Syaitan Menghalang Dakwah Nabi Ayub AS

Di dalam tafsirnya, Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a. dia berkata, “Syaitan (iblis) berkata, “Wahai Tuhanku, berikanlah kemudahan kepada saya untuk menguasai Ayub AS. Allah SWT berfirman:

“Aku memperkenankan kamu untuk menguasai harta dan anaknya. Tetapi aku tidak memperkenankan kamu menguasai tubuhnya…”

Kemudian iblis bersama bala tenteranya turun. Dia berkata kepada mereka, “Sesungguhnya saya telah diberikan kemudahan untuk menguasai Ayub AS perlihatkanlah senjata kalian kepada saya.” Lantas mereka berubah menjadi api, kemudian air. Tatkala mereka berada di timur, tiba-tiba mereka sudah berada di barat, dan ketika mereka berada di barat, tiba-tiba mereka sudah berada di timur.

Setelah itu ia (iblis) mengutuskan satu kumpulan untuk pergi menuju ke kebun Ayub AS, satu kumpulan pergi menuju untanya, satu kumpulan pergi menuju lembunya, dan satu kumpulan kambingnya. Dia (iblis) berkata, “Sesungguhnya hanya sifat sabar saja yang masih dapat melindungi dan mempertahankan dirinya daripada pengaruh kalian. Maka berikanlah musibah (cubaan) kepadanya dari setiap penjuru!”

Syaitan yang merosak kebun datang menjumpai Nabi Ayub AS dan berkata, “Wahai Ayub, tidakkah kamu melihat bahawa Tuhan-mu telah mengirimkan api sehingga membakar kebunmu?” Kemudian datang pula syaitan pencuri unta menjumpai Nabi Ayub AS dan berkata, “Wahai Ayub tidakkah kamu melihat bahawa Tuhan-Mu telah mengirimkan penyamun yang membawa semua untamu?” Seterusnya datang pula syaitan pencuri lembu dan berkata, “Wahai Ayub, tidakkah kamu melihat bahawa Tuhan-Mu telah mengirimkan penyamun yang membawa semua lembumu?” Dan syaitan pencuri kambing juga datang menjumpai Nabi Ayub AS dan berkata, “Wahai Ayub, tidakkah kamu melihat bahawa Tuhan-Mu telah mengirimkan penyamun yang membawa semua kambingmu?”

Oleh itu Nabi Ayub AS mengasingkan diri daripada anak-anaknya. Dia mengumpulkan mereka semua di rumah anaknya yang paling besare. Ketika mereka sedang makan dan minum, tiba-tiba angin bertiup kencang dan meruntuhkan tiang-tiang rumah. Mereka semua telah ditimpa di dalam runtuhan tersebut. Datanglah syaitan yang menjelma menjadi seorang anak kecil yang memakai anting-anting di kedua-dua telinganya menjumpai Nabi Ayub AS, dia berkata, “Wahai Ayub, tidakkah kamu melihat Tuhan-mu mengumpulkan anak-anakmu di dalam rumah anakmu yang paling besar. Ketika mereka sedang makan dan minum, tiba-tiba angin bertiup kencang dan dia meruntuhkan tiang-tiang rumah dan melemparkannya kepada mereka (roboh). Bayangkan jika kamu melihat mereka dalam keadaan berlumuran darah yang bercampur dengan makanan dan minuman mereka.”

Ayub AS bertanya kepadanya, “Lalu di mana kamu ketika itu?” Dia berkata, “Pada ketika itu, saya bersama mereka.” Ayub AS berkata, “Bagaimana kamu boleh selamat?” Dia berkata, “Saya menyelamatkan diri saya.” Ayub AS berkata, “Kalau begitu, kamu ialah syaitan.”

Lalu Ayub AS berkata, “Pada hari ini, keadaanku sama seperti ketika ibuku melahirkan aku. Dia pun berdiri dan mencukur kepalanya, lalu melaksanakn solat.” Maka iblis meraung dengan suara yang sangat kuat, hingga seluruh penghuni langit dan bumi mendengarnya.

Kemudian iblis mengetuk pintu langit dan berkata, “Ya Tuhan, sesungguhnya Ayub AS mampu bertahan dan menjaga dirinya. Permudahkanlah saya untuk menguasai dirinya, kerana saya tidak akan mampu menguasainya tanpa kekuasaan-Mu.” Allah SWT berfirman:

“Aku memudahkanmu untuk menguasai tubuhnya, tetapi kamu tidak akan mampu menguasai hatinya…”

Iblis pun turun dan meniupkan sesuatu di bawah kedua kaki Ayub AS hingga membuatnya terluka bermula dari kedua kaki sehingga ubun-ubunnya. Penyakitnya merebak ke semua tubuhnya, hingga dia terjatuh di atas pasir, bahkan perutnya pun terlihat.

Isteri Nabi Ayub AS yang sentiasa tabah dan sabar bersamanya sangat khuatir akan keadaannya, sehingga dia berkata, “Wahai Ayub, sesungguhnya Allah telah mengujimu dengan penyakit yang serius dan kemiskinan yang mendatang sehingga saya menjual sanggul agar dapat membeli roti untukmu. Berdoalah meminta kesembuhan kepada Allah.”

Ayub AS berkata, “Celakalah kamu. Kita merasakan kesenangan dan kecukupan selama 70 tahun. Bersabarlah, sehingga kesengsaraan dan kesulitan kita ini juga berlangsung selama 70 tahun. Ketika itu Ayub AS mengalami ujian berat tersebut selama 7 tahun.”

Ibnu Abi Hatim juga meriwayatkan dari Yazid bin Maisarah, dia berkata, “Ketika Allah SWT menguji Nabi Ayub AS dengan kehancuran harta, anak-anak dan keluarga serta tidak ada satu pun barang berharga yang tinggal untuknya. Ketika itu Ayub AS berkata, “ Aku memuji-Mu wahai Tuhan segala Tuhan atas kebaikan yang Engkau anugerahkan kepadaku. Engkau menganugerahkan harta, anak dan keluarga kepadaku hingga lubuk hatiku dipenuhi dengan semua itu.

Kemudian Engkau mengambil semuanya dariku dan Engkau mengosongkan hatiku hingga tidak ada lagi penghalang antara aku dengan-Mu. Sekiranya iblis mengetahui perbuatanku ini, nescaya dia akan dengki dan iri kepadaku.”

Maka, iblis pun mengingkari semua itu.”

Kehidupan Jin