Adakah Benda-benda Pelik Yang Ditabur Di Pejabat Itu Kerja Sihir?

2,295

Soalan :

Saya ingin mendapatkan pandangan Ustaz mengenai perkara berikut: Di pejabat kami, sering kali berlaku kekecohan kerana didapati benda-benda pelik ditaburkan di pintu masuk bilik majikan kami, seperti kemenyan, beras kunyit, kain berwarna-warni, telur, daging mentah dan bangkai burung gagak hitam bersepah sehingga ke dalam bilik majikan kami. Bolehkan Ustaz terangkan tentang maksud kerja-kerja sebegini dan apakah cara yang sesuai untuk mengatasinya? (Rakibah Alang, Ipoh, Perak)

Jawapan :

Meletakkan benda-benda yang pelik di hadapan rumah, kedai, warung, tempat-tempat makan, di pejabat dan sebagainya memang sering berlaku dalam masyarakat kita. Masyarakat Melayu mempunyai kefahaman yang menebal bahawa wujudnya kerja halus yang telah dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk menyampaikan maksud jahat, perasaan tidak puas hati dengan seorang ketua atau teman sekerja. Secara tidak langsung mereka akan berfikir bahawa perbuatan ini dilakukan untuk menukarkan seseorang yang tidak disukai ke tempat lain atau mempunyai tujuan tertentu.

Seperti perkara yang disebutkan oleh saudari, sememangnya perbuatan tersebut mirip kepada pekerjaan sihir tetapi persoalannya adakah setiap kali kita terjumpa dengan perkara tersebut lantas kita mengaitkan dengan sihir, atau adakah kita terfikir mungkin perbuatan itu suatu perang psikologi?

Kemungkinan juga bertujuan menakutkan seseorang, atau membuatkan orang yang ‘dibuat’ itu meletakkan jawatannya. Kemungkinan juga ia hanya perbuatan nakal, gurauan atau perbuatan suka-suka tanpa wujudnya mainan sihir.

Jika diandaikan bahawa perbuatan itu sihir, saya rasa anggapan tersebut tersasar. Sihir merupakan perbuatan tersembunyi dan tidak dapat dilihat. Kebiasaannya kerja sihir dilakukan di tempat gelap dan bahan-bahan sihir kebiasaannya disembunyikan.

Bahan-bahan sihir ditanam atau dimasukkan ke dalam konkrik, disangkutkan di atas bumbung atau di siling rumah agar tidak dapat dilihat oleh orang ramai. Perbuatan sihir dilakukan dengan jampi mantera dan berkaitan dengan makhluk halus sebagai perantara untuk menyampaikan maksud jahat mereka. Sihir merupakan suatu perbuatan yang tidak diketahui, tersembunyi dan berlaku secara tiba-tiba di alam nyata.

Benda-benda yang dapat dilihat dengan mata kepala seperti yang saudari sebutkan itu sudah tentu bukan sihir malah hanya perbuatan nakal untuk melemahkan psikologi orang yang berkenaan. Saya menasihatkan saudari agar tidak menghebohkan perkara sebegini kerana ia bukannya sihir.

Cara untuk mengatasi perkara seperti ini ialah :

Pertama, kita perlu mengatasinya dengan menyebarkan ajaran Islam yang sebenar. Perbuatan berasosiasi dengan amalan sihir suatu dosa besar, boleh mengundang kecelakaan di dunia hingga ke akhirat.

Kedua, menyeru manusia agar bertanggungjawab ke atas setiap amalan mereka. Sekiranya amalan jahat dilakukan terhadap orang lain, mungkin hal yang sama akan berlaku ke atas dirinya pula. Kerja buruk seperti ini hendaklah dihentikan dengan serta-merta.

Ketiga, atasilah masalah yang berlaku dalam kehidupan kita secara profesional dengan tidak melibatkan kerja-kerja yang boleh membawa kepada kekecohan atau buruk sangka sesama rakan sekerja.

Keempat, menjadikan Islam itu sebagai panduan dan pegangan. Perkara yang melanggar hukum Islam wajib dijauhi, khususnya perkara syirik dan perkara yang boleh membawa fitnah dalam masyarakat.

Kelima, fitnah-memfitnah mengundang padah. Buruk sangka sesama rakan sepejabat boleh mengundang kecelaruan dan menjadikan kehidupan tidak tenteram.

Dalam hal ini, kita hendaklah melakukan amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya terhindar daripada kecelakaan sihir dan sebagainya.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.