaga diri sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti penyakit, adalah lebih baik daripada mengubati penyakit”.

Islam menyarankan pelbagai cara kepada manusia untuk menghindarkan diri daripada terkena perbuatan sihir. Dalam al-Quran, terdapat surah tertentu yang sering dibaca oleh masyarakat kita sebagai ayat pelindung. Surah ini dikenali dengan istilah al-Mu’awwidhat ataupun tiga surah terakhir daripada al-Quran iaitu surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas.

Kita dianjurkan mengamalkannya sebagai satu ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir. Di samping itu, banyak lagi ayat-ayat lain yang boleh diamalkan seperti ayat Kursi.

Kita hendaklah sentiasa mendampingi Allah SWT, menghias diri dengan melakukan amal kebajikan serta menghindar diri daripada melakukan maksiat. Ikhtiar sebegini adalah cara terbaik untuk menghindarkan diri daripada syaitan, sihir dan niat jahat manusia.

Al-Wiqayah merupakan cara yang paling berkesan untuk mengelakkan diri daripada sihir. Jangan mendekati suatu perkara yang boleh menyebabkan diri terkena sihir kerana jika sudah terkena, sukar untuk menghilangkannya. Semakin lama penyakit tersebut dalam diri manusia, semakin sukar untuk dirawat.

Petikan daripada buku “Menjawap Persoalan Makhluk Halus” oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.