Syaitan Menampakkan Diri kepada Nabi Muhammad SAW

Di dalam kitab sahihnya, Imam Muslim meriwayatkan, “Daripada Abu Darda RA dia berkata, ‘Suatu hari, ketika Rasulullah SAW sedang solat, kami mendengar baginda mengucapkan:

“Aku berlindung kepada Allah darimu, aku melaknatmu dengan laknat dari Allah.”

Kemudian baginda mengulurkan tangannya tiga kali, seolah-olah baginda mengambil sesuatu. Setelah baginda selesai melaksanakan solat, kami bertanya tentang kejadian tadi kepada baginda, ‘Wahai Rasulullah, ketika kamu melaksanakan solat tadi, kami mendengar kamu mengucapkan sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya, dan  kami juga melihat kamu mengulurkan tangan.’

Rasulullah SAW bersabda: ‘Musuh Allah (iblis) telah datang dengan membawa bintang daripada bara api dan hendak mencampakkannya ke wajahku. Maka aku mengucapkan, ‘Aku berlindung kepada Allah’ tiga kali. Kemudian aku berkata, ‘Aku melaknatmu dengan laknat Allah yang sempurna. Setelah itu menangkapnya. Demi Allah, sekiranya bukan kerana doa saudaraku Sulaiman AS nescaya dia akan ku ikat di tiang masjid sehingga mainan bagi anak-anak penduduk Madinah.’

Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam As-Sahihain; “Daripada Abu Hurairah RA nahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan menampakkan diri kepadaku, dia menggodaku untuk memutuskan solatku, tetapi Allah memberikan kekuatan kepadaku, hingga aku dapat melumpuhkannya dan aku berkeinginan untuk mengikatnya pada sebuah tiang hingga pagi hari, agar kalian dapat melihatnya. Lalu, aku teringat akan doa Nabi Sulaiman, “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha pemberi.” (Shad: 35). Kemudian Allah mengusirnya dalam keadaan terhina.”

Nadhar bin Syamil berkata, “Maksud daripada ‘melumpuhkannya’ ialah mencekiknya.

Imam Nasa’i meriwayatkan di dalam Sunan-nya dengan sanad yang sahih menurut syarat Imam Bukhari, daripada Aisyah RA bahawa dia berkata, “Ketika Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat, syaitan menghampiri baginda. Ketika baginda hendak menangkapnya, syaitan itu melawan hingga Rasulullah SAW mencekiknya. Rasulullah SAW bersabda: “Bahkan aku merasakan dingin lidahnya di tanganku.”

Pada riwayat yang lain dikatakan bahawa baginda bersabda, “Maka aku mencekiknya dengan kuat hingga dia berkata, ‘Kamu telah menyakiti saya, kamu telah menyakiti saya.’ Lalu, aku pun melepaskannya.”

Daripada Abu Tiyah, dia berkata, “Saya berkata kepada Abdul Rahman bin Khanbasy At-Tamimi, dia ialah orang yang lebih tua dari saya, “Adakah kamu berjumpa dengan Rasulullah SAW? Dia berkata, ‘Ya.’ Saya berkata, “Apa yang terjadi dengan Rasulullah SAW pada suatu malam, tatkala jin dan syaitan berusaha memperdaya dan menyakiti baginda?” Dia berkata ‘Pada malam itu, syaitan turun daripada lembah dan dari setiap penjuru untuk menyerang Rasulullah SAW Ada di antara mereka yang membawa bara api yang menyala di tangannya. Dia ingin membakar wajah Rasulullah SAW.

Oleh itu malaikat Jibril AS turun berjumpa dengan baginda dan berkata kepadanya, “Wahai Muhammad, katakanlah!” Rasulullah SAW bertanya, “Apa yang harus aku katakan?” Katakanlah:

“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan setiap ciptaan dan makhluk-Nya, dari kejahatan yang turun dari langit, dari kejahatan yang masuk ke dalamnya dan dari kejahatan fitnah malam dan siang serta dari kejahatan setiap pengetuk (syaitan) kecuali pengetuk yang mengetuk dengan cara yang baik. Wahai Zat Yang Maha Pengasih!”

Akhirnya api mereka pun padam dan Allah SWT mengalahkan mereka semua.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la dengan dua sanad yang jayyid dan keduanya menjadi hujah.” Imam Malik juga meriwayatkannya di dalam Al-Muwatha daripada Yahya bin Sadi. Imam Nasai meriwayatkan hal yang serupa dari hadis Abdullah bin Mas’ud RA.

Kehidupan Jin