Tahap Godaan dan Pujukan Syaitan

Syaitan sentiasa mengintai dan mengikuti perlakuan manusia. Jeritannya tidak akan berhenti sampai dia berhasil menggoda, menjerumuskan manusia kepada golongan yang rugi.

Ibnul Qayyim menyebutkan beberapa tahap godaan dan pujukan syaitan terhadap manusia iaitu:

  1. Tahap Pertama:

Tahap pertama ialah kekafiran, syirik dan memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya. Apabila syaitan berhasil menjerumuskan manusia ke lembah nista ini, baru jeritannya akan berhenti dan para pengikutnya juga beristirahat. Hal ini yang pertama diinginkan syaitan daripada manusia.

Dia sentiasa akan menggoda dan menjerumuskannya ke lembah ini sehingga berhasil. Apabila dia telah berhasil menjerumuskannya, dia akan mengangkatnya sebagai tentera dan pasukan perangnya, lalu memintanya untuk melakukan seperti  yang telah dia lakukan. Maka orang itupun menjadi pendakwah dan wakil iblis.

  • Tahap Kedua:

Perbuatan bidaah. Perbuatan bidaah lebih disukai syaitan berbandingan dengan kefasikan dan kemaksiatan. Hal ini adalah kerana bahayanya akan menimpa agama. Perbuatan ini merupakan dosa yang tidak disedari oleh pelakunya, padahal dia bertentangan dengan dakwah Rasulullah SAW serta menjadi seruan kepada ajaran yang bertentangan dengan apa yang dibawa Rasulullah SAW.

Bidaah merupakan pintu pembuka menuju kesyirikan dan kekafiran. Apabila syaitan berhasil memasukkan bidaah pada seorang hamba dan menjadikannya sebagai pelakunya, oleh itu orang tersebut akan menjadi wakil syaitan dan salah satu penyerunya

Apabila syaitan gagal melancarkan godaan dengan cara ini dan digodanya ialah seorang yang mempunyai kurnia dan panduan memusuhi ahli bidaah, dia akan beralih kepada tahap berikutnya.

  • Tahap Ketiga:

Tahap ketiga ialah dosa besar dengan berbagai-bagai jenisnya. Syaitan begitu suka menjerumuskannya seseorang ke dalamnya. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat. Syaitan akan sangat bersemangat untuk menjerumuskannya orang ini agar manusia meninggalkannya. Kemudian, ia menyebarkan kemaksiatan dan dosanya di tengah-tengah manusia.

Syaitan akan memilih antara mereka untuk dijadikan alat dalam menyebarkan dan menyerukan kemaksiatan. Sementara orang itu menganggap apa yang dia lakukan merupakan langkah mendekatkan diri kepada Allah. Namun tanpa dia sedar dan tahu dia merupakan wakil kepada syaitan.

“Sesungguhnya orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Nur: 19)

Sekadar suka agar perbuatan keji tersebar sudah diancam dengan azab yang pedih. Lalu, bagaimana jadinya dengan mereka yang menyebarkan dan menyiarkannya secara langsung?

Tentunya, hal ini bukan nasihat bagi mereka yang bermaksiat, tetapi justeru merupakan ketaatan kepada iblis dan kerelaan diri menjadi penolongnya.

Semua itu dilakukan syaitan  supaya orang-orang menjauhi para ulama dan tidak mengambil manfaat dari ilmunya. Dosa orang seperti ini (ulama), meskipun begitu banyak hingga menjulang ke langit, masih lebih ringan di sisi Allah SWT. Hal ini adalah kerana kalau dia bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya dan mengganti semua keburukannya dengan kebaikan.

Namun dosa bagi orang-orang yang menyebarkan kekejian dan aib orang lain merupakan kezaliman terhadap orang-orang beriman, penodaan aurat dan menunjukkan aib mereka.

Allah SWT sebagai tempat kembali. Segala yang tersimpan di dalam hati dan setiap desahan nafas tidak akan tersembunyi daripada-Nya.

Apabila tidak berhasil melancarkan aksinya pada tahap ini, maka syaitan akan beralih kepada tahap yang seterusnya.

  • Tahap Keempat

Dosa-dosa kecil merupakan tahap yang keempat. Dosa-dosa yang kecil ini jika dikumpul boleh membinasakan pelakunya. Saya katakan, “Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jauhilah dosa-dosa kecil. Hal ini adalah kerana perumpamaan orang-orang yang meremehkan dosa-dosa kecil umpama suatu kaum yang turun pada lembah suatu bukit, yang satu datang membawa kayu dan yang satu lagi membawa kayu yang lain, hingga mereka membawa kayu yang dapat memasak roti mereka. Sesungguhnya dosa-dosa kecil, jika dilakukan terus-menerus oleh pelakunya, nescaya akan membinasakannya.” (Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, sanadnya hasan)

Ad-Darimi  dan Ibnu Majah meriwayatkan dari Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya:

“Wahai Aisyah, janganlah kamu meremehkan amalan-amalan kebaikan kerana ada malaikat yang sedia mencatat amalan-amalan tersebut.”

