Benarkah Ilmu Pengasih dan Pembenci itu Wujud?

1,988

Soalan :

Bolehkah kita mempercayai ilmu pengasih atau ilmu pembenci yang boleh didapati daripada pembuatnya dengan harga ribuan ringgit untuk tujuan pengasih ataupun pembenci. Apakah pandangan syarak tentang kes sebegini yang dikatakan sering berlaku dalam masyarakat kita? (Farah Wahida Isa, Pasir Puteh, Kelantan)

Jawapan :

Ilmu pengasih atau ilmu pembenci merujuk kepada ilmu dan pengetahuan. Meskipun manusia diwajibkan mempelajari ilmu, namun terdapat ilmu yang dilarang keras oleh syarak untuk kita mempelajarinya. Berkaitan ilmu pengasih atau ilmu pembenci, saya lebih cenderung untuk mengklasifikasikannya dalam kelompok ilmu sihir.

Melakukan suatu ikhtiar dengan berdoa ke hadrat Allah SWT atau untuk memperbaiki diri, meningkatkan penampilan diri, menjaga tutur kata dan akhlak mulia boleh menjadi penyebab seseorang itu dikasihi. Perkara sebegini memang dibenarkan kerana merupakan usaha untuk menaikkan prestasi diri sehingga dikasihi.

Tetapi beriktiar dengan menggunakan sesuatu ilmu seperti ilmu pengasih adalah dilarang. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Imam Abu Daud dalam sunannya, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya jampi mantera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik.”

Ibnu Mas’ud ketika menghurai makna perkataan al-Tiwalah mengatakan; “Ada sesetengah perempuan atau lelaki menggunakan sejenis tangkal atau seumpamanya, dipakai pada dirinya dengan tujuan menambat atau menyebabkan dirinya lebih dicintai oleh orang lain, maka perbuatan itu adalah sejenis sihir.”

Ini bermaksud bahawa Ibnu Mas’ud mengganggap ilmu pengasih dengan ikhtiar yang sedemikian tadi sebagai al-Tiwalah adalah perbuatan syirik.

Beliau juga ada menyebut “bahawa hukum jampi mantera dan tangkal-tangkal seperti benang-benang dan simpulan padanya yang dijampi khusus untuk dipakai oleh perempuan atau lelaki dengan tujuan dirinya dicintai, yang disebut sebagai ilmu pengasih adalah termasuk dalam al-Tiwalah.”

Oleh itu, ilmu pengasih yang digunakan untuk dipakai atau kadang-kala diberi makan dengan menggunakan bahan sihir yang kotor adalah ditegah keras oleh Islam.

Demikian juga orang yang menggunakan kaedah yang sama untuk memisahkan sesuatu pasangan atau dua orang yang berkasih kerana Allah SWT ataupun antara suami isteri yang hidup aman damai dengan menggunakan cara halus iaitu sihir. Ilmu pembenci ini jelas ditegah oleh Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Maksudnya: “Mereka mengikut ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir dan apa sahaja yang diturunkan kepada dua malaikat; Harut dan Marut, di negeri Babi (Babylon), sedangkan mereka berdua tidak mengajar seorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji iman mu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu, ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua; ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isteri, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (ataupun membahayakan) dengan sihir itu seorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”

Saya telah merujuk Tafsir al-Qurtubi dalam tafsiran petikan ayat ini menjelaskan bahawa “Tidak boleh dinafikan bahawa sihir mempunyai kesan pada hati-hati manusia dengan memaksakan kasih kepada mereka atau menjatuhkan kebencian yang melampau sehingga jika mereka bersuami isteri, pembenci itu boleh menyebabkan perceraian.”

Perbuatan makhluk halus ini juga boleh membolak-balikkan hati manusia, perasaan risau tidak menentu, sakit hati, menyampah tidak tentu pasal sehingga membawa kepada kemurungan. Semua yang tersebut di atas dapat dilihat dengan nyata dalam kehidupan seharian. Pada pandangan saya, angkara jahat ini sememangnya boleh berlaku, memang ada orang yang benar-benar berkemampuan melakukan ilmu yang salah ini namun ia hanya boleh berlaku sekiranya diizinkan oleh Allah SWT.

Ada pula sebahagian individu yang tidak mempunyai kebolehan tetapi sengaja melakukan perbuatan ini kononnya pandai ilmu pengasih, sebaliknya memperdayakan mangsa untuk tujuan mendapatkan keuntungan. Perkara sebegini memang berlaku, ramai yang menjadi mangsa, habis wang simpanan namun hajat tidak kesampaian.

Namun demikian, sama ada perbuatan ini sungguh-sungguh menjadi kerana kepakaran individu tertentu atau dibuat tetapi tidak menjadi, kesemua perbuatan itu adalah termasuk dalam perkara sihir yang ditegah oleh syarak. Sebaik-baiknya dielakkan dan dijauhi.

Petikan daripada buku Menjawap Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.