Apakah Santau? Benarkah Ia Dibuat Untuk Menganiaya Orang?

1,657

Soalan:

Masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan santau. Apakah maksud Penyakit santau? Adakah santau wujud di alam nyata? Benarkah santau boleh dibuat untuk dijual dan dikenakan kepada orang lain? (Masroh Hamdan. Padang Rengas, Perak)

Jawapan:

Santau adalah suatu istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu khususnya di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu memang wujud.

Kebiasaannya penyakit itu dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit seperti batuk berpanjangan dalam tempoh berbulan-bulan, kadang-kadang bertahun batuk tetap tidak hilang walaupun setelah makan pelbagai ubat.

Kesan santau juga seperti batu berdarah, hilang selera makan, badan menjadi kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, do sekeliling mata kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada waktu petang, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Walaupun berlaku penyakit sedemikian, tidak semestinya ia disebabkan santau. Kadang-kadang ia disebabkan masalah fizikal yang lain seperti penyakit paru-paru berair, tonsil kronik, sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Pesakit jenis ini biasanya akan sembuh dengan menggunakan khidmat doktor pakar. Sekiranya penyakit tersebut tidak sembuh, barulah beralih kepada rawatan alternatif. Salah satu rawatan alternatif yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan bomoh akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena santau.

Bomoh akan memberitahu individu tersebut bahawa ada orang memberi makan sesuatu, ataupun memakan ramuan yang terdapat santau di dalamnya.

Apakah santau? Saya sendiri tidak dapat mengenalinya secara tepat. Cuma hasil daripada maklumat atau percakapan orang ramai, kononnya santau diperbuat daripada bahan yang amat berbisa. Dikatakan santau diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (beragan), dicampurkan juga dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampurkan juga dengan kaca halus daripada bal lampu kalimantang yang ditumbuk halus.

Setelah melalui proses adunan dan dikeringkan, ia dijadikan serbuk untuk diletakkan ke dalam makanan atau minuman. Namun ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkannya santau yang sebenar ataupun tidak.

Sekiranya ada yang membuat santau, sudah tentu dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang lain.

Adakah wujud orang yang sanggup membuatnya dengan tujuan menganiayai orang lain semata-mata dengan sedikit bayaran dunia? Tidakkah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Pada zaman ini, manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, mendera keluarga dan rakan seta melakukan pelbagai kemusnahan. Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan.

Oleh itu, santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Namun yang penting, santau mempunyai tanda-tanda penyakit yang jelas iaitu orang yang disantau akan mengalami sakit. Setiap penyakit ada penawarnya.

Berubatlah dengan cara yang betul. Apabila Allah SWT membuka ruang kesembuhan dan bertepatan dengan penawarnya, penyakit itu akan sembuh.

Berdoalah kepada Allah SWT agar kita terselamat daripada sifat hasad dengki manusia.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.