Dalam kitab Az-Zuhd riwayat Ibnu Musa, daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA dia berkata, “Sesungguhnya ada seseorang yang melakukan suatu amal kebaikan, lalu merasa yakin dengan perbuatannya dan melupakan dosa-dosa kecil. Kemudian dia berjumpa dengan Allah (wafat) padahal dia telah dikuasai oleh dosa-dosa kecil. Di samping itu ada seseorang yang melakukan suatu kejahatan, tetapi dia sangat takut dan terseksa kerananya sehingga dia berjumpa dengan Allah dalam keadaan selamat dan aman.”

Ibnu Qayyim mengatakan, “Apabila syaitan tidak berhasil menjerumuskan manusia pada tahap ini, dia beralih lagi pada tahap berikutnya.

  • Tahap kelima

Syaitan berusaha menyibukkan manusia dengan perkara-perkara mubah yang tidak ada unsur pahala dan dosa di sana. Namun risikonya dia akan kehilangan pahala selama dia sibuk melakukan perkara yang mubah ini. Saya katakan, “Perkara-perkara yang mubah ini adalah seperti banyak tidur, makan dan minum, pakaian mahal, berjaga sepanjang malam yang tidak ada faedahnya dan pelbagai lagi.”

Ibnul Qayyim melanjutkan, “Apabila syaitan tidak berhasil menjerumuskan seseorang hamba dengan cara ini kerana orang ini sentiasa memelihara waktunya dan sangat kedekut untuk menghabiskannya dalam kesia-siaan serta memahami nilai setiap desah nafas, dan apa yang akan didapatkannya daripada kenikmatan dan azab dia dia akan beralih pada tahap selanjutnya.

  • Tahap keenam

Menyibukkan manusia dengan sesuatu yang kurang penting melalui cara meninggalkan perkara yang sangat penting. Syaitan akan menyuruh manusia untuk melakukan kebaikan yang tidak masuk dalam skala kepentingannya.

Dia sentiasa menganjurkan dan memperindahkannya bagi orang tersebut. Jika orang itu semakin tertarik kepadanya, lambat laun dia akan meninggalkan sesuatu yang lebih baik dan lebih luhur. Segelintir sahaja yang memerhatikan masalah ini.

Seringkali seseorang melihat ada penyeru yang kuat dan motivator yang baik kepada suatu amal ketaatan tertentu. Orang tersebut menjadi tidak ragu lagi bahawa tindakan itu merupakan ketaatan dan kaedah mendekatkan diri kepada Allah. Dia hampir tidak pernah berfikir bahawa si penyeru itu ialah syaitan kerana dia menganggap bahawa syaitan tidak pernah menyeru kepada kebaikan.

Dia berfikir ini ialah kebaikan, dan mengatakan bahawa si penyeru tersebut membawa perintah Allah. Dia tidak menyedari kalau syaitan juga menyeru manusia kepada tujuh puluh pintu kebaikan.

Di samping bertujuan untuk menghantarkan manusia kepada satu pintu keburukan, boleh juga agar dia tidak mengerjakan kebaikan yang utama dan agung daripada tujuh puluh kebaikan yang diserukan itu.

Hal ini tidak boleh dikesan kecuali dengan dibantu cahaya Allah yang dipancarkan-Nya dalam hati seorang hamba. Sedangkan syarat datangnya cahaya ke dalam hati adalah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW secara murni, dan mengutamakan amalan-amalan yang paling dicintai dan diredhai Allah SWT serta yang paling bermanfaat bagi para hamba.

Apabila tidak mampu juga menggoda seorang hamba dengan cara ini, syaitan akan menyeru para pengikutnya dari kalangan jin dan manusia untuk melakukan berbagai-bagai kezaliman, ajakan kepada kekafiran, dan penyesatan terhadap orang seperti itu. Syaitan juga akan memerangi pemikirannya agar orang lain tidak mengambil manfaat darinya. Akhirnya, usahanya dalam menyeru para pembuat kebatilan di kalangan syaitan, jin dan manusia untuk menggoda hambat tersebut tidak akan pernah berkurangan dan berhenti.

Keadaan ini sangat jelas terlihat di tengah-tengah masyarakat kita. Ketika seorang hamba teguh terhadap agamanya, memegang teguh sunah dan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan berjalan sesuai dengan ajaran baginda, nescaya dia akan menghadapi berbagai-bagai halangan, penghinaan, cemuhan, penganiayaan dan seksaan, baik daripada kaum kerabat, orang lain, kawan seiring, mahupun musuh. Dia tidak mempunyai tempat mengadu kecuali hanya kepada Allah SWT.

Kehidupan Jin