Tempat Syaitan di Dalam Diri Manusia

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan mengalir (menggoda) di dalam diri manusia mengikuti aliran darah.”

Pada riwayat yang lain dikatakan:

“Sesungguhnya syaitan merasuk ke dalam tubuh keturunan Adam seperti aliran darahnya.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Ada yang berpendapat bahawa pengertian hadis ini sebagaimana yang dimaknai secara lahiriah. Allah SWT membuat syaitan mampu untuk melakukan hal tersebut. Ada pula yang berpendapat bahawa ini hanya kiasan kerana kekerapan godaan dan rayuan yang dilancarkan syaitan. Seakan-akan, syaitan tidak pernah berpisah dengannya seperti perihal darah. Ertinya, antara syaitan dan darah yang ada pada manusia terdapat persamaan yang kuat.”

Abdullah bin Abbas RA berkata, “Syaitan bertenggek di hati setiap manusia. Apabila dia lupa dan lalai, syaitan akan menggodanya. Dan apabila dia berdoa kepada Allah, syaitan akan bersembunyi.”

Jelaslah di sini bahawa syaitan mampu untuk merasuk ke dalam tubuh manusia. Oleh itu, dia memilih hati sebagai tempat baginya berlabuh. Panglima syaitan duduknya di hati manakala bala tenteranya bertempat di anggota tubuh yang lainnya. Apabila syaitan telah menguasai hati, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk dan patuh.

Oleh itu Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Ingatlah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, apabila dia baik, nescaya seluruh tubuhnya akan baik. Apabila dia rosak, nescaya seluruh tubuhnya akan rosak. Ingatlah segumpal daging itu ialah hati.”

Namun begitu di sana terdapat hati-hati yang diliputi pagar keimanan dan benteng ketakwaan. Dia sentiasa dikawal oleh zikir. Syaitan tidak mampu memasukinya kecuali secara sembunyi-sembunyi. Apabila syaitan memasukinya, para pengawal (zikir) akan mengusirnya ke luar benteng dalam keadaan terhina dan terkapar.

Kehidupan Jin