Terapi Sihir (bahagian 2)

TERAPI DENGAN DOA

Ada beberapa doa yang biasa diucapkan oleh Rasulullah SAW. Dengan izin Allah SWT, doa-doa ini akan bermanfaat untuk terapi sihir. Rasulullah SAW meruqyah para sahabat baginda dengan doa-doa tersebut.

a) Dari Abu Sa’id Al-Khudhri RA bahawa Jibrail AS datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Muhammad, kamu sakit?” Nabi SAW menjawab: “Ya.” Kemudian Jibrail AS mengucapkan:

“Dengan Nama Allah aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang menyakitimu, dari kejahatan setiap orang, atau mata yang dengki, semoga Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.” (HR. Muslim)

b) Dari Abu Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa di antara kamu mengeluhkan sakit atau saudaranya mengeluhkan sakit kepadanya, maka dia hendaklah berdoa:

“(Wahai Rabb kami, Allah yang di langit, Maha Suci nama-Mu, perintah-Mu di langit dan di bumi, sebagaimana kasih sayang-Mu di langit, jadikanlah kasih sayang-Mu di bumi, ampunilah untuk kami dosa dan kesalahan kami, Engkau adalah Pemelihara orang-orang baik, turunkanlah kasih sayang-Mu dan ubat-Mu ke atas penyakit ini). Maka dia akan sembuh.” (HR. Abu Daud)

c) Dari Aisyah RA bahawasanya Rasulullah SAW pernah meruqyah dan berdoa:

“Hapuskanlah penyakit, wahai Pemelihara manusia, di tangan-Mu ubat penyembuh, tiada yang boleh menyingkapkan penyakit kecuali Engkau.” (HR. Al-Bukhari)

d) Salah satu doa Nabi Muhammad SAW ialah:

“Wahai Allah, Engkau adalah Pemelihara-ku, tiada sembahan kecuali Engkau, kepada-Mu aku bertawakal, dan Engkau adalah Pemelihara Arasy yang agung. Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi dan apa yang Dia yidak kehendaki tidak akan terjadi. Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah, bahawa Allah Maha Kuasa ke atas segala sesuatu. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan diriku, kejahatan syaitan dan sekutunya, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan segala makhluk melata yang Engkau memegang jambulnya, sesungguhnya Pemeliharaku dia atas jalan yang lurus.”

TERAPI DENGAN MINUM SANA

Sana (cassia angustifolia) ialah sejenis herba. Daun sana dididihkan bersama air di atas api, lalu disaring dan diberi pemanis, kemudian penderita disuruh meminumnya sebanyak tiga gelas sebelum makan. Setelah minum ramuan ini, penderita akan mengalami cirit-birit. Minuman Sana digunakan untuk orang terkena sihir yang berbentuk makanan dan minuman. Dengan terjadinya cirit-birit atau buang air besar, maka keluarlah benda sihir itu dari dalam tubuh penderita sehingga dia pun sembuh dengan izin Allah SWT.

TERAPI DENGAN BEKAM

Terapi dengan bekam adalah mengeluarkan sihir yang masuk sampai ke darah orang yang terkena sihir, dengan cara membuat sayatan kecil pada kepala atau titik lain yang dikenali oleh amalan bekam. Sebaiknya amalan ini dilakukan dengan pengetahuan doktor.

a) Dari Jabir bin Abdullah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda:

“Jika ada ubat yang baik bagi kamu atau sesuatu yang baik untuk kamu jadikan ubat, maka itu terjadi pada sayatan bekam, atau minum madu, atau pembakaran dengan api (kay) yang tepat pada penyakitnya, akan tetapi aku tidak suka melakukan kay.”

b) Dari Ibnu Abbas RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Pengubatan itu pada tiga perkara: minum madu, sayatan bekam, dan kay (sundutan) api, tetapi aku melarang umatku dari kay.”

Ibny Qayyim berkata: “Bekam pada lokasi yang terkena pengaruh sihir merupakan terapi yang paling bermanfaat apabila dilakukan berdasarkan kaedah yang tepat.”

UBAT ILLAHI TERHADAP SIHIR

Ibnu Qayyim berkata: “Salah satu terapi yang bermanfaat terhadap sihir ialah ubat yang berasal dari Allah SWT, bahkan ubat tersebut merupakan ubat sihir yang paling bermanfaat. Disebabkan sihir termasuk pengaruh roh-roh jahat yang hina, maka menepis pengaruhnya itu harus dilakukan dengan sesuatu yang boleh menentang dan melawannya, iaitu berupa zikir-zikir, ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang menghilangkan pengaruhnya. Setiap kali sihir itu semakin kuat dan dahsyat, maka semakin maksima pula usaha untuk melakukan ruqyah.

Apabila hati dipenuhi dengan zikir kepada Allah SWT, pendekatan diri kepada-Nya, doa, zikir dan permohonan perlindungan kepada-Nya, maka serangan dari luar tidak akan dapat memasukinya. Ketika hati dan lisannya berjalan selaras harmoni, maka ini merupakan sebab utama yang mencegah serangan sihir terhadap dirinya, sekaligus menjadi terapi paling besar baginya ketika sihir berjaya menyerangnya.

Sihir yang berasal dari para tukang sihir hanya akan memberi kesan pada hati yang lemah dan jiwa yang lalai, yang bergantung kepada perkara-perkara yang rendah. Oleh kerana itu, kebanyakkan yang terkena sihir adalah kaum wanita, kanak-kanak, orang-orang yang bodoh, orang-orang dusun, orang-orang yang lemah kualiti agamanya, tawakalnya dan tauhidnya, serta orang yang tidak pernah melazimi wirid Illahi, doa-doa dan permohonan perlindungan sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ringkasnya, kekuasaan pengaruh sihir adalah pada hati yang lemah lagi mudah terpengaruh, yang kecenderungannya kepada urusan-urusan yang rendah lagi hina.

Ramai orang berkata: “Orang yang terkena sihir itulah yang boleh menolong dirinya sendiri.” Akan tetapi, kita dapati hati orang yang terkena sihir itu menyukai perkara-perkara yang menyimpang, sehingga hatinya dikuasai oleh kecenderungan dan penyimpanannya,

Roh-roh jahat (syaitan) itu hanya menguasai roh manusia yang bersedia dikuasai kerana kecenderungannya sesuai dengan yang disukai oleh roh-roh jahat itu, juga kerana kekosongan hatinya dari kekuatan Ilahi dan tiadanya persiapan untuk menghadapi pertempuran melawan sihir. Kita dapati orang seperti ini hatinya kosong tidak memiliki persiapan. Di dalam dirinya juga ada kecenderungan kepada sesuatu yang sesuai dengan keinginan roh-roh jahat, sehingga mereka pun boleh menguasainya dan mengukuhkan pengaruhnya di dalam diri orang itu dengan sihir dan yang lain.” Wallahu’alam.

Terapi Sihir