Apakah Hukuman Terhadap Pengamal Ilmu Sihir?

5,481

Soalan:

Saya ingin memohon penjelasan Ustaz. Adakah benar pandangan yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan sihir itu halal darahnya untuk dibunuh setelah sabit dirinya sebagai seorang ahli sihir? Bagaimanakah hendak membuktikan seorang itu ahli sihir? (Razali Abdullah, Johor Bahru, Johor)

Jawapan:

Perbuatan sihir termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. Perkara yang paling utama sekali ialah syirik kepada Allah SWT.

Sihir dilarang sekeras-kerasnya oleh Islam. Apabila sihir menjadi suatu kesalahan besar, maka Islam telah meletakkan hukuman yang berat selaras dengan kejahatan yang dilakukan. Nabi Muhammad SAW pernah menyebut dalam sebuah hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi daripada Jundub RA yang bermaksud:

“Had (hukuman) kepada tukang sihir ialah dibunuh dengan pedang.”

Namun ini bukan bermakna siapa sahaja yang dikenali sebagai ahli sihir atau diketahui mengamalkan sihir atau mengaku sebagai ahli sihir, terus dihalalkan darahnya dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Ia mestilah dilakukan dengan cara tertentu yang dibenarkan oleh undang-undang seperti ahli sihir itu perlu ditangkap, dibicarakan, disabitkan. Jika telah disabit dan memang pasti dia melakukan sihir, dia diminta berhentu daripada melakukan amalan tersebut dan bertaubat nasuha.

Sekiranya enggan, barulah hukuman bunuh dijatuhkan oleh mahkamah yang berautoriti. Terdapat pandangan kedua di kalangan ulama yang mengatakan, jika sabit seorang itu mengamalkan sihir, maka dia hendaklah terus dibunuh sama ada bertaubat atau tidak.

Walau apapun pandangan ulama, orang yang mengamalkan sihir tetap melakukan kesalahan yang amat besar dan melibatkan kerosakan aqidah. Perbuatannya menyebabkan orang yang disihir mengalami malapetaka dan kesengsaraan yang berpanjangan.

Dengan sebab itu ahli sihir dihalalkan darahnya, boleh dibunuh tetapi setelah memenuhi segala proses kehakiman yang sewajarnya.

Untuk membuktikan seseorang itu ahli sihir, saya ingin merujuk kepada suatu peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Pada suatu ketika, khalifah telah pergi melihat perniagaan di pasar-pasar dan berinteraksi dengan masyarakat. Khalifah Hisham mendapati orang ramai berkumpul mengerumuni suatu tempat menjual barangan yang didahului dengan pertunjukan sihir.

Khalifah sendiri melihat ahli sihir yang menunjukkan kebolehannya dengan memasukkan dirinya (ahli sihir) ke dalam keldai dari arah mulut. Lalu ahli sihir itu hilang dari pandangan orang dan yang tinggal hanya keldai. Tidak lama selepas itu, ahli sihir tersebut keluar dari arah belakang keldai dan kembali seperti biasa. Orang ramai terpegun dengan kehebatan ahli sihir itu.

Khalifah memerintahkan supaya ahli sihir itu ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Ahli sihir itu telah didakwa melakukan sihir dengan beberapa orang saksi. Akhirnya ahli sihir itu dihukum bunuh.

Peristiwa ini menunjukkan seseorang itu boleh dibuktikan sebagai ahli sihir, dengan melihatnya melakukan perbuatan ganjil dan mencarik adat.

Perbuatan sihir juga boleh dibuktikan dengan mencari peralatan yang digunakan untuk melakukan sihir. Sebagai contoh, ahli sihir pada zaman Nabi Musa AS menggunakan tali hingga orang ramai melihat tali itu menjadi ular. Ada juga ahli sihir yang menggunakan tali sebesar lengan, lalu diarahkan tali naik ke udara dan dia boleh memanjat tali itu sedangkan orang ramai tidak boleh melihat di mana tali itu bergantung.

Ada pula amalan sihir yang menyembelih anaknya sehingga putus kepala dan darah tersembuh namun dapat mencantumkan semula kepala anaknya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Manakala ada yang menggunakan bahan-bahan rawatan seperti tengkorak kepala yang dipuja, kain kuning, kain putih, kain merah, kain hitam, benang merah, limau, keris-keris lama, tulang-tulang manusia dan sebagainya sebagai alat untuk melakukan sihir. Jika ini dapat dibuktikan, dipegang dan dilihat, sabitlah seorang itu ahli sihir.

Merujuk kepada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyimpulkan ikatan (benang) dan meniupkan (menjampi manterakan untuk sesuatu tujuan jahat), maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir.”

Banyak lagi bukti-bukti lain yang menunjukkan tentang amalan-amalan tersebut dan sememangnya amalan seperti itu dapat ketahui dan dibuktikan.

Petikan daripada buku “Manjawab Persoalan Makhluk Halus” oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